Mutakhir
Impak strategi terbaru Mahathir-Najib
16-05-2008 03:03:33 PM Oleh G. MANIMARAN
KUALA LUMPUR: "Dah jumpa dah." Jawapan ini nampak ringkas, tetapi membawa maksud amat mendalam serta mempunyai signifikan tersendiri kepada politik tanah air. Lebih-lebih lagi ke atas perkembangan dalam UMNO sendiri sejak kebelakangan ini. Susulan pertemuan ini, banyak persoalan timbul dan diajukan oleh pelbagai pihak. Mstar Online disahkan pertemuan itu telah berlangsung pada Ahad lalu di kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak di Putrajaya. Dr. Mahathir sendiri telah melangkah ke Seri Satria.
Jika berdasarkan kenyataan Dr. Mahathir minggu lalu, Najib telah menyatakan kesediaannya mengunjungi beliau sebaik sahaja mendapat kebenaran Perdana Menteri. Pertemuan Dr. Mahathir-Najib berlangsung dalam tempoh lima hari selepas bekas Perdana Menteri mendakwa Najib enggan memenuhi permintaannya agar diadakan satu pertemuan selepas pilihan raya kerana tidak mendapat restu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Semalam, Dr. Mahathir tidak mendedahkan isi pertemuan tersebut. Tetapi difahamkan banyak isu semasa khususnya yang berkisar pada prestasi UMNO dan BN dalam pilihan raya umum dibincangkan panjang lebar. Kini Dr. Mahathir atas kapasitinya sebagai negarawan dan pemimpin yang berusia berbanding Najib, sepatutnya tidak perlu melakukan demikian. Tetapi beliau bertindak demikian. Sekali lagi persoalannya: Mengapa? Ya, mengapa perlunya pertemuan ini? Mengapa Dr. Mahathir sendiri yang 'berusaha' untuk memastikan pertemuan diadakan dengan Najib yang juga Timbalan Presiden UMNO menjadi kenyataan? Adakah kedua-dua mereka begitu terdesak sehingga perlu bertemu secara tertutup? Adakah Dr. Mahathir ingin menyampaikan sesuatu kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menerusi Najib? Adakah Dr. Mahathir memerlukan sokongan Najib untuk menggerakkan caturan politik pasca selepas bersara lebih empat tahun lalu? Adakah perkembangan politik semasa memerlukan strategi baru Dr. Mahathir sebagai veteran UMNO dan bekas Perdana Menteri untuk melakukan sesuatu dalam suasana politik semasa. Jika ya, apakah antara isu yang menjadi bahan perbincangan?
Meskipun sudah lebih empat tahun menyerahkan kepimpinan kepada Abdullah dan Najib selaku Timbalan Perdana Menteri, setiap gerak-geri, tindakan dan kenyataan serta komen Dr. Mahathir masih menarik perhatian ramai. Banyak pihak masih berpegang kepada kata-kata Dr. Mahathir. Dr. Mahathir masih membawa kesan dan impak ke atas senario politik negara. Pada 7 Mei lalu, Dr. Mahathir melahirkan rasa kesal kerana hasratnya untuk bertemu Najib bagi membincangkan isu-isu semasa selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 tidak berjaya kerana Timbalan Perdana Menteri itu perlu mendapat keizinan Abdullah terlebih dahulu. Kenyataan itu dikeluarkan selepas pada 21 April lalu Dr. Mahathir melabelkan Najib tidak layak menjadi Perdana Menteri, malah menyifatkannya sebagai penakut dan tidak berani bercakap. Najib selama ini dikatakan mengambil sikap berdiam diri dalam banyak isu berkaitan dengan kepimpinan negara dan pilihan raya.
Justeru dengan perkembangan terbaru Ahad lalu dan pengesahan Dr. Mahathir, ia bakal membawa impak, signifikan dan strategi terbaru dalam politik nasional dan UMNO sendiri. UMNO akan mengadakan pemilihan pucuk kepimpinan pada Disember ini. Ia bakal mencorakkan arah aliran sokongan kepada Najib dalam pemilihan kali ini. Begitu juga ia akan menentukan arah aliran baru dalam politik nasional mulai sekarang.