Khamis, 29 Mei 2008
Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu - Kedutaan Amerika Syarikat mengucapkan tahniah kepada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berikutan pengumumannya mengeluarkan pasport biometrik yang mematuhi peraturan ICAO.
Program pengecualian visa Amerika Syarikat (VWP) itu membolehkan pemegang pasport Brunei memasuki Amerika Syarikat tanpa memerlukan visa selagi mereka mematuhi kriteria tertentu. Brunei akan terus menyertai program pengecualian visa bersama dengan 27 negara lain, kata kedutaan itu dalam satu kenyataan hari ini. Pemegang pasport biometrik baru Brunei adalah layak untuk memohon kemasukan ke Amerika Syarikat sebagai pelawat sementara bagi perniagaan atau melancong.
Manakala bagi pemegang bukan biometrik (tidak mempunyai e-cip), pengeluaran pasport yang tidak boleh dibaca melalui mesin, pembaharuan atau melanjutkan tempoh sebelum 26 Oktober 2006 pula masih perlu menggunakan pasport untuk menyertai program pengecualian visa. Sementara itu, warga Brunei yang bukan pemegang biometrik, pengeluaran pasport yang boleh dibaca melalui mesin, pembaharuan atau melanjutkan tempoh pada atau sebelum 26 Oktober 2008 adalah perlu untuk memohon visa Amerika Syarikat jika hendak pergi ke Amerika untuk perniagaan jangka pendek atau melancong.
Ini adalah peraturan bagi semua pelancong VWP di seluruh dunia.