Friday, May 16, 2008

:: Hari Guru: 16 Mei

16 MEI - HARI GURU
"SELAMAT HARI GURU"
Guru cemerlang lahir pelajar berkualiti
Oleh Zainor Said
HARI ini seluruh warga pendidik sekali lagi menyambut perayaan Hari Guru. Hari untuk menyatakan penghargaan dan pengiktirafan kepada golongan pendidik yang banyak berjasa dalam membangunkan bidang pendidikan negara dan menjadikan rakyat sebagai insan berilmu dan bertamadun. Sambutan kemuncak perayaan Hari Guru peringkat kebangsaan tahun ini mengikut perancangan awal diadakan di negeri Jelapang Padi, Kedah. Namun perubahan tampuk pentadbiran negeri kepada pembangkang berikutan kekalahan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-12 Mac lalu, Kementerian Pelajaran telah memindahkan majlis sambutan berkenaan ke negeri Hang Tuah, Melaka. Majlis itu dijadual dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, di Dewan Sri Negeri, Ayer Keroh, Melaka, petang ini.

Golongan pendidik di Kedah, mungkin ada yang kecewa dengan langkah Kementerian Pelajaran memindahkan majlis yang ditunggu-tunggu itu, walaupun persiapan telah dibuat sejak awal-awal lagi. Bagaimanapun, itulah kenyataan yang perlu dihadapi semua pihak kerana sudah tentu Kementerian Pelajaran lebih selesa mengendalikan acara berkenaan di negeri yang dikuasai kerajaan BN. Namun begitu, kita percaya sambutan di peringkat negeri, daerah dan sekolah akan berjalan seperti biasa bagi membolehkan penganugerahan kepada tokoh-tokoh guru tempatan disempurnakan dan kemeriahannya pula dapat dikongsi bersama anak murid di setiap negeri, seperti yang mereka kecapi pada tahun-tahun sebelumnya. Dalam kita meraikan sambutan Hari Guru tahun ini, marilah kita sama-sama bersyukur kerana negara sentiasa berada dalam suasana aman dan dijauhi musibah. Berbeza dengan suasana di beberapa negara seperti Myanmar yang dilanda taufan Nargis mengakibatkan tidak kurang daripada 23,000 penduduknya terkorban dan lebih 100,000 lagi dilaporkan hilang.

Sementara angka korban di China pula berikutan bencana gempa bumi sudah mencecah 13,000 dan lebih 60,000 mangsa dilaporkan hilang. Bencana dahsyat di kedua-dua negara itu turut meragut ramai nyawa kanak-kanak, pelajar dan juga pendidik, malahan dilaporkan kemudahan serta ratusan sekolah adalah antara ribuan bangunan yang turut musnah dalam bencana itu. Oleh itu, bersempena sambutan Hari Guru tahun ini, selain kita menghargai jasa serta mengenang pengorbanan pendidik di negara ini, marilah kita menyatakan perasaan simpati kepada rakyat di negara berkenaan yang menderita berikutan kejadian yang menyayatkan hati itu. Sambutan Hari Guru tahun ini yang bertemakan ‘Guru Cemerlang Negara Terbilang’, sudah cukup memberi gambaran betapa pentingnya seseorang guru harus berada pada tahap cemerlang bagi memastikan tanggungjawab yang diamanahkan dapat disempurnakan dengan sebaik-baiknya.

Dalam konteks ini, guru cemerlang bukanlah dimaksudkan kepada jawatan Guru Cemerlang yang diwujudkan Kementerian Pelajaran pada 1993, kerana mereka hanyalah segelintir guru yang diiktiraf benar-benar cemerlang dalam pengajaran sesuatu subjek sehingga membolehkan mereka dijadikan pakar rujuk oleh guru lain. Tanda aras atau kayu pengukur kecemerlangan mereka sudah tentu berdasarkan prestasi subjek yang diajar dalam peperiksaan. Bagaimanapun jika hanya cemerlang dalam subjek tertentu dan pencapaiannya tidak menyeluruh, tidak mungkin sesebuah sekolah itu mampu melahirkan pelajar berkualiti dan boleh dikategorikan sebagai terbilang. Oleh itu tema Hari Guru tahun ini menuntut agar semua pendidik bertekad untuk mencapai tahap cemerlang agar dapat menggembleng usaha bersama melonjakkan prestasi sekolah secara menyeluruh, baik akademik yang merangkumi semua subjek, disiplin, keceriaan sekolah, kokurikulum dan bidang lain seterusnya melahirkan pelajar berkualiti yang serba boleh, berkemahiran, berbakat dan berketerampilan. Memang kena pada masanya Kementerian Pelajaran memberi penekanan khusus terhadap aspek kecemerlangan guru itu sendiri kerana dalam dunia pendidikan sekarang yang berdepan dengan pelbagai persaingan dan cabaran, kepada guru yang memiliki ciri-ciri cemerlang saja mampu melahirkan pelajar cemerlang seterusnya melonjakkan kemajuan negara ke tahap yang terbilang.
Dengan tema yang dipilih itu, kita amat yakin ia mampu merangsangkan setiap guru serta bakal guru meningkatkan motivasi diri serta kemampuan dengan ilmu pengetahuan yang lebih luas, kemahiran serta semangat yang lebih tinggi supaya mereka bukan saja dapat menyampaikan ilmu dengan lebih baik dan berkesan, malahan yang lebih penting menjadi guru yang sentiasa dipandang tinggi dan dihormati bukan saja dalam kalangan anak murid, malahan ibu bapa serta masyarakat seluruhnya. Tema ini juga selari dengan langkah Kementerian Pelajaran yang sentiasa menggalakkan guru mempertingkatkan pengetahuan serta kelayakan masing-masing sehingga menjadi guru yang memiliki kelulusan ijazah. Guru juga sentiasa disarankan memperbaiki kemahiran penyampaian, komunikasi, serta aspek pedagogi mereka supaya proses pengajaran dalam bilik darjah dapat dijalankan dengan lebih menarik dan berkesan. Dalam memperkatakan sambutan Hari Guru, tidak lengkap jika tidak menyentuh mengenai cabaran yang harus dipikul golongan pendidik. Sejajar dengan matlamat untuk mengangkat negara ke tahap terbilang, pendidik mempunyai tiga cabaran besar yang harus ditangani iaitu pertama menggembleng tenaga untuk meningkat pencapaian pelajar luar bandar supaya jurang pencapaian sekarang dapat dirapatkan berbanding pelajar di bandar. Kedua ialah meningkat prestasi pelajar ke tahap cemerlang tanpa mengabaikan pelajar yang berprestasi rendah terutama yang berpotensi gagal atau mencatat gred E dalam peperiksaan. Jika golongan pelajar yang berprestasi lemah ini tidak diatasi terlebih dulu, bermakna kita masih sukar untuk melonjakkan negara ke tahap terbilang. Ketiga ialah mengurangkan atau mensifarkan golongan murid yang gagal menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M). Jika kita berjaya menangani ketiga-tiga cabaran ini, barulah matlamat negara untuk mencapai tahap terbilang mampu menjadi kenyataan.
SELAMAT HARI GURU