Saturday, May 03, 2008

:: Pembangunan manusia


Sabtu/Ahad, 3/4 Mei 2008


Brunei teratas dalam pembangunan manusia
Oleh Sheirol Mohd Heldy
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat - Brunei mempunyai ranking Pembangunan Manusia tertinggi di dunia Islam dan diikuti oleh Kuwait dan Qatar, kata Pemangku Pengerusi Lembaga Pembangunan Ekonomi Brunei, Dato Paduka Timothy Ong.

Bagaimanapun, perkembangan ekonomi yang pesat di negara-negara seperti Jepun, Korea dan Singapura yang tidak mempunyai sumber-sumber asli berbanding dengan perkembangan yang perlahan di negara-negara yang kaya dengan sumber-sumber asli menunjukkan pengekalan perkembangan ekonomi tidak dapat bergantung pada kekayaan sumber sahaja.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh BEDB hari ini, beliau menekankan bahawa kunci utama bagi pengekalan perkembangan ekonomi ialah sumber tenaga manusia dan bukannya sumber-sumber asli.

Dato Paduka Timothy berkata demikian dalam ucapannya ketika Forum Ekonomi Islam Sedunia di Kuwait minggu ini mengenai peranan pelaburan dalam pengurangan kemiskinan. Menurutnya, perkembangan ekonomi yang digabung dengan pelaburan dalam pendidikan dan perkhidmatan kesihatan adalah strategi paling efektif bagi pengurangan kemiskinan.

Forum Ekonomi Islam Sedunia itu dirasmikan oleh Emir Kuwait, Sheikh Sabah Al Ahmad Al-Sabah. Forum itu disertai oleh Raja Abdullah dari Jordan, Perdana Menteri Malaysia Abdullah Badawi, Presiden Senegal dan Pengerusi Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) Abdoulaye Wade, Perdana Menteri Bahrain Sheikh Khalifa bin Salman Al Khalifa, bekas Perdana Menteri Britain Tony Blair dan delegasi-delegasi dari lebih 50 negara.