Friday, May 16, 2008

:: Poligami: 3 isteri sokong dan izin



Mohamed Nor Awang bersama tiga isterinya Khalthom Dollah, Wan Rukiah Mat Yusof dan Noraini Daud (kanan) di Mahkamah Syariah, Kuala Terengganu, semalam.

3 isteri sokong hasrat suami kahwin lagi
Oleh IRMAN HASHIM

KUALA TERENGGANU 15 Mei – Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini menetapkan Ahad ini untuk membuat keputusan sama ada akan membenarkan seorang pemandu lori berusia 57 tahun untuk berkahwin lagi selepas tiga isterinya memberikan kebenaran dan sokongan terhadap hasrat suami mereka itu.

Hakim Shaikh Ahmad Ismail membuat keputusan tersebut bagi membolehkan Mohamed Nor Awang, 57, dari Kampung Tok Fakir, Merchang di Marang memberikan alasan yang lebih kukuh untuk berkahwin lagi dengan seorang kerani berusia 34 tahun. Shaikh Ahmad turut mengarahkan Mohamed Nor yang dijadual bernikah dengan bakal isterinya yang keempat itu pada 23 Mei ini supaya membawa wanita tersebut bersama wali selain bukti-bukti kemampuannya dari segi kewangan.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat kerana bimbang Mohamed Nor yang berpendapatan RM1,500 sebulan dan sudah mempunyai tiga orang isteri dengan 18 orang anak berusia antara empat hingga 34 tahun, serta empat orang cucu, tidak mampu menyara dan berlaku adil terhadap isteri-isterinya.
“Pada pandangan syarak, mahkamah tidak boleh beri keizinan kepada pemohon untuk berkahwin lagi kerana dikhuatiri tidak mampu menampung perbelanjaan dan berlaku adil selain sudah lanjut usia, tetapi mahkamah akan beri peluang kepada pemohon untuk mengemukakan alasan yang lebih kukuh untuk berkahwin lain.
“Saya pelik dengan kes ini kerana sepanjang saya menjadi hakim, ini kes pertama ketiga-tiga isteri benarkan suami berkahwin lain malah mereka menyokong kuat hasrat itu,” katanya.
Shaikh Ahmad turut berulang kali bertanya kepada ketiga-tiga isteri Mohamed Nor sama ada mereka benar-benar memberikan keizinan bagi membolehkan suami mereka berkahwin lagi.