Guru disaran lestarikan kecemerlangan profesion
Oleh Syuhada Choo Abdullah
Bidang pendidikan perlu perancangan strategik untuk capai hasil GURU perlu berfikiran global serta bertindak secara sistematik dan efektif untuk cemerlang, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom. Selain itu, katanya, mereka juga harus menguasai bidang masing-masing, mengamalkan etika profesion keguruan serta berpandangan jauh.
Beliau berkata, bidang keguruan adalah profesion mulia, manakala proses pendidikan pula lazim mengambil masa panjang untuk melihat hasilnya. Sehubungan itu, Alimuddin menegaskan, tahap profesional guru perlu dilestarikan, sementara aspek kualiti serta kecemerlangan menjadi identiti profesion ini. “Perjuangan guru untuk memartabatkan profesion keguruan sentiasa menuntut mereka meningkatkan kualiti perkhidmatan, sama ada dalam menerajui proses pengajaran dan pembelajaran mahu pun mengurus serta memimpin bidang pendidikan. “Justeru, langkah yang sudah dan sedang diambil untuk memartabatkan profesion keguruan akan hanya memberi makna jika kemudahan serta keistimewaan diberikan kerajaan kepada bidang kerjaya ini memberi impak positif terhadap peningkatan kualiti pendidikan secara keseluruhan. “Saya menyeru warga guru terus komited terhadap tugas dan tanggungjawab dengan memberi khidmat terbaik sepanjang tempoh perkhidmatan masing-masing,” katanya dalam kata alu-aluan menerusi laman web Kementerian Pelajaran sempena sambutan Perayaan Hari Guru 2008, 16 Mei ini.
Alimuddin berkata, tema perayaan Hari Guru kali ini ‘Guru Cemerlang Negara Terbilang’, melambangkan hasrat dan harapan Kementerian Pelajaran terhadap guru untuk menjayakan agenda pembangunan dan kemajuan negara menerusi pendidikan. Dalam konteks ini, beliau berkata, matlamat dan objektif teras strategik Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 menuntut komitmen tinggi. Katanya, matlamat dan objektif berkenaan meliputi menyediakan perkhidmatan pendidikan berkualiti untuk semua, membangunkan sebuah sistem pendidikan bermutu pada taraf dunia serta menjana modal insan negara. “Tanpa komitmen, matlamat dan juga objektif digariskan dalam PIPP itu tidak mungkin akan dapat dicapai sepertimana diharapkan,” katanya. Penegasan itu sejajar penekanan sama diberikan Alimuddin dalam perutusan Hari Guru kali ini bahawa pendidikan adalah bidang mulia dan penting, malah menjadi asas pembangunan insan serta tamadun, selain wadah keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran. Katanya, pendidikan juga ialah bidang dinamik serta penuh cabaran, di mana ia menuntut perancangan strategik yang teliti dan pragmatik, perbelanjaan besar dan juga jentera pelaksanaan cekap. “Pendidikan sentiasa terdedah dan terpengaruh dengan tuntutan perubahan selaras perkembangan semasa. Oleh itu, negara akan hilang daya saing, ketinggalan serta terpinggir dari kemajuan global jika bidang pendidikan tidak menjadi keutamaan atau tidak diuruskan secara cekap dan berkesan,” katanya.
FAKTA NOMBOR: Perayaan Hari Guru 2008
Ke-37 - Kali sambutan
381,825 - Jumlah guru.
Ke-37 - Kali sambutan
381,825 - Jumlah guru.