Tuesday, November 30, 2010

:: Pendidikan seks mulai 2011 ?






500,000 murid Tahun Satu sesi 2011 diajar pendidikan seks
Oleh Khairina Yasin
kayrina@bharian.com.my
2010/11/30



PUTRAJAYA: Kira-kira 500,000 murid Tahun Satu sesi persekolahan 2011 bakal menjadi kumpulan pertama diajar pendidikan seks yang diperkenalkan menerusi Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), mulai Januari depan.

Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran, Datu Dr Julaihi Bujang, berkata pendedahan pendidikan seks itu akan diajar menerusi subjek Pendidikan Kesihatan, di bawah Modul Teras Asas bagi Tahap Satu membabitkan murid Tahun Satu hingga Tiga.

“Pengetahuan mengenai pendidikan seks itu mewakili 75 peratus daripada keseluruhan pengisian kurikulum baru subjek berkenaan,” katanya.
Julaihi berkata, enam tunjang menjadi teras pengisian pendidikan seks yang akan dilaksanakan secara berperingkat bermula Tahun Satu hingga Enam mencakupi perkembangan manusia, perhubungan, perkahwinan dan kekeluargaan, kemahiran kendiri, kesihatan dan tingkah laku seksual serta masyarakat dan budaya.

“Perkembangan manusia mendedahkan murid mengenai pengetahuan sistem reproduktif manusia, manakala perhubungan pula menjurus mengenai kasih sayang dan persahabatan. Murid turut didedahkan mengenai perkahwinan dan kekeluargaan yang merangkumi tanggungjawab sepanjang hayat sebagai ibu bapa, manakala kebolehan dalam membuat keputusan menjadi pengisian kepada tunjang kemahiran kendiri.

“Turut diberi penekanan adalah kesihatan dan tingkah laku seksual yang membicarakan amalan seks sepanjang kehidupan, kaedah mengelakkan hubungan seksual, fantasi, kehamilan, penyakit seksual berjangkit, HIV dan Aids, manakala masyarakat dan budaya pula menyentuh mengenai isu seks dan masyarakat dan perundangan,” katanya kepada Berita Harian di pejabatnya di sini.

Julaihi berkata, keputusan menjadikan pendidikan seks sebagai pengisian utama subjek Pendidikan Kesihatan diambil selepas mengambil kira maklum balas dan pandangan pelbagai pihak termasuk Persatuan Aids Malaysia menerusi perbincangan meja bulat yang diadakan bagi memastikan kurikulum yang dibentuk memenuhi keperluan semasa pendidikan negara.
Beliau berkata, guru yang terbabit dengan pengajaran subjek berkenaan sudah diberi kursus, manakala bahan pengajaran turut disediakan bagi memudahkan murid mengikutinya, tahun depan.

“Kita amat berharap ibu bapa tidak bimbang dengan perkembangan terbaru ini, malah kita sendiri akui apa saja perkara baru membabitkan dasar atau kurikulum pasti ada yang sukar menerima dan memahaminya.

“Apapun, kita yakin jika pelaksanaannya (pendidikan seks) dapat dijalankan dengan baik dan lancar, masyarakat khususnya ibu bapa pasti memberi sokongan dan kerjasama terhadap pembaharuan ini,” katanya.

Julaihi menjelaskan, selain Pendidikan Kesihatan, subjek lain di bawah Modul Teras Asas murid Tahap Satu termasuk subjek Pendidikan Jasmani, Bahasa Malaysia (BM), Bahasa Inggeris (BI), Bahasa Cina (BC), Bahasa Tamil (BT), Matematik serta Pendidikan Islam/Moral.

Di bawah Modul Teras Tema pula, katanya, dua subjek baru turut diperkenalkan kepada murid Tahun Satu iaitu Dunia Kesenian serta Dunia Sains dan Teknologi, masing-masing mendedahkan kemahiran berkaitan seni visual dan muzik serta Teknologi Komunikasi dan Maklumat.

Katanya, murid Sekolah Kebangsaan juga diberi peluang memilih subjek tambahan di bawah Modul Elektif yang menyediakan subjek Bahasa Arab, BC Sekolah Kebangsaan, BT Sekolah Kebangsaan, Bahasa Iban dan Bahasa Kadazandusun.

“Bagi kurikulum Tahap Dua pula membabitkan murid Tahun Empat, Lima dan Enam, kurikulum diorganisasikan dalam bentuk subjek teras dan elektif dan dilaksanakan mulai 2014.

“Antara subjek baru yang bakal diperkenalkan adalah Reka Bentuk dan Teknologi Maklumat/ICT dan Sejarah, manakala subjek sedia ada seperti BM, BI, BC, BT, Pendidikan Kesihatan, Pendidikan Jasmani, Matematik, Sains dan Pendidikan Islam/Moral,” katanya.

“Pelaksanaan KSSR adalah usaha kita untuk mentransformasikan pendidikan sekolah dengan menyatupadukan pelbagai disiplin ilmu bagi menjadikan pengajaran dan pembelajaran (P&P) lebih menarik, menyeronokkan dan bermakna.

“Enam tunjang menjadi teras pelaksanaan KSSR mencakupi komunikasi, perkembangan fizikal dan estetika, kemanusiaan, keterampilan diri, sains dan teknologi serta kerohanian, sikap dan nilai,” katanya.

Mengenai penyediaan guru, beliau menjelaskan, Kementerian Pelajaran sudah melatih lebih 2,000 Jurulatih Utama (JU) setiap mata pelajaran di peringkat kebangsaan yang bertanggungjawab melatih guru di negeri masing-masing.

“JU bertanggungjawab mendedahkan pendekatan P&P yang terbaik dan sesuai diterjemahkan guru di dalam kelas seperti dihasratkan dalam KSSR,” katanya.




Sunday, November 28, 2010

:: Makanan kita...patutlah sedap...






1.
Ada Apa Haaaa?

136 bahan penambah kebanyakannya bahan kimia dibenarkan ditambah di dalam mi segera oleh Codex, piawaian makanan WHO/FAO. Gambar di atas menunjukkan bahan ramuan itu.

Daripada 136 bahan penambah itu, 24 daripadanya adalah garam natrium, di samping garam makan juga turut ditambah. Disebabkan itulah kenapa mi segera mengandungi natrium yang tinggi. Satu paket mi segera sahaja boleh mengandungi kira-kira maksimum pengambilan harian yang dibenarkan 2,400 mg natrium.

Di samping banyak bahan penambah dan paras natrium yang tinggi, mi segera juga mengandungi jumlah lemak yang tinggi. Kebanyakan mi segera digoreng dalam proses pembuatannya. Menurut Majlis Pengguna Hong Kong (HKCC) dan Pusat Keselamatan Makanan (CFS), sampel 3 cawan mi segera didapati mengandungi lebih daripada 30g daripada jumlah lemak bagi setiap pakej, yang merupakan lebih daripada 50% daripada had pengambilan harian bagi jumlah lemak untuk diet 2,000-kcal.

Huraian lanjut, sila dapatkan akhbar Utusan Pengguna keluaran Nov-Dis 2010.

2.
10 Ramuan Melampau Dalam Mi Segera

Adakah mi segera makanan sebenar atau makanan palsu? Apakah bahan penambah ini sebenarnya dan sejauh manakah ia selamat? Berikut beberapa ramuan yang mungkin anda mengambilnya bersama dengan mi segera anda.

Kalsium Sulfat: Kapur Paris.

Asid Tartarik: Bahan kimia yang digunakan dalam julap dan untuk memutihkan cermin. Lebih beracun berbanding 100% alkohol tulen.

Kalsium Oksida: Digunakan rawatan sisa buangan dan dalam racun serangga.

Tertiary Butylhydroxyquinone (TBHQ): Produk berasaskan petroleum; satu bentuk butane (cecair dalam pemetik api).

BHT: Risiko karsinogen dan kesan berbahaya kepada ginjal.

Propyl Gallate: Satu xenoestrogen (sebatian seperti hormon). Boleh memberikan kesan sampingan kepada pembiakan, perkembangan janin yang sihat dan menghalang pengeluaran sperma

Pentasodium triphosphate: Bahan pencuci paling berkuasa (sering digunakan dalam bahan cuci), bahan samak untuk kulit; juga digunakan dalam pengeluaran kertas, penapisan petroleum, aplikasi lombong dan rawatan air.

Propylene Glycol: Pelarut sintetik yang dianggap racun neurologi. Digunakan untuk pembuatan bahan pendingin, antibeku automotif, cecair yang berfungsi dalam tekanan hidraulik dan sebagainya. Jumlah berlebihan yang diambil boleh membawa kepada kerosakan buah pinggang.

Polydimethylsiloxane: Digunakan dalam kanta sentuh, syampu (untuk menjadikan rambut berkilat dan licin), minyak pelincir dan jubin tahan panas.

Pewarna tiruan (contohnya: Sunset Yellow FCF dan Tartrazine): Menyumbang kepada hiperaktiviti dalam kalangan kanak-kanak; mungkin turut menyumbang kepada gangguan visual dan pembelajaran, kerosakan saraf; mungkin menjadi penyebab kanser.

Ikuti sepenuhnya dalam akhbar utusan Pengguna keluaran Nov-Dis 2010.




Friday, November 26, 2010

:: KPM: Peluang kepada pemegang PhD





Surat

Syarat naik pangkat LKPPP masih terpakai

2010/11/26

KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk surat pembaca Bakal PhD, Sungai Petani, Kedah, dalam ruangan Surat & Emel akhbar Berita Harian bertarikh 2 November 2010 bertajuk ‘Pelaksanaan kenaikan gred PPPS’.

Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pelajaran (LKPPP) memutuskan Margin of Preference (MOP) lebih besar diberikan kepada pegawai memiliki kelayakan lebih tinggi termasuk pemegang ijazah doktor falsafah (PhD) dalam urusan kenaikan pangkat Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS).

Syarat kenaikan pangkat ditetapkan oleh LKPPP masih terpakai. Manakala, kriteria penilaian dipinda bagi semua urusan kenaikan pangkat mengikut laluan cemerlang dengan memasukkan kriteria kelayakan akademik di peringkat PhD dan pengalaman bertugas.
Kriteria penilaian yang dipinda akan digunakan dalam iklan urusan pemangkuan Guru Cemerlang, Pengetua Cemerlang dan Pegawai Cemerlang akan datang.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
Kementerian Pelajaran Malaysia.



.....................................................................................



Pelaksanaan kenaikan gred PPPS

2010/11/02

KETIKA sambutan Hari Guru 2010 lalu, pihak Kementerian Pelajaran ada mengumumkan kenaikan gred jawatan untuk Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) yang memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

Pengumuman ini disambut dengan perasaan gembira dan ucapan terima kasih oleh ramai PPPS yang memiliki PhD dan ia juga memotivasikan mereka yang belum memiliki PhD untuk menyambung pelajaran ke peringkat ini.

Namun, sejak pengumuman itu hingga kini tidak diketahui apakah perkembangan pemberian ini. Saya ingin sangat mengetahui syaratnya. Justeru, pihak berkenaan perlulah mempercepatkan proses ini.

BAKAL PHD,
Sungai Petani, Kedah

Berita Harian Online: 2 November 2010



Tuesday, November 23, 2010

:: Jambatan reput di Kpg Boyan..Kuching ?




HATI-HATI: Anggota RELA membantu seorang anggota rombongan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang hampir terjatuh setelah jambatan yang menghubungkan rumah usang seorang penduduk warga emas roboh di Kampung Boyan selepas majlis penutup Hari Bertemu Pelanggan KDN di Tebingan Boyan-Gersik-Sorabaya (BGS) di Kuching, semalam. Menyaksikan saat cemas itu ialah Hishammuddin (tiga kanan). — Gambar Bernama.

Hadir sama ialah Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar yang juga ADUN Satok Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Fadillah Yusof, Timbalan Speaker Dewan Rakyat merangkap Ahli Parlimen Santubong Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan ADUN Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi.


Renungan:


1. Jambatan atau titi kayu tu dah reput...barangkali.

2. Jambatan tu jarang dilalui oleh sebegitu ramai pengguna terutama para pemimpin besar dalam waktu serentak.

3. Konon diberitakan...yang jatuh tu ialah pembantu khas YB menteri.

4. Rasanya...pilihanraya semakin menghampiri.



Monday, November 22, 2010

:: Kpg. Matang Acheh: Rumah dirompak...ada yang cedera





NEGARA


Dua beranak diserang penyamun




Salah seorang anak Che Omar, Mohd. Ismail Che Omar (kiri) menunjukkan kesan umpil di rumahnya di Kampung Matang Acheh, Pantai Remis yang dimasuki penyamun semalam.




PANTAI REMIS – Seorang warga emas dan anak lelakinya nyaris maut selepas ditetak dengan parang oleh seorang daripada tiga perompak yang memecah masuk rumah mereka di Kampung Matang Acheh di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohd. Jamil Osman berkata, dalam kejadian pada pukul 4.30 pagi itu, Che Omar Ahmad, 58, dan anaknya Saiful Che Omar, 25, cedera di beberapa bahagian badan, kepala dan kaki.

Mereka dimasukkan ke Hospital Seri Manjung dekat sini.

Menurut beliau, kejadian itu berlaku apabila mangsa bersama enam anggota keluarga lain yang sedang tidur menyedari rumah mereka dimasuki orang.

Katanya, tiga suspek berkenaan yang memakai topeng muka telah mengumpil salah sebuah tingkap di bahagian dapur sebelum salah seorang masuk melalui tingkap ke dalam rumah itu.

“Suspek yang masuk melalui tingkap itu kemudian membuka pintu rumah bagi membolehkan dua suspek lain masuk,” kata beliau pada sidang akhbar di pejabatnya di sini semalam.

Katanya, kehadiran penceroboh itu disedari Saiful yang terus bergelut dengan ketiga-tiga suspek itu di ruang tamu rumah.

Pergelutan antara Saiful dan suspek-suspek itu menyebabkan ayahnya tersedar dan datang membantunya.


Saturday, November 20, 2010

:: Penduduk Sarawak mengundi pada April 2011 ?




Ada orang beritau bahawa pilihanraya negeri Sarawak bakal berlangsung tahun depan...bulan April. Mungkin betul...mungkin sebaliknya. Sahabat tersebut menyambung perbualan sinisnya...siapa pun yang memerintah negeri ni...kita macam ni jugak...orang lain pun macam ni jugak...rakyat terbanyak pun macam ni jugak...dah lali dengan kehidupan senang-susah sebegini...pemimpin dan orang politik lain...senang, mewah dan sentiasa memperlihatkan kemewahan mereka.

Nak mewah seperti mereka...masuki dan bergelumanglah dalam arena politik...balas seorang rakan lain sambil menghirup teh tarik kegemarannya. Sahabat pertama terus mendengus sambil memalingkan muka ke kanan...menentang muka rakan yang mencelah sebentar tadi. Geram barangkali.

Sahabat aku ni mudah terasa hati dan agak sensitif orangnya...sejak azali barangkali. Katanya jangan dilawan...diri dan peribadinya jangan disentuh...pandangannya jangan dipersoal...selalunya begitulah...sepanjang kami bersahabat.

PRU 13 pula rasa2nya hanya melibatkan parlimen sahaja...celah rakan tadi sambil menjeling kepada sahabat yang mula mendiamkan diri. Aku tau sebabnya...pintas sahabat tadi...mungkin tak mau kalah dari rakan tadi. Kalau BN kalah di peringkat parlimen nanti...sekurang2nya negeri2 yang diperintahnya masih boleh terus diperintah...walaupun di peringkat pusat BN mungkin kalah...namun Galas dan Bukit Sapi telah dimenangi oleh BN.

Pilihanraya kecil je tuu...pintas sahabat sekali lagi. PRU...belum tau lagi...sambil mencebik ke arah rakan...nanti BN akan tau langit tu tinggi atau rendah.

OK le tuu...minuman ni aku bayar...celahku sambil meletakkan sejumlah wang di atas meja. Aku balik dulu...teruskanlah perbualan kamu berdua...masing2 tak mau kalah...kataku selanjutnya. Nampaknya mereka masih ingin meneruskan perdebatan...apabila enggan meninggalkan meja...setelah aku melewati mereka sambil memandu untuk pulang...sementelahan maghrib bakal menyusul.


:: OUM-KPM: MQA dah luluskan... JPA belum...





Surat

KPT, MAQ lulus program pendidikan ditawar OUM

2010/11/20

SAYA ingin merujuk surat daripada 'lepasan sarjana muda pengajaran KPM-OUM dari Kuala Lumpur' yang disiarkan dalam ruangan ini bertarikh 18 November lalu.

Untuk makluman, program Sarjana Muda Pengajaran dengan Kepujian yang ditawarkan oleh Open University Malaysia (OUM) dengan kerjasama Kementerian Pelajaran adalah program yang diluluskan penawarannya oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Selain itu, program ini juga mendapat perakuan akreditasi daripada MQA pada Ogos 2010.
Bagaimanapun, pengiktirafan program ini oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) bagi guru yang memohon DG41 hanya akan diperoleh apabila ia diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Oleh kerana mesyuarat pengiktirafan JPA hanya diadakan beberapa kali setahun, maka semua program yang mendapat perakuan akreditasi akan dibawa oleh MQA ke mesyuarat ini untuk diiktiraf.

Sukacita dimaklumkan bahawa berdasarkan sumber yang dirujuk dan diperoleh, mesyuarat berkenaan akan diadakan pada hujung November ini tertakluk kepada pindaan oleh pihak JPA.

Diharapkan penjelasan ini dapat menerangkan status Ijazah KPM-OUM seperti yang dikemukakan oleh pengadu dan menjawab kekeliruan yang timbul.
Jika pengadu mempunyai sebarang pertanyaan atau mahukan maklumat lanjut, sila berhubung dengan Bahagian Pendaftar OUM melalui e-mel (kamariah@oum.edu.my).

Segala kerjasama dan sokongan yang diberikan amatlah kami hargai dan sanjung tinggi.

DATIN TEH RAQAMAH ABDULLAH,
Pengarah Unit
Perhubungan Korporat OUM.



Friday, November 19, 2010

::Ijazah KPM-OUM: Statusnya ditanya





Surat

Status ijazah KPM-OUM

2010/11/18


SAYA memohon Kementerian Pelajaran Malaysia menjelaskan status pelajar lepasan Ijazah Sarjana Muda Pengajaran KPM-OUM 2009.

Adakah benar ijazah ini tidak diiktiraf? Apabila diajukepada Universiti Terbuka Malaysia, mereka mengatakan sudah mendapat pengiktirafan Agensi Kelayakan Malaysia tetapi apabila guru-guru memohon DG41 daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran, mereka mengatakan ijazah kami tidak diiktiraf Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

LEPASAN SARJANA MUDA PENGAJARAN KPM-OUM, Kuala Lumpur.



Wednesday, November 17, 2010

:: Hospital pakar jantung di Kota Samarahan



Hospital umum kedua di Petra Jaya
17/11/2010 2:18pm

KUCHING 17 Nov.- Sarawak akan memiliki hospital umum keduanya yang terletak di Petra Jaya dan dijangka siap menjelang 2014, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata, ia akan mengurangkan bilangan pesakit dan kes tinggi yang kini dirujuk ke Hospital Umum Sarawak.

"Hospital Sarikei juga akan dinaik taraf kepada hospital pakar bagi memenuhi keperluan penduduk setempat serta mengurangkan tempoh menunggu bagi sesetengah kes," katanya.

Tiong Lai berkata, sebuah lagi hospital pakar jantung akan beroperasi awal tahun depan di Pusat Perubatan Antarabangsa Sarawak, Kota Samarahan dekat sini.

Beliau berkata, berdasarkan purata jangka hayat rakyat Malaysia telah meningkat dengan lelaki mencapai usia purata 72 tahun dan wanita 76.4, lebih banyak klinik desa perlu dibina untuk memberi perkhidmatan kesihatan terbaik kepada mereka.

Katanya, khidmat doktor Malaysia juga adalah setaraf dengan yang terdapat di negara maju. - Bernama



:: Kursus ijazah di IPG tidak diiktiraf ?




Surat

Kursus ijazah tak diiktiraf

2010/11/17


ANAK saya baru-baru ini memaklumkan mengenai ijazah sarjana muda perguruan yang diambilnya ada masalah kerana program yang ditawarkan di Institusi Perguruan Tunku Bainun tidak mendapat kelayakan akreditasi.

Pihak institusi perguruan memaklumkan pelajar tidak dapat diberi penempatan sehingga masalah selesai. Saya difahamkan masa yang diambil bagi memperoleh kelayakan itu boleh berlanjutan daripada enam bulan sehingga setahun. Dalam proses mendapatkan kelayakan itu, pelajar diminta membuat kerja kursus tambahan bagi membantu pihak institusi mendapatkan kelayakan bagi program ditawarkan.

Sebelum ini, pelajar ijazah perguruan terbabit juga menerima elaun tertangguh sehingga dua bulan. Kesannya, ada pelajar yang terpaksa mengikat perut kerana tiada wang untuk perbelanjaan.
Saya mengharapkan setiap program perlu mendapat kelulusan pihak berwajib sebelum ditawarkan pada peringkat institusi.

Bukan setakat anak kami saja yang resah, tetapi sebagai seorang bapa saya juga tidak tidur malam memikirkan masalah yang menimpa anak saya ini.

BAPA GELISAH,
Selangor.



:: Berkorban











:: Raya Qurban: Rezeki ada di mana-mana






PENIAGA lemang, Zaiful Azizi Mohd Yusof, 28, bersama Mohd Kamal Jamal, 60 (kiri), membasuh dan mengagihkan buluh sebelum dibakar untuk tempahan lemang sempena Aidiladha di Taman Datuk Harun, Kuala Lumpur. Lemang itu dijual dengan harga RM9 hingga RM12. - Foto Sairien Nafis
Nov 16, 2010 4:55 pm




Tuesday, November 16, 2010

:: Pilihanraya Sarawak...awal 2011 ?



Home - Utusan Borneo - Berita Tempatan - Biar Ketua Menteri tentukan, kata Daud


Biar Ketua Menteri tentukan, kata Daud

by Adib Othman. Posted on November 14, 2010, Sunday

Terpulang kepada KM untuk calonkannya atau tidak dalam pilihan raya akan datang



KUCHING: Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Datuk Daud Abdul Rahman berkata terpulang kepada Ketua Menteri sama ada mencalonkannya atau tidak dalam pilihan raya negeri akan datang.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong berkata demikian apabila ditanya sama ada beliau akan bertanding untuk kerusi Tupong memandangkan kesihatannya yang tidak begitu baik sekarang.

“Apa yang berlaku enam minggu yang lepas, saya diserang strok ‘minor’ dan saya dinasihatkan oleh doktor untuk berehat selama enam minggu sehingga 16 hari bulan pada bulan ini,” kata Daud.

Namun demikian, beliau berkata bagi dirinya, beliau yakin untuk dapat bertanding kerana dari segi fizikal, beliau kini sudah pulih.

“Dari segi fizikal, saya sudah pulih tetapi menurut doktor, dari segi mental, saya perlu berehat,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Graduasi dan Ulang Tahun Ke-25 Tadika Zasa semalam.

Menurutnya beliau yakin akan sembuh sepenuhnya menjelang pilihan raya yang dikatakan akan berlangsung pada tahun depan.


.............................................................................................





Home - Utusan Borneo - Berita Tempatan - Wan Junaidi yakin tiga ADUN di kawasannya akan dicalon


Wan Junaidi yakin tiga ADUN di kawasannya akan dicalon

Posted on November 15, 2010, Monday

KUCHING: Ahli Parlimen Santubong Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pencalonan ketiga-tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasannya mungkin dikekalkan dalam pilihan raya negeri akan datang.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa keputusan berkaitan adalah bergantung kepada pucuk pimpian parti, iaitu Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang juga Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

“Saya bukan mendahulukan yang belum terjadi, tetapi saya cukup yakin kita mampu menang di ketiga-tiga kawasan.

“Namun demikian, ini terpulang kepada pucuk pimpinan parti… mungkin pucuk pimpinan parti melihat dari alternatif lain dan sebagainya,” katanya.

Wan Junaidi yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat ditemui semasa merasmikan Majlis Sukaneka anjuran Wanita PBB dan Wanita PPWS di Kampung Sejingkat, dekat sini semalam.

Tiga ADUN di Parlimen Santubong ialah Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem (Tanjung Datu), Dr Abdul Rahman Junaidi (Pantai Damai) dan Datuk Dr Abang Abdul Rauf Abang Zen (Demak Laut).

Sehubungan itu, Wan Junaidi berkata Adenan, Dr Rahman dan Dr Rauf juga telah menunjukkan prestasi yang amat baik dalam berkhidmat kepada rakyat di kawasan masing-masing.

“Saya melihat dari segi prestasi dan semua ADUN saya mempunyai prestasi yang amat tinggi.

“Saya kenal peribadi mereka ini dan melihat macam mana mereka berkhidmat kepada masyarakat,” katanya.


................................................................................................


Home - Utusan Borneo - Berita Tempatan - Tiada ahli PBB yang mengkhianati parti, kata Wan Junaidi


Tiada ahli PBB yang mengkhianati parti, kata Wan Junaidi

Posted on November 13, 2010, Saturday

KUCHING: Ahli Parlimen Santubong Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, tidak wujud ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mengkhianati parti tersebut.

Menurutnya, setakat ini tiada seorang pun daripada ahli parti bertindak ‘menikam’ parti itu walaupun mereka ini tidak dicalonkan sebagai pemimpin.

“Saya telah 30 tahun lebih berkecimpung dalam parti ini dan selama itu saya tidak pernah lagi tengok ahli mengkhianati parti,” katanya pada majlis penyerahan bantuan kepada mangsa ribut di Kampung Buntal di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya wartawan berhubung beberapa ahli parti berhasrat menarik diri daripada bertanding dalam pilihan raya negeri akan datang.

Wan Junaidi yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat berkata cara pengurusan parti itu yang dibawa oleh Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud adalah sangat terperinci dan teratur.

“Pehin Sri memikirkan cara yang panjang dan tidak tergesa-gesa dalam membuat sesuatu tindakan bagi kepentingan parti dan disebabkan itulah tiada kalangan ahli parti yang bertindak untuk mengkhianati parti,” jelasnya.

Justeru, beliau menasihatkan agar mana-mana ahli yang tidak tercalon tidak mudah kecil hati kerana setiap yang dirancang ada kebaikannya untuk parti.

“Kita tidak sepatutnya berkecil hati jika tidak dicalonkan untuk menjadi pemimpim sebaliknya terus memberi sokongan padu kepada pemimpin yang dicalonkan bagi menunjukkan kesetian kita terhadap parti tidak pernah luntur walaupun tidak dicalonkan,” ujarnya.


.................................................................................................


Home - Utusan Borneo - Berita Tempatan - Dr Chan: SUPP akan pertimbang penyertaan Larry


Dr Chan: SUPP akan pertimbang penyertaan Larry

Posted on November 7, 2010, Sunday

MIRI: Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan berkata parti tersebut akan mempertimbangkan penyertaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus Larry Sng dalam parti berkenaan.


Katanya, sebarang keputusan adalah berdasarkan sokongan daripada rakyat dan bukan hanya berlandaskan keputusan beliau atau ahli SUPP.

“Kalau saya terima dia (Larry), itu tidak bermakna rakyat akan turut menerimanya… saya mahu masyarakat menerimanya dengan sebulat suara,” katanya kepada media semalam.

Jelas beliau lagi, SUPP bukanlah sebuah parti yang eksklusif sehingga menghalang mana-mana pihak untuk menyertainya.

“Parti ini terbuka kepada mana-mana pihak yang ingin menyertai dan membantu serta berkhidmat untuk rakyat setempat,” ujarnya.

Menurut Dr Chan, menjadi pemimpin kepada rakyat bukan suatu perkara yang mudah kerana dalam dunia politik, ia memerlukan pengorbanan dan keikhlasan berkhidmat untuk rakyat.

“Menjadi seorang wakil rakyat bukan perkara yang mudah kerana kita memerlukan sokongan penuh daripada rakyat dan bukan hanya bergantung kepada sesetengah pihak,” tambah beliau.

Dr Chan berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Ketua Menteri Pehin Seri Abdul Taib Mahmud yang mahu masyarakat Cina di negeri ini mengemukakan calon pemimpin yang berkebolehan dan mempunyai potensi untuk mewakili mereka dalam pilihan raya negeri akan datang.

Menurut Taib, walaupun mereka (calon) bukan anggota mana-mana parti, selagi me-reka menyokong kerajaan dan mempunyai sesuatu untuk disumbangkan, mereka layak menjadi calon untuk mengukuhkan Barisan Nasional (BN).


..................................................................................


Home - Utusan Borneo - Berita Tempatan - Abang Johari gambarkan Wan Wahab sebagai pemimpin berjiwa rakyat


Abang Johari gambarkan Wan Wahab sebagai pemimpin berjiwa rakyat

Posted on November 7, 2010, Sunday

KUCHING: Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg menggambarkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya Datuk Wan Wahab Wan Sanusi sebagai pemimpin berjiwa rakyat.

Menurut Abang Johari, pihaknya telah menerima kata putus Wan Wahab untuk berundur daripada mempertahankan kerusi Sadong Jaya dalam pilihan raya akan datang.

“Memang dia telah berhasrat untuk mengundur diri dan kami telah dimaklumkan oleh Datuk Wan Wahab.

“Saya rasa Datuk Wan Wahab adalah seorang pemimpin berjiwa rakyat dan berkhidmat dengan begitu baik dari tahun 1983 sehingga sekarang.

“Beliau telah melalui beberapa krisis di mana beliau telah banyak memberi sumbangan yang begitu baik kepada kejayaan Barisan Nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Majlis Perasmian Masjid Darul Ibadah di Kampung Kudei semalam.

Sementara itu, ketika berucap merasmikan masjid tersebut, beliau mengingatkan generasi muda supaya tidak mengambil keputusan untuk memilih perubahan (kerajaan) demi untuk mencuba sesuatu yang baru.


................................................................................................