Pulau Batu Puteh milik Singapura...Malaysia dapat hak Terumbu Karang Tengah
SAH milik Singapura… Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda hari Jumaat memutuskan Pulau Batu Puteh adalah milik Singapura. Bagaimanapun, Terumbu Karang Tengah yang turut dituntut oleh Singapura disahkan milik Malaysia, demikian penghakiman kes tuntutan berkenaan yang disampaikan Hakim Awn Shawkat Al-Khasawneh. Tuntutan ke atas Pulau Batu Puteh dibawa ke ICJ pada 6 Februari 2003 dalam usaha Malaysia dan Singapura meleraikan tuntutan bertindih. Pertikaian antara Singapura mengenai Pulau Batu Puteh bermula pada 14 Februari 1980, apabila republik itu membantah tindakan Malaysia menerbitkan peta pada 1979, yang dengan jelas menunjukkan pulau itu terletak dalam wilayah Malaysia. Susulan kepada bantahan tersebut, Singapura Februari 1993, meluaskan tuntutannya ke atas Terumbu Karang Tengah dan Terumbu Karang Selatan, yang terletak berhampiran pulau itu. – 23/5/2008