Monday, May 19, 2008

:: Mahathir umum keluar UMNO


Tun Dr Mahathir Mohamad telah umum keluar dari UMNO. Bekas Perdana Menteri itu membuat pengumuman itu di majlis anjuran Himpunan Melayu Kedah di Alor Star. Sebelum itu semasa majlis dailog dengan kira-kira 1,000 orang yang menghadirinya beliau mencadangkan Ketua-ketua UMNO cawangan dan bahagian keluar parti beramai-ramai sehingga Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi letak jawatan. Katanya ini kerana jika mereka tunggu sehingga pemilihan UMNO Disember ini Abdullah akan menang tanpa bertanding jawatan itu. Beliau terus membuat pengumuman keluar parti bila salah seorang hadirin mencabarnya buat pengumuman itu. Menjawab soalan para wartawan dalam sidang akhbar lepas majlis itu Dr Mahathir beritahu beliau akan hantar surat rasmi keluar UMNO kepada Setiausaha Agung UMNO dalam masa terdekat. Katanya beliau akan masuk balik UMNO sekiranya Abdullah letak jawatan.
Dr Mahathir bagaimanapun tidak meminta para ahli UMNO yang nak ikut tindakannya itu masuk parti lain. Sementara itu Ketua UMNO Bahagian Cheras Datuk Syed Ali Alhabshee dalam reaksi segera kepada tindakan Dr Mahathir nak keluar UMNO meminta Perdana Menteri segera duduk dan berbincang dengan bekas Perdana Menteri itu. Beliau menilai tindakan keluar parti itu tidak wajar dan boleh mengugat kestabilan parti. Beliau juga mendesak semua para pemimpin UMNO khususnya para ahli Majlis Tertinggi bertindak segera menyelesaikan kemelut terbaru ini. Katanya mereka tidak boleh lagi diam dalam soal ini.
Bekas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim yang menghubungi Agendadaily petang ini merayu kepada Dr Mahathir menarik balik tarik balik tindakan keluar UMNO. Katanya tindakan itu lebih banyak merugikan dari menguntungkan. Katanya beliau akan mengetuai satu rombongan Badan Perhubungan UMNO Perlis untuk bertemu segera dengan Dr Mahathir. Serentak dengan itu beliau juga menyeru seluruh pimpinan UMNO gembeling usaha segera selesai kemelut ini. Katanya mereka tidak patut tunggu arahan Pak Lah dalam soal ini. “ Adakalanya kita semuanya nak tunggu arahan Pak lah…dalam soal ini semua kena bertindak serta merta. Katanya Dr Mahathir sebagai pejuang nombor satu UMNO tidak harus berbuat demikian. “Kalau nak kira kecewa saya sendiri pun kecewa tetapi tidak bertindak begitu…lagipun masalah Dr Mahathir hanya dengan Presiden parti bukan dengan seluruh ahli UMNO... maka ia harus diselesaikan dengan baik,” katanya.
Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Khaled Nordin pula meminta para ahli UMNO bertenang dalam menghadapi kemelut Dr Mahathir bertindak keluar parti. Beliau berpendapat tindakan ini tidak akan selesai masalah." Kita masuk UMNO ini bukan kerana Pak Lah atau Dr Mahathir," katanya yang juga ahli Majlis Tertinggi UMNO ketika dihubungi Agendadaily untuk mengulas hal itu. Beliau harap para ahli UMNO tidak akan sertai langkah Dr Mahathir itu. Menurutnya mereka harus berpegang kepada asas penyertaan mereka dalam parti.
19/5/2008