Sunday, May 11, 2008

:: Rukun Negara: Untuk tatapan atau pelaksanaan ?


RUKUN NEGARA

LATAR BELAKANG
Sebelum Rukun Negara diperkenalkan, telah berlaku rusuhan antara kaum pada 13 Mei 1969. Ketenteraman negara telah terjejas akibat kejadian itu. MAGERAN (Majlis Gerakan Negara) telah mengambil alih pentadbiran negara. MAGERAN telah menubuhkan Majlis Perundingan Negara (MPN) untuk membincangkan dan menilai isu perpaduan Negara. MPN telah memperkenalkan ideologi negara iaitu Rukun Negara.
MATLAMAT DAN PRINSIP RUKUN NEGARA
i) Matlamat Rukun Negara: Mengukuhkan perpaduan. Memelihara corak hidup demokratik. Mencipta sebuah masyarakat yang adil. Menjamin sikap liberal terhadap tradisi kebudayaan yang pelbagai. Membina masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi.
ii) Prinsip-prinsip Rukun Negara -
a) Kepercayaan kepada Tuhan: Agama merupakan pegangan utama rakyat Malaysia. Rakyat yang beragama mudah diurus. Perlembagaan menetapkan Islam adalah agama rasmi tetapi agama lain bebas diamalkan.
b) Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara: Semua rakyat dituntut setia kepada raja dan negara. Yang di Pertuan Agong merupakan ketua negara dan Raja Melayu merupakan ketua negeri. Raja adalah simbol penyatuan rakyat dan pelindung hak istimewa peribumi. Penderhakaan kepada raja juga bermaksud penderhakaan kepada negara.
c) Keluhuran Perlembagaan: Perlembagaan merupakan undang-undang utama. Perlembagaan dianggap luhur, suci dan unggul. Rakyat dituntut supaya menerima, mematuhi, menyanjung dan mempertahankannya.
d) Kedaulatan Undang-Undang: Rakyat dituntut menghormati undang-undang dengan tidak melakukan kesalahan di sisi undang-undang. Rakyat akan hidup dalam keamanan apabila kedaulatan undang-undang terpelihara. Rakyat bertanggungjawab memastikan undang-undang negara sentiasa didaulatkan dan tidak dicabar oleh mana-mana pihak.
e) Kesopanan Dan Kesusilaan: Rakyat Malaysia dituntut bersopan dan bertatasusila. Merupakan nilai-nilai murni yang melambangkan keperibadian seseorang individu. Amalan ini akan menjamin kehidupan masyarakat yang harmoni, penyayang dan saling menghormati.