Thursday, May 22, 2008

:: Mohon keluar atau dipecat?


Keluar Umno dan dipecat dari Umno, siapa lebih mulia?
Oleh Ali Bukhari Amir
Apabila Mahathir keluar daripada Umno, sesetengah pihak menganggapnya sebagai wira kerana tindakan itu menurut mereka sangat berhasil memberi tekanan kepada Pak Lah. Tetapi, Mahathir kata bahawa pihaknya akan kembali semula ke pangkuan Umno jika Abdullah berundur, lalu jawatan itu diisi oleh mana-mana pemimpin yang disifatkan Mahathir sebagai lebih kuat daripada Abdullah. Antara nama-nama yang disebutkan beliau ialah Najib, Muhyiddin, Tengku Razaleigh. Tetapi, tidak pula Mahathir menamakan Anwar Ibrahim. Ini pun satu kepelikan dan keganjilan juga. Padahal, tidaklah mustahil jika Anwar masuk Umno semula. Dalam dunia politik tiada yang mustahil. Dan, hal inilah yang perlu kita bincangkan sedikit.

Pertama, adakah Anwar keluar Umno atau dikeluarkan daripada Umno? Anwar dipecat setelah diminta meletakkan jawatan, tetapi Anwar enggan. Maka, beliau dipecat dan ekoran pemecatan itu beliau dianggap perwira. Dan, selepas itu berbondong-bondong mereka semua keluar Umno, masuk KeADILan. Ada sesetengah mereka kemudiannya 'murtad', masuk Umno semula. Keluarnya Mahathir daripada Umno tidaklah melibatkan kebanjiran ramainya orang Umno mengikutinya. Walhal, Umno ini adalah Umno yang diterajuinya sekitar pertengahan 1980-an ketika Umno berkrisis. Jadi, tindakan Mahathir keluar Umno itu sikap perwira (setelah protes terhadap PM Abdullah yang didakwa beliau sebagai tersilap pilihan) atau dipecat keahlian itu dianggap sebagai perwira? Dalam kes Anwar, beliau dipecat setelah cuba melawan dari dalam, dan ketika itu Mahathir sudah tiada jalan lain lagi. Sekali lagi, perwirakah Mahathir?
Dari satu sudut lain, ada pendapat yang menyifatkan tindakan keluar daripada Umno itu adalah bukti bahawa 'perjuangan' Umno yang bersifat perkauman itu sendiri tidak diperakui oleh presiden-presiden Umno sebelumnya. Hujah mereka, Tunku Onn Jaafar juga telah keluar Umno dan ini menandakan bahawa Umno bukanlah landasan dan wadah perjuangan. Maka, sebab itu kita perlu buka ruang kepada Mahathir untuk berjuang dalam parti pembangkang. Tapi, dalam kes Mahathir, kenyataannya dalam ucapan dan sidang media amat jelas. Iaitu, tindakan beliau itu khas kepada sikap protes kepada Abdullah dan beliau akan masuk Umno semula selepas Abdullah berundur. Maka, terbatallah seketika pandangan yang menyatakan tindakan Mahathir keluar Umno adalah kerana Umno tidak serasi dengan perjuangan Mahathir.

Dalam keghairahan berpolitik sesekali kita perlu meninjau sebab-sebab dan faktor kenapa seseorang itu memilih suatu keputusan untuk bertindak. Niat dan sebab itulah yang perlu dinilai dan di situlah terletaknya awal daripada segala hukuman-hukuman yang perlu dijatuhkan dengan penuh berhikmah.

Sekolah Pemikiran Seksyen 7,
UiTM, Shah Alam
6:57 petang, 21 Mei 2008.