Pergilah ke mana pun... dan belilah apa barangan pun... gunakanlah apa jenis perkhidmatan pun... rata2nya harga naik mencanak... nasib le jika harga masih kekal... tak naik dan tak turun. Kesian kat orang kampung... para petani... para nelayan... para penternak... sebab kenaikan harga hasil tuaian mereka tidak naik selari dengan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan. Pendapatan masing2 kelihatannya naik... tapi pendapatan benar mereka telah jatuh. Bagaimana dengan para pesara? Bagaimana dengan ibu tunggal yang hanya suri rumah sepenuh masa yang dicerai suami... yang perlu pulak menjaga anak2 akibat mantan suami "mencuci tangan". Bagaimana pulak dengan para penjawat awam? Bagaimana dengan warga tua yang dhaif... yang sudah tidak punya kaum kerabat dan sedara mara?
Dalam merayau2... terjumpa suatu entri yang baik untuk direnung bersama... mungkin ada sedikit faedah darinya... terima kasih kepada tuan punya blog berkenaan.
........................................................................................................................
‘Arbaah tokmiyah (mintak 4 tokmiyah – sejenis makanan utama di sini),’ pinta seorang warga Mesir awal tiga puluhan, seraya menghulurkan segenih dan 25 qurush (1 ringgit 25 sen). ‘genih wa nus, (seringit setengah lah)’ balas cashier di kaunter. Lantas duit diambil kembali, tanpa berfikir panjang langkah dihayun meninggalkan kedai makan. Mungkin membawa diri mencari kedai yang mampu menunaikan hajat perut dengan jumlah duit di tangan atau memujuk diri agar tengahari itu perut si empuya diri masih boleh bertahan dengan pedih meminta untuk diisi.
Saya terpinga-pinga. Sedih dan terharu melihat gelagat warga Mesir terbabit. Kenaikkan harga barangan asas semenjak dua menjak ini sangat dirasakan. Khabarnya kenaikkan mencecah hingga 50 peratus daripada harga sebelum ini. Tiada kawalan sewajarnya daripada kerajaan. Mungkin ini antara punca peningkatan kadar jenayah terutamanya kes kecurian dan samun di kalangan warga asing di sini. Saya mula menilai cerita negara-negara umat Islam, mengapa kebajikan rakyat amat kurang dijaga berbanding dengan sesetengah negara yang majoritinya non-muslim. Rusuhan di Lubnan, ‘Hartal 6 April’ di Mesir dan kenaikkan harga barang di Malaysia antara contoh yang berlaku. Tanpa menafikan inflasi sedunia yang sedang melanda, namun apa gunanya wujud sebuah kerajaan bila nasib rakyat kebanyakkan yang memilih mereka gagal dijaga?
Sikap kita dengan rezeki.
Saya cukup tidak senang hati bila melihat makanan dalam pinggan tidak dilicinkan, ditinggalkan penuh penuh dengan rezeki yang tidak dihargai. Berapa ramai pula yang tergamak mengutip kembali nasi yang jatuh di meja makan. Terkadang kemewahan mendidik kita mudah jijik untuk menyuap kembali makanan yang jatuh. Mungkin juga ilmu kesihatan dengan istilah ‘kuman’, tidak bersih dan mudarat kepada tubuh menyebabkan kita makin liat untuk menjaga keberkatan rezeki kurniaan Allah. Ini belum lagi dengan kritik mengkritik makanan yang kurang enak. Makanan mewah lagi melampau, jijik untuk menjilat jari yang berbaki dengan makan dan sebagainya.
Sebenarnya perihal adab dengan makanan telah pun digarap khusus oleh agama. Ajaran nasihat Nabi saw ini dikumpul secara tersusun oleh ulama dalam kitab-kitab hadis muktabar. Bila sedikit demi sedikit adab ini dipinggirkan bermakna berdikit-dikit jugalah sunnah Rasulullah saw hilang dalam hidup kita. Hilangnya tanpa sedar. Sikap kita bila berhadapan dengan rezeki adalah gambaran SYUKUR kita atas nikmat Allah atau sebaliknya. Oleh itu sama-samalah kita muhasabah diri. Makan sambil berfikir nasib si fakir di tepi jalan, makan sambil ingat setiap suapan kita akan disoal selidik satu hari nanti.
Teladan daripada mereka terdahulu
Seawal perkembangan Islam, Nabi saw dan para sahabat pernah diuji Allah Ta’ala dengan kelaparan. Ianya bermula dengan pemulauan ekonomi oleh Musyrikin Quraisy terhadap Bani Hashim dan Bani Abdul Mutalib. Selama 3 tahun mereka dipinggirkan daripada urusniaga harian dengan sumber-sumber rezeki langsung disekat. 3 tahun penuh kepayahan, memaksa kulit-kulit kayu dijadikan alas perut yang mendidih minta diisi. Begitu juga ceritanya semasa getir menyiapkan parit (khandak) untuk persiapan perang Ahzab. Nabi saw sendiri terpaksa mengikat perutnya dengan batu untuk menahan kelaparan. Bila ada sahabat yang bermurah hati memanggil nabi saw untuk menjamu selera, Rasulullah saw tidak melupakan kaum muslimin yang lain. Lantas mukjizat kurniaan Allah menjadikan makanan yang sedikit untuk santapan jumlah insan yang ramai. Mungkin ini juga satu keberkatan. Ini hanyalah secebis gambaran dugaan Allah kepada hambanya berkenaan dengan rezeki. Mereka tidak semewah kita dalam santapan harian, namun iman mereka jauh meninggalkan kita. Saya sedut hadis-hadis nabi saw kali ini daripada kitab Riyadussolihin sekitar ujian Allah Ta’ata terhadap kaum muslimin seawal perkembangan Islam.
1. Khandak jihad sabar para sahabat.
Dari Jabir r.a., katanya: "Sesungguhnya ketika kami menggali pada hari Khandak, penggalian itu terhalang oleh adanya gumpalan tanah yang keras. Para sahabat mendatangi Nabi s.a.w., lalu berkata: "Tanah keras ini menghalang penggalian parit." Beliau s.a.w. lalu bersabda: "Saya akan turun." Selanjutnya baginda s.a.w. terus berdiri, sedang perut beliau itu diikat dengan batu - kerana kelaparan. Kami semua sememangnya sudah tiga hari tidak merasakan apa-apa makanan. Nabi s.a.w. lalu mengambil cangkul, terus memukulnya, maka tanah keras itu menjadi bagaikan tompokan pasir yang hancur-lebur. Kemudian saya berkata: "Ya Rasulullah, berilah saya izin untuk pulang ke rumah." Seterusnya saya lalu berkata kepada isteriku: "Saya telah melihat sesuatu pada diri Nabi s.a.w. - yakni pengganjalan perut dengan batu - yang tidak dapat disabarkan lagi. Maka adakah engkau mempunyai sesuatu - yang dapat dimakan?" Isterinya menjawab: "Saya mempunyai gandum dan kambing betina”. Kambing itu lalu saya sembelih, sedang isteriku menumbuk gandum, sehingga dagingnya itu kami letakkan dalam periuk. Kemudian saya mendatangi Nabi s.a.w., sedangkan aduan makanan itu telah pun menjadi lumat dan halus serta kuali yang ada di antara batu-batu itu telah hampir masak isi kandungannya. Ujar saya nabi s.a.w.: "Saya mempunyai sedikt makanan ya Rasulullah, silakan datang bersama seorang atau dua orang sahaja.” Beliau saw bertanya: "Berapa banyak?" Saya menyatakan kepada nabi saw jumlah yang ada - iaitu kambing dengan gandum yang cukup untuk beberapa orang saja. Beliau s.a.w. lalu bersabda: "Banyak itu dan enak sekali, Pesankan kepada isterimu, janganlah diangkat dahulu periuknya, juga jangan pula diambil roti itu dari dapur, sehingga saya tiba nanti." Seterusnya beliau s.a.w. bersabda: "Berdirilah kamu semua," maka berdirilah semua kaum Muhajirin dan Anshar - yang sedang menggali parit. Saya masuk kepada isteriku lalu saya berkata: "Celakalah. Nabi s.a.w. datang dengan semua kaum Muhajirin dan Anshar." Isterinya berkata: "Adakah beliau telah bertanyakan jumlah banyaknya makanan yang ada?" Saya berkata: "Ya." Seterusnya Rasulullah s.a.w. bersabda: "Masuklah engkau semua dan jangan berebut-rebut." Beliau s.a.w. pun mula memotong roti dan diberikanlah pula dagingnya. Baginda saw juga selalu menutupi periuk dan dapur itu apabila beliau mengambil daripadanya dan mendekatkan kepada sahabat-sahabatnya itu, kemudian ditariklah kualinya itu -sesudah diambilkan isinya. Tidak henti henti beliau s.a.w. memotong roti itu dan menceduk kuah sehingga sekalian sahabatnya itu kenyang semua dan masih ada pula sisanya dalam kuali. Kemudian beliau s.a.w. bersabda: "Makanlah ini dan berikanlah hadiah - kepada orang-orang lain seperti tetangga, sebab sesungguhnya para manusia itu terkena bencana kelaparan. (mafhum hadis - Muttafaq 'alaih)
2. Kisah kesulitan hidup Ahlu Suffah.
Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Demi Zat yang tiada Tuhan melainkan Dia, sesungguhnyaiah bahwa saya menyandarkan hatiku ke bumi karena kelaparan dan sesungguhnya pula bahwa saya mengikatkan batu pada perut saya karena kelaparan. Sebenarnya saya pernah duduk-duduk pada suatu hari di jalanan orang-orang yang sama keluar melalui jalanan itu – untuk mencari nafkahnya masing-masing. Kemudian Nabi s.a.w. berjalan melalui tempat saya dan beliau tersenyum ketika melihat saya, karena mengetahui keadaan dan hal ehwal yang ada dalam wajah dan diriku, kemudian beliau bersabda: "Abu Hir." Saya menjawab: "Labbaik ya Rasulullah." Beliau bersabda lagi: "Mari ikut," dan beliau terus berlalu dan saya mengikutinya. Selanjutnya beliau masuklah di rumah keluarganya, saya mohon izin lalu beliau mengizinkan masuk untukku. Sayapun masuklah, di situ beliau menemukan susu dalam gelas. Beliau bertanya: "Dari manakah susu ini?" Keluarganya berkata: "Fulan atau Fulanah itu menghadiahkan untuk Tuan." Beliau bersabda: "Abu Hir." Saya menjawab: "Labbaik ya Rasulullah." Beliau bersabda pula: "Susullah para ahlush-shuffah, lalu panggillah mereka untuk datang padaku." Abu Hurairah berkata: "Ahlush-shuffah itu adalah merupakan tamu-tamu Islam, karena tidak bertempat pada sesuatu keluarga, tidak pula berharta dan tidak berkerabat pada seseorangpun. Jikalau ada sedekah - zakat - yang datang pada Nabi s.a.w. lalu sedekah -atau zakat - itu dikirimkan semuanya oleh beliau kepada mereka itu dan beliau sendiri tidak mengambil sedikitpun daripadanya, tetapi kalau beliau menerima hadiah, maka dikirimkanlah kepada orang-orang itu dan beliau sendiri mengambil sebagian daripadanya. Jadi beliau bersama-sama dengan para ahlush-shuffah itu untuk menggunakannya." Perintah Nabi s.a.w. memanggil ahlush-shuffah itu tidak mengenakkan hati saya dan oleh sebab itu saya berkata: "Apa hubungannya susu ini untuk diberikan ahlush-shuffah. Saya adalah lebih berhak untuk memperoleh susu ini dengan sekali minuman saja, agar saya dapat merasa kuat tubuhku." Kemudian, jikalau orang-orang itu datang, Nabi s.a.w. tentu menyuruh saya agar saya memberikan itu kepada mereka. Barangkali tidak akan dapat sampai padaku - yakni bahwa saya tidak memperoleh bahagian - susu itu, tetapi tidak ada jalan lain kecuali mentaati Allah dan mentaati RasulNya s.a.w. Oleh karena itu mereka saya datangi dan saya panggillah semuanya. Mereka menghadap dan meminta izin, lalu Nabi s.a.w. mengizinkan mereka masuk, juga sama mengambil tempat duduk dalam rumah.Beliau lalu bersabda: "Abu Hir." Saya menjawab: "Labbaik ya Rasulullah." Beliau bersabda lagi: "Ambillah susu itu dan berikanlah kepada mereka." Abu Hurairah berkata: "Saya lalu mengambil gelas, kemudian saya berikan pada seseorang dulu. Ia minum sampai kenyang minumnya lalu gelas dikembalikan. Seterusnya saya berikan kepada yang lain, ia pun minumlah sampai kenyang pula minumnya, lalu dikembalikanlah gelasnya, sehingga akhirnya sampai giliran saya memberikan itu kepada Nabi s.a.w., sedang orang-orang ahlush-shuffah itu sudah puas minum semuanya. Beliau s.a.w. mengambil gelas lalu diletakkan di tangannya, kemudian beliau melihat saya dan tersenyum, kemudian bersabda: "Abu Hir." Saya menjawab: "Labbaik ya Rasulullah." Beliau bersabda pula: "Sekarang tinggallah saya dan engkau - yang belum minum." Saya menjawab: "Benar Tuan, ya Rasulullah." Beliau bersabda: "Duduklah dan minumlah." Saya pun duduklah lalu saya minum. Beliau bersabda lagi: "Minumlah lagi." Sayapun minumlah. Beliau tidak henti-hentinya bersabda: "Minumlah lagi," sehingga saya berkata: "Tidak, demi Allah yang mengutus Tuan dengan benar, saya sudah tidak mendapatkan jalan lagi untuk minum itu - ertinya sudah amat kenyang minumnya itu. Setelah itu beliau bersabda: "Kalau begitu, berikanlah saya gelas itu". Gelas pun saya berikan, kemudian beliau memuji kepada Allah Ta'ala dan membaca bismillah dipermulaan minumnya lalu beliau minumlah sisanya itu." (Riwayat Bukhari)
InsyaAllah dalam entri seterusnya saya akan hadirkan beberapa lagi hadis yang mengisahkan keperitan hidup para salafus solah guna untuk pengiktibaran bersama. Ayuh hargai setiap suapan kurniaan Allah.
..................................................................................