Thursday, May 22, 2008

:: MT UMNO: Sokong PM

MT sokong Abdullah
Oleh MARHAINI KAMARUDDIN,ARSHAD KHAN, SAIFULIZAM MOHAMAD

KUALA LUMPUR 21 Mei – Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang bermesyuarat lebih tiga jam sehingga lewat tengah malam ini memutuskan memberi sokongan kepada Presidennya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk terus memimpin parti dan menggerakkan pelan pemulihan politik UMNO.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang diminta oleh Abdullah membentangkan apa yang telah diputuskan pada mesyuarat itu, berkata, dalam mesyuarat khas itu MT juga membincangkan pengisytiharan Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk keluar daripada UMNO.
“Mesyuarat MT telah mengambil maklum bahawa Tun Dr. Mahathir telah mengutuskan surat secara rasmi kepada UMNO untuk keluar parti.
“MT berharap Tun dapat kembali kepada parti satu masa nanti,'' kata Najib pada sidang akhbar selepas mesyuarat itu di Menara Datuk Onn di sini.

Ditanya adakah kenyataannya itu bermakna pucuk pimpinan UMNO menerima keputusan Dr. Mahathir itu, Timbalan Perdana Menteri mengulangi bahawa MT menerima dan mengambil maklum namun menzahirkan harapan agar bekas Presiden UMNO dan perdana menteri selama 22 tahun antara 1981 dan 2003 itu akan kembali kepada parti.
“Ini bukan kehendak kita, (Tun) ambil keputusan sendiri untuk keluar parti,'' ujarnya.
Isnin lalu, Dr. Mahathir mengumumkan beliau hanya akan kembali menyertai UMNO selepas Abdullah yang juga Perdana Menteri meletak jawatan atau tidak lagi menjadi pemimpin negara.

Mengenai rancangannya untuk menemui Dr. Mahathir, Najib berkata, beliau bersedia pada bila-bila masa tetapi semua pihak sedia maklum pendirian bekas Perdana Menteri itu pada masa ini.
Terdahulu, Abdullah mengumumkan mesyuarat tersebut membincangkan dua perkara iaitu surat Dr. Mahathir dan pelan pemulihan politik UMNO.

Menurut Perdana Menteri, rangka pelan itu telah dibincangkan sebanyak dua kali oleh MT dan hanya perlu diperhalusi sekali lagi untuk dimuktamadkan. Beliau kemudian menyerahkan sesi sidang akhbar kepada timbalannya untuk menjelaskan dengan lebih lanjut kedua-dua perkara tersebut. Najib memberitahu, pelan pemulihan itu akan menjadi landasan kepada UMNO untuk bergerak bersungguh-sungguh memperkasakan parti dan mengembalikan kepercayaan ahli-ahli dan rakyat.

Ditanya sama ada isu peralihan kuasa antara beliau dan Abdullah disentuh pada mesyuarat malam ini, Najib berkata: “Ia tidak dibincangkan... ini saya akan bincang dengan Perdana Menteri.”
Mengenai kedudukan Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Mukhriz Mahathir, beliau memberitahu perkara itu juga tidak dibincangkan. MT, kata Najib, menyerahkan kepada Pergerakan Pemuda UMNO untuk menangani isu itu.

Timbalan Perdana Menteri juga ditanya tentang kemungkinan ramai ahli UMNO mengikut jejak Dr. Mahathir meninggalkan parti. Beliau menolak kemungkinan dengan berkata: “Kita tidak jangkakan ramai yang keluar. Kita yakin ahli-ahli parti setia pada UMNO dan akan kekal dalam UMNO... kalau ada apa-apa masalah ia mesti diselesaikan dalam UMNO,” katanya.

Diminta menjelaskan secara terperinci bentuk pelan pemulihan politik yang akan dilaksanakan UMNO, Najib meminta semua pihak bersabar menanti pengumumannya tidak lama lagi.