Friday, March 29, 2013

::SPR : Tarikh akhir pembubaran parlimen... 30 April 2013...


KUALA LUMPUR, 28 Mac – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Khamis memperjelaskan bahawa tarikh sebenar pembubaran Dewan Rakyat secara automatik ialah pada 30 April dan bukan 28 April seperti yang banyak dilaporkan sebelum ini.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata ini berikutan tarikh 28 April itu jatuh pada hari Ahad.
Beliau berkata tempoh matang dibawa ke hari Isnin, 29 April dan Dewan Rakyat akan terbubar secara automatik pada tengah malam hari itu bagi membolehkan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 diadakan sekiranya tidak dibubarkan lebih awal.
“Perubahan tarikh itu adalah berdasarkan peraturan yang ditetapkan SPR dan disahkan oleh bahagian undang-undang suruhanjaya ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
“Ini adalah pengiraan yang dibuat oleh bahagian undang-undang SPR di mana ada tarikh-tarikh cuti yang tidak boleh dikira,” katanya.
Sebelum ini, banyak pihak membuat andaian bahawa Dewan Rakyat sepatutnya terbubar sendiri pada 9 Mac lepas berikutan PRU ke-12 diadakan pada 8 Mac 2008.
Bagaimanapun, tarikh cukup tempoh satu penggal atau lima tahun pilihan raya umum dikira berdasarkan tarikh hari pertama Dewan Rakyat bersidang selepas pilihan raya umum diadakan, bukan berdasarkan tarikh pilihan raya berlangsung.
Dewan Rakyat bersidang buat kali pertama pada 28 April 2008, iaitu 51 hari selepas tarikh PRU ke-12. -

:: SPRM terima 131 maklumat... 17 ditangkap...

KUCHING: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menangkap 17 individu dan membuka 15 kertas siasatan berkaitan rasuah sejak Januari hingga 25 Mac lepas.
Pengarah SPRM Sarawak Datuk Bahri Mohamad Zin berkata, daripada jumlah itu, tujuh ditahan di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 kerana memberi rasuah.
Tahun lepas, beliau berkata, 118 orang ditangkap dengan 51 daripadanya ditahan di bawah akta yang sama, dan 95 kertas siasatan dibuka.
Katanya, terdapat peningkatan dalam jumlah tangkapan pada tahun lepas berbanding 2011 dengan 61 tangkapan yang mana 47 daripada-nya ditangkap di bawah akta yang sama dan 98 kertas siasatan dibuka.
“Saya yakin peningkatan bilangan tangkapan berhubung salah laku rasuah menunjukkan penjawat awam dan anggota penguat kuasa mempunyai tahap kesedaran yang tinggi dan integriti dalam menolak rasuah.
“Hasilnya, mereka tampil membuat laporan berhubung rasuah kepada SPRM untuk tindakan lanjut. Susulan laporan yang dibuat SPRM berjaya menangkap mereka terbabit,” katanya pada Pertandingan Menembak Jemputan SPRM di sini, semalam.
Teks ucapannya dibacakan Penolong Pesuruhjaya SPRM Negeri Mohd Nor Ali.
Bahri berkata, turut meningkat ialah jumlah maklumat yang diterima SPRM.
Pada 2011, SPRM menerima 633 maklumat daripada penjawat awam dan orang ramai, dan bilangan itu meningkat kepada 692 pada tahun lepas.
Setakat 25 Mac tahun ini, SPRM menerima 131 maklumat.
“Saya yakin tahap kesedaran di kalangan penjawat awam dan orang ramai mengenai tanggungjawab mereka memberi maklumat berhubung rasuah kian meningkat,” katanya.
Turut serta dalam pertandingan itu ialah Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani dan Pengarah Imigresen Sarawak Datu Robert Lian.



Read more: http://www.theborneopost.com/2013/03/29/sprm-tangkap-17-individu-setakat-25-mac/#ixzz2OslKHsEl

:: PRU13: Politik Sarawak... William Mawan nak ke parlimen Saratok...?

KUCHING: Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Tan Sri William Mawan Ikom semalam memberitahu beliau sanggup diletakkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Saratok pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) jika beliau diarah berbuat demikian oleh pucuk pimpinan BN.
Bercakap kepada media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Geran Kementerian Pembangunan Sosial kepada pertubuhan sukan dan belia di sini semalam, beliau memberitahu akan menerima ‘arahan’ itu demi kemenangan BN.
“Jika demi kemenangan BN, kenapa tidak (saya terima arahan itu). Itu adalah kenyataan yang sering saya sebut. Tetapi saya bekerja 24 jam di empat konstituensi milik SPDP termasuk Saratok dan Mas Gading.
“Setiap kali saya melawat konstituensi-konstituensi tersebut, saya akan membawa bersama penyandang, semua ini bagi memastikan yang lemah akan bertambah kuat, tidak bermakna saya mahu menjadi calon.
“Namun jika itulah keputusan pucuk kepimpinan BN, hanya satu cara untuk kita (BN) menang, mari kita lupakan pendapat peribadi,” ujarnya.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai spekulasi mengatakan beliau bakal bertanding di kerusi Parlimen Saratok yang ketika ini disandang oleh Jelaing Mersat.
Mawan yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan juga tidak menolak kemungkinan berlaku perubahan dalam senarai nama calon parti itu pada saat-saat akhir.
“Sudah tentu SPDP telahpun membuat keputusan (mengenai calon) lama dulu oleh Majlis Tertinggi parti tetapi sebagai ahli komponen BN yang setia, kita tidak seharusnya dan tidak boleh membuat keputusan sendiri.
“Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) selaku Pengerusi BN masih boleh mengkajinya semula, kita akan terima demi kepentingan BN dan memastikan parti terus kekal,” katanya.
Tambahnya lagi, sebagai komponen BN, SPDP tidak boleh membuat keputusan sendiri mengenai calon dan perlu mematuhi persetujuan dan mengambil kira semua kepentingan BN.
“Persoalannya, jika SPDP cuba membuat atau menegakkan keputusannya (mengenai pemilihan calon), adakah parti bersedia untuk melakukannya (menghadapi pilihan raya) sendiri kerana kita adalah komponen BN.
“Saya tidak bermaksud (berlaku) perubahan pada senarai calon kita di sana dan sini, tetapi apa jua keputusan kita, keputusan parti, ia akhirnya akan ditentukan oleh pucuk kepimpinan parti,” ujarnya.
SPDP diperuntukkan empat kerusi Parlimen iaitu Saratok, Baram, Mas Gading dan Bintulu.



Read more: http://www.theborneopost.com/2013/03/29/saya-sedia-tanding-di-saratok/#ixzz2Osgms6Z7

Tuesday, March 26, 2013

:: Hospital Umum Sarawak... terbakar...

KUCHING: Terowong yang membekalkan kemudahan utiliti ke bangunan utama Hospital Umum Sarawak (HUS) terbakar menyebabkan lebih 100 pesakit dipindahkan, malam tadi (25.03.2013)

Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 malam itu, terowong yang membekalkan kemudahan oksigen, kumbahan dan air panas untuk kemudahan hospital dikatakan tiba-tiba terbakar hingga menyebabkan asap masuk ke wad pesakit hingga ke tingkat tujuh. 
Sebaik menyedari asap keluar daripada terowong berkenaan, kakitangan hospital bergegas mengarahkan pesakit mengosongkan bangunan berkenaan dan ditempatkan sementara di lobi hospital. 

Pengarah Bomba dan Penyelamat Sarawak, Nor Hisham Mohammad berkata, kebakaran berlaku di pertengahan terowong berukuran kira-kira 50 meter itu yang menghubungkan bilik kompresor ke bangunan hospital.
ANTARA pesakit yang terpaksa dipindahkan berikutan HUS terbakar. Bagaimanapun, Bomba dan Penyelamat Sarawak berjaya mengawal kebakaran. FOTO Nadim Bokhari

Katanya, punca kejadian masih belum diketahui dan bomba menghadapi kesukaran untuk memadamkan kebakaran berikutan tiada laluan untuk masuk ke dalam terowong.
"Terowong yang terbakar menyebabkan asap masuk melaluinya hingga ke tingkat tujuh tetapi wad di tingkat satu paling terjejas dan kira-kira 50 pesakit terpaksa dipindahkan.

"Bomba mengambil tindakan pantas dengan menutup saluran di tingkat satu untuk mengelakkan asap terus masuk dan bagi memastikan saluran oksigen kepada pesakit dapat dibekalkan berterusan," katanya ketika ditemui. 

Hisham berkata, bomba sedang memantau keadaan di bawah terowong dan berdasarkan pemantauan suhu, kebakaran masih berlaku.

Katanya, bomba sedang berusaha membuka penutup kotak untuk masuk ke terowong dan ketika ini menggunakan kaedah penyejukan bagi mengawal kebakaran.

"Keadaan kembali terkawal dan pesakit difahamkan sudah dibenarkan pulang ke wad masing-masing," katanya.

Bomba menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 8.20 malam dan 39 anggota dari Balai Bomba Tabuan, Batu Lintang dan Kuching bergegas ke lokasi kejadian termasuk unit Hazmat.

Saturday, March 23, 2013

:: SPM 2012: Sarawak mencapai kelulusan 91.52% dan GPN 5.43...

Sarawak catat 35 calon dapat Cemerlang Tertinggi dalam semua mata pelajaran SPM

CEMERLANG: Fatimah menyampaikan sijil kepada pelajar cemerlang, Lim Li Ying dari SMK Kuching High sambil disaksikan Abdillah (tiga kiri) pada Majlis Pengumuman Keputusan SPM 2012 di Kuching, semalam.
CEMERLANG: Fatimah menyampaikan sijil kepada pelajar cemerlang, Lim Li Ying dari SMK Kuching High sambil disaksikan Abdillah (tiga kiri) pada Majlis Pengumuman Keputusan SPM 2012 di Kuching, semalam.

KUCHING: Sarawak mencatatkan pencapaian calon berprestasi cemerlang yang menggalakkan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012 dengan seramai 35 calon mendapat Gred A+ iaitu Cemerlang Tertinggi dalam semua mata pelajaran.
Pengarah Pelajaran Negeri, Abdillah Adam berkata, daripada jumlah itu seorang calon mendapat 12 A+ dalam semua mata pelajaran iaitu Ngu Lih Bin dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Methodist, Sibu. Manakala, sembilan calon mendapat 11 A+, 18 calon meraih 10 A+ dan tujuh calon mencapai 9 A+ dalam semua mata pelajaran.
“Bilangan calon yang mendapat sekurang-kurangnya gred A- dalam semua mata pelajaran pula ialah 835 orang berbanding 777 orang pada tahun 2011, iaitu peningkatan seramai 58 orang.
“Seorang calon Berkeperluan Khas (Buta), iaitu Sun Wan Ting dari SMK Batu Lintang, Kuching pula mendapat keputusan 3A, 2A-, 1B+, 1B dan 1E,” katanya pada Majlis Pengumuman Keputusan SPM 2012 yang dihadiri Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah di Jabatan Pelajaran di sini, semalam.
Abdillah turut memberitahu, empat buah sekolah melakar prestasi cemerlang dengan kelulusan 100 peratus semua mata pelajaran dalam SPM 2012, jumlah sama dengan tahun sebelumnya.
Sekolah-sekolah tersebut ialah SM Sains Kuching, SM Sains Miri, Maktab Rendah Sains MARA Betong dan Maktab Rendah Sains MARA Mukah.
“SPM 2012 juga menampakkan 15 sekolah luar bandar mencatatkan keputusan memberangsangkan dalam kelompok 50 buah sekolah berprestasi baik, berbanding 11 pada SPM 2011,” jelasnya.
Abdillah berkata, secara amnya pada tahun 2012, seramai 38,344 calon di Sarawak telah mendaftar untuk menduduki SPM dan daripada jumlah itu, 35,526 orang (92.65 peratus) adalah calon sekolah menengah kebangsaan. Manakala, 321 orang (0.84 peratus) merupakan calon sekolah di bawah agensi selain Kementerian Pelajaran Malaysia, 652 orang (1.70 peratus) pula adalah calon sekolah swasta dan 1,845 orang (4.81 peratus) adalah calon persendirian.
Keputusan SPM 2012 juga menyaksikan seramai 31,795 atau 91.52 peratus daripada 34,742 calon sekolah menengah kebangsaan yang menduduki peperiksaan berjaya mendapat sijil SPM, iaitu memenuhi syarat sekurang-kurangnya lulus mata pelajaran Bahasa Melayu.
“Keputusan ini mengatasi pencapaian peringkat kebangsaan iaitu 91.10 peratus dengan 0.42 peratus.
“Pencapaian calon di Sarawak pada tahun ini mengikut nilai Gred Purata Negeri (GPN) ialah 5.43,” kata beliau.


Read more: http://www.theborneopost.com/2013/03/22/pencapaian-menggalakkan/#ixzz2ONDO4w3r

Thursday, March 21, 2013

:: SPM 2012: SM Sains Kuching... antara yang terbaik di Sarawak

KUCHING: Seramai 35 orang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012 di Sarawak mendapat Gred A+ dalam semua mata pelajaran.

Daripada 35 calon itu, Ngu Lih Bin dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Methodist, Sibu mencapai keputusan paling cemerlang, 12A+ dalam semua mata pelajaran.

Empat buah sekolah pula diumumkan sebagai Sekolah Berprestasi Cemerlang iaitu SM Sains Kuching, SM Sains Miri, Maktab Rendah Sains MARA Betong dan Maktab Rendah Sains MARA Mukah.

Keputusan SPM 2012 bagi Sarawak diumumkan oleh Pengarah Pelajaran Sa
rawak, Abdillah Adam di Pejabat Pelajaran Negeri di Jalan Bako pagi tadi.