Monday, May 19, 2008

:: Tun Mahathir: Sedikit sejarahnya


Mutakhir
Dr. M keahlian 'O1' keluar Umno
19-05-2008 09:03:30 PM

(Dikemas kini) PETALING JAYA: Selepas melemparkan kecaman bertubi-tubi terhadap kepimpinan Umno sejak pilihan raya umum ke-12 Mac lalu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan keluar daripada Umno. Beliau mengumumkan keputusan 'mengejutkan' itu ketika berucap pada majlis bertajuk Kedudukan Orang Melayu Pascapilihan Raya Umum Ke-12 di Alor Star, Kedah pada pukul 12.35 tengah hari tadi.

Dalam ucapannya, Dr. Mahathir yang mempunyai nombor keadlian '01' dalam Umno juga menyeru ahli akar umbi supaya keluar parti bagi memberikan tekanan kepada pucuk kepimpinan - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya berundur. Dr. Mahathir yang juga ahli Umno seumur hidup memberitahu, beliau bertindak demikian kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan parti sekarang yang gagal membela nasib orang Melayu di negara ini.

Ketika beliau mengumumkan keputusan itu, Abdullah menghadiri Kongres Dunia Mengenai Teknologi Maklumat (WCIT) Ke-16 di Kuala Lumpur. Dr. Mahathir berkata, beliau akan berada di luar parti selagi Abdullah masih memimpin Umno dan hanya akan kembali jika Abdullah berundur.
Kata beliau, surat mengenai keputusannya akan dihantar kepada Ibu Pejabat Umno dalam waktu terdekat.

Dr. Mahathir merupakan bekas Perdana Menteri yang ketiga mengumumkan keluar Umno. Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Tun Hussein Onn pernah keluar parti apabila Tengku Razaleigh menubuhkan parti Semangat 46 ekoran krisis Umno 1987-88. Pengasas Umno, Datuk Onn Jaafar juga pernah bertindak demikian.

Dr. Mahathir pernah dipecat pada 1969 selepas beliau menulis surat terbuka kepada Tunku Abdul Rahman mengkritik kepimpinannya ekoran pilihan raya umum tahun itu dan Peristiwa 13 Mei.
Beliau diterima semula ke dalam Umno pada 1972 ketika kepimpinan Tun Abdul Razak.

Keputusan itu dumumkan seminggu selepas Dr. Mahathir mengadakan pertemuan tertutup dengan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya. Menurut laporan Bernama, Dr. Mahathir dengan wajah kecewa berkata, beliau terpaksa mengambil tindakan keluar Umno yang dianggotai sejak 1946 kerana berpendapat parti itu tidak lagi dapat berperanan sebagai sebuah parti politik sebenar untuk membela nasib Melayu, sepertimana hasrat sejarah penubuhannya.

Sambil menyatakan rasa tidak puas hatinya, bekas Perdana Menteri itu mendakwa Umno kini hanyalah dijadikan parti untuk mengiktiraf Abdullah sebagai Presiden Umno dan mengutamakan kepentingan keluarganya (Abdullah) sehingga membelakangkan negara.
"Saya boleh senaraikan perkara-perkara yang dia (Abdullah) lakukan sehingga merugikan negara kita.
"Umno yang wujud hari ini tidak lagi berpegang kepada hasrat parti yang ditubuhkan 62 tahun lepas. Sebab itu saya tidak teragak-agak untuk keluar dari Umno," kata beliau.

Dalam pada itu, ketika dihubungi, Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhamad Muhamad Taib berkata: "Ia (keputusan itu) adalah hak Dr. Mahathir. Setiap ahli ada hak untuk masuk dan keluar parti."
Ketika ditanya sama ada beliau terkejut dengan tindakan Dr. Mahathir, Muhammad berkata: "Ya, secara peribadi saya terkejut kerana beliau merupakan tokoh terulung parti dan seorang bekas Perdana Menteri."
Sama ada Umno akan mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan isu ini, Muhammad menjelaskan, "kita tunggu dulu perkembangan."

Majlis Tertinggi (MT) akan mengadakan mesyuarat dalam masa dua minggu ini. Pemilihan pucuk kepimpinan dijadual pada Disember ini.

Dr. Mahathir yang menyertai Umno pada 1946 dipilih sebagai Presiden Umno pada tahun 1981.
Beliau berundur daripada kedudukan Perdana Menteri dan Presiden Umno pada Oktober 2003 selepas mengumumkan untuk berbuat demikian pada Perhimpunan Agung Umno 2002. Sejak pilihan raya umum 8 Mac lalu, beliau mengkritik kepimpinan parti atas persembahan tidak memuaskan Umno dan Barisan Nasional termasuk menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan.

Beberapa pihak pernah mengesyorkan supaya Dr. Mahathir dikenakan tindakan disiplin apabila terus-menerus mengkritik kepimpinan parti sejak awal tahun 2005.

Umno Perlis pujuk Dr. M esok
Mukriz dicabar ikut jejak Dr. Mahathir
Zahid: Keputusan Dr. Mahatir disambut baik
Caturan politik Dr. M, bermotif kejutkan ahli akar umbi
Musa Hitam sedih
Reaksi pembangkang: Tidak jangka Mahathir keluar Umno
Ku Li kekal Umno untuk cabar Pak Lah
Analisis: Terkejut lagi mengelirukan
Sanusi Junid ikut jejak Dr M keluar Umno.
Pemimpin BN gesa Dr. M fikir semula
Perjalanan politik Dr. Mahathir
Terkejut, tidak percaya, reaksi awal Dr M keluar Umno
Kenyataan Mahathir sejak pilihan raya umum ke-12