Selalunya, setiap kali saya menziarahi bumi Sarawak, saya akan pulang dengan perasaan yang tidak betul. Ada rasa bersalah yang mengiringi perjalanan pulang ke Kuala Lumpur. Terasa begitu banyak dan luas peluang dakwah yang ada di sana. Apatah lagi dengan kedudukan Muslim sebagai minoriti kecil, sedangkan Sarawak adalah di antara wilayah Borneo yang terawal menerima Islam. Saya pernah menyertai program mengkursuskan kakitangan Dewan Bandaraya Kuching Utara, anak-anak yatim dan miskin melalui kerjasama PERYATIM - PERKIM, anak-anak ahli perniagaan Kuching yang sebahagiannya bersekolah di Australia dan New Zealand malah tidak lupa, program bersama pelajar sekolah melalui Task Force, program yang dikendalikan di bawah Jabatan Pelajaran di Miri, melalui sahabat saya Muhtar Suhaili.
Tetapi kunjungan kali ini sedikit berbeza. Perasaan bersalah itu tidak muncul dalam bentuknya yang lepas. Pastinya ia kesan daripada program kali ini. Saya pulang dengan rasa syukur dan puas kerana program kali ini bukan bersama mad’u, sebaliknya bersama da’ie, barisan pendakwah di Bumi Kenyalang.
Saya telah dijemput oleh Pusat Latihan Sarawak (PLS) yang dikendalikan oleh JAKIM Sarawak, untuk mengisi bengkel Training of Trainers (ToT). PLS di bawah kendalian Tuan Haji Hazaruddin Baharuddin selaku Pengarahnya, telah mengumpulkan panel penceramah mereka, pendakwah dari pelbagai NGO, kepimpinan persatuan pelajar dan mahasiswa Islam, wakil institusi pendidikan seperti UNIMAS, IKMAS dan ramai lagi. Boleh dikatakan, peserta kali ini adalah jentera penggerak dakwah yang utama di bumi Kuching, juga Sarawak.
Inilah program yang saya nanti-nantikan, kerana peluang seperti ini membolehkan proses duplikasi dilakukan dan meramaikan lagi pendakwah yang berkongsi hasrat, matlamat dan metodologi yang sama dengan apa yang saya lakukan buat masa ini.
Bengkel ini diisi dengan wacana ‘membedah’ buku The 7 Habits of Highly Effective People dengan keyakinan bahawa ilmu bukan hanya berkaitan dengan isi kandungan buku, malah presentation dan cara ilmu disampaikan juga merupakan suatu ilmu dan kemahiran yang perlu dipelajari. Inilah mesej program kali ini.
Saya berasa sangat gembira kerana berpeluang berkongsi pengalaman dan pandangan tentang dakwah, termasuk maklum balas saya tentang program-program yang pernah saya kendalikan sebelum ini di Sarawak, untuk dimanfaatkan oleh peserta yang juga merupakan pendakwah-pendakwah utama di sana.
Seperti kata Tuan Haji Hazaruddin semasa ucapan perasmian penutup, mungkin cabaran besar yang sedang membelenggu pendakwah semasa, ialah soal presentation. Bagaimana dakwah itu disampaikan agar efektif dan meninggalkan kesan yang baik.
...terima kasih: http://saifulislam.com