Friday, May 16, 2008

:: Klip Video Linggam: 6 akan disiasat?


Laporan itu mengesyorkan Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Ahmad Fairuz, Tun Yusof Chin, Tan Sri Vincent Tan, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor dan Datuk Datuk VK Lingam disiasat mengikut Kanun Keseksaan, Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi (OSA), Kanun Keseksaan dan menghalang proses keadilan.
LAGI
Dijual mulai esok
Harga RM542.10



S'jaya syor Dr M dan 5 lagi disiasat
May 16, 08 3:35pm


Suruhanjaya diraja yang menyiasat skandal klip video Lingam mengesyorkan supaya mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan lima orang lagi, disiasat berhubung peranan mereka dalam pelantikan hakim-hakim. Yang lainnya ialah bekas ketua hakim negara - Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Tun Eusoff Chin - peguam kanan Datuk VK Lingam; bekas menteri di jabatan perdana menteri, Tengku Adnan Tengku Mansor yang juga setiausaha agung Umno serta ahli perniagaan Tan Sri Vincent Tan. Suruhanjaya itu mengesyorkan supaya mereka disiasat di bawa Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi (OSA), Kanun Keseksaan dan kerana menghalang proses keadilan. Menteri di jabatan perdana menteri, Datuk Zaid Ibrahim berkata hari ini bahawa kabinet telah mengarahkan pejabat peguam negara untuk memulakan siasatan secepat mungkin terhadap keenam-enam mereka. Sebelum itu, Zaid berkata kerajaan memutuskan untuk mengumumkan laporan suruhanjaya diraja itu.

Orang ramai boleh membeli laporan tersebut mulai esok pada harga RM542.10 senashkah. Salinan laporan tersebut tidak diedarkan kepada pihak media. Laporan berjumlah 191 muka surat itu telahpun diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Suruhanjaya diraja itu dianggotai bekas Hakim Besar Malaya Tan Sri Haidar Mohamed Noor sebagai pengerusi, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mahadev Shankar, bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong, bekas Peguamcara Negara Puan Sri Zaitun Zawiyah Puteh dan ahli sejarah Prof Emeritus Datuk Dr Khoo Kay Kim. Suruhanjaya itu dibentuk bagi menyiasat klip video 14 minit yang didakwa memaparkan seorang peguam, Datuk V.K Lingam, sedang bercakap menerusi telefon dengan seorang yang dikatakan seorang hakim kanan, kononnya bagi mengatur pelantikan hakim. Seramai 21 saksi termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan tiga bekas ketua hakim negara dipanggil memberi keterangan dalam siasatan yang memakan masa selama 17 hari bermula 14 Januari lalu.