Wednesday, May 21, 2008

:: Mahathir: Ulasan Pairin


Mahathir patut bersara secara aman - Pairin
21-05-2008 04:03:13 PM

KOTA KINABALU: Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan berkata, tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad keluar daripada Umno tidak akan menjejaskan kekuatan parti komponen Barisan Nasional. Beliau berkata, soal masuk dan keluar parti bukan perkara yang ganjil atau bersifat luar biasa." Tindakan Dr. Mahathir itu adalah sesuatu yang biasa berlaku dalam mana-mana parti politik di negara ini, cuma kerana Dr. Mahathir, ia dijadikan isu oleh media massa dan diperbesar-besarkan," katanya kepada pemberita di sini hari ini ketika diminta mengulas tindakan Dr. Mahathir keluar Umno dua hari lepas.
Pairin berkata, Dr. Mahathir sepatutnya bersara secara aman tanpa perlu memikirkan soal politik selepas beliau mengumumkan persaraannya daripada jawatan dalam kerajaan dan parti lima tahun yang lepas." Beliau sudah bersara dan seharusnya bertenang dalam persaraan," katanya. Pairin berkata, PBS akan terus memberi sokongan padu kepada pucuk pimpinan BN yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi." Saya juga yakin parti komponen lain dalam Barisan Nasional juga berpendirian sedemikian," katanya.