'Penyakit' melatah hanya di Asia Tenggara
Pakar percaya latah adalah satu kebiasaan yang kaitan rapat dengan fungsi sistem saraf pusat, psikologi dan sosial.
Pakar percaya latah adalah satu kebiasaan yang kaitan rapat dengan fungsi sistem saraf pusat, psikologi dan sosial.
MASYARAKAT kita terutama kaum Melayu sememangnya cukup sinonim dengan melatah terutama golongan berumur. Menghibur dan mencuit hati. Mungkin itulah gambaran paling tepat bagi menggambarkan gelagat mereka yang melatah ini. Jika diperhatikan, apabila seseorang melatah, dia seolah-olah hilang pertimbangan dan lupa seketika perbuatan yang dilakukan. Anehnya, tiada siapa yang akan menjauhkan diri daripada mereka yang melatah malah latah mereka berpanjangan jika terus diusik. Selain yang sudah berusia dan dianggap nyanyuk, latah juga sering dikaitkan dengan wanita berusia. Hinggakan, sesuatu majlis keraian bagaikan kurang seri tanpa mereka yang melatah ini.
Pakar Psikologi, Dr William S Buroughs, menjelaskan latah adalah situasi terkejut melampau (hyperstartling) yang ditemui di Asia Tenggara pada sesetengah bangsa saja dan amnya pada wanita. Bagaimanapun, bukan wanita saja yang dikaitkan dengan melatah, lelaki juga apa kurangnya. Ada juga lelaki yang melatah dan kadang kala latah mereka lebih teruk daripada wanita. Justeru, Keluarga di 9 (KD9) bersama hos, Datin Norjuma Habib Mohamed berkesempatan menemubual penyanyi, pengacara dan pelakon, Roslan Shah, yang kuat melatah. Menyingkap kisah bermulanya dia melatah, menurut Roslan, dia melatah sejak tiga tahun dulu. Mungkin disebabkan gemar mengusik dan mengajuk orang melatah lama-kelamaan, dia turut `berjangkit'. Dia turut mengakui, kakak dan arwah neneknya turut melatah dan mungkin ia `menurun' kepadanya.
Roslan menyangkal pendapat sesetengah pihak yang berkata dia sengaja melatah atau buat-buat latah. "Saya tidak nafikan ada sesetengah orang sengaja melatah mungkin untuk mendapat perhatian atau menunjuk-nunjuk tetapi jika boleh memang saya tidak mahu melatah, meletihkan!" akui Roslan. Pernah suatu ketika dia sedang makan di sebuah restoran, seekor kucing menggesel pada kakinya dan disebabkan terlampau terperanjat menyebabkan dia `bersilat' hinggakan meja dan pinggan mangkuk bertaburan. Hatta, terpaksalah dia membayar ganti rugi kepada pemilik restoran.
"Bayar satu hal dan malunya bukan kepalang kerana semua orang tertumpu kepada saya," kata Roslan mengimbau kisah lalu. Roslan berkata, dia akan melatah jika orang menyergah atau mencuit pinggangnya. Namun, ada kala dia tidak melatah jika dia bersedia dan berhati-hati ketika bersama orang keliling. Apa yang paling merisaukannya apabila melatah, dia akan menyebut perkataan yang tidak senonoh dan ini turut menjatuhkan maruahnya. "Kalau saya melatah, kaki tangan semua naik…sesiapa yang berdekatan, nahaslah! Hendak marah pun tidak boleh sebab yang mengusik pun kawan-kawan tetapi pernah saya mengacarakan sebuah majlis, tiba-tiba seorang tetamu kononnya hendak mengusik akibatnya kepala dia saya ketuk dengan mikrofon! Hah, rasakan!" katanya.
Tidak dinafikan, kala bercerita mengenai latah, pelbagai cerita latah yang kita boleh dengar. Ada yang boleh menyebabkan periuk belanga terbang melayang, ada yang bercakap mengarut, ada yang bersilat, menari dan bermacam lagi. Namun, apakah yang menyebabkan mereka ini melatah? Pakar mempercayai latah adalah satu kebiasaan yang tiada kaitan dengan penyakit tetapi ia dipercayai berkait rapat dengan fungsi sistem saraf pusat, psikologi dan sosial. Malah, ia dipercayai terikat dengan sistem budaya sesuatu masyarakat. Justeru, kata Roslan, jangan merangsang orang yang melatah seperti mencucuk pada mana-mana bahagian anggota tubuhnya hingga mereka terkejut. Walau pun dengan melatah boleh menceriakan suasana tetapi ia turut memberi kesan kepada si latah tadi. Selain penat dan perlakuan mereka tanpa sedar, mereka juga menjadi bahan ketawa yang kadang kala memualkan diri mereka sendiri. Keluarga di 9 terbitan TV9, bersiaran secara langsung setiap Isnin hingga Khamis, dari jam 1 hingga 2 petang bersama hos, Farah Adeeba Mohd Ashraf (Isnin), Datin Norjuma Habib Mohamed (Selasa), Benjy (Rabu) dan Nora (Khamis).