Friday, May 30, 2008

:: Akta Pencen (Pindaan) 2008: Diluluskan


Akta umur persaraan dilulus
Oleh Anwar Hussin, Faiza Zainuddin, Sazarina Shahrim dan Norliza Wasilan

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat semalam meluluskan pindaan kepada Akta Pencen 1980 yang diberi nama Akta Pencen (Pindaan) 2008 bagi membolehkan umur persaraan kakitangan awam dilanjutkan daripada 56 kepada 58 tahun, berkuat kuasa 1 Julai ini. Akta itu membabitkan pegawai dan kakitangan yang bekerja sepenuh masa, namun mereka diberi pilihan untuk bersara pada umur persaraan wajib, 55 atau 56 tahun seperti pilihan mereka sebelum 1 Julai ini. Turut diluluskan Rang Undang-undang Pencen Pihak-pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan (Pindaan) 2008.

Rang Undang-undang itu membabitkan perbelanjaan tambahan kepada kerajaan tetapi jumlahnya belum lagi ditentukan. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Johari Baharum, berkata kajian yang dibuat pada 2001 mendapati lanjutan umur persaraan itu tidak akan memberi kesan kepada masalah pengangguran. "Perlanjutan ini tiada tujuan politik. Kalau ada tujuan politik kita dah lakukan sebelum pilihan raya. Lagipun ia hanya membabitkan 31,000 peluang pekerjaan dalam perkhidmatan awam sedangkan jawatan kosong yang ada 200,000. Peluang pekerjaan tidak terjejas," katanya ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu.