Friday, May 02, 2008

:: Dewan rakyat: Siaran langsung wajar diteruskan?


Mutakhir
Wan Junaidi: Teruskan siaran langsung Dewan Rakyat
01-05-2008 06:35:24 PM

KUCHING: Kementerian Penerangan patut meneruskan siaran langsung sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat menerusi saluran RTM1 bagi membolehkan rakyat melihat sendiri tindakan wakil rakyat mereka semasa persidangan itu. Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kerajaan patut bersifat fleksibel mengenai isu ini memandangkan masih terlalu awal untuk membuat penilaian semula siaran langsung setengah jam tersebut . "Saya berpendapat kerajaan cuba dulu sama ada ini fenomena hari pertama atau ia akan berterusan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. Beliau yang tidak bersetuju dengan kajian semula siaran langsung berkata, oleh kerana Dewan Rakyat baru bersidang semalam, ada kemungkinan sikap wakil rakyat yang sesetengahnya tidak disenangi akan berubah pada persidangan akan datang. Wan Junaidi yakin selepas publisiti meluas sikap negatif wakil rakyat yang mengganggu sesi soal jawab Dewan Rakyat, mungkin ada perubahan positif di kalangan mereka bagi menunjukkan rasa hormat terhadap persidangan Dewan Rakyat.
Semalam Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dilaporkan berkata siaran langsung sesi soal jawab lisan Dewan Rakyat mungkin dikaji semula berikutan prosiding tersebut sering diganggu oleh anggota parlimen. Tindakan anggota parlimen yang sering mempersoalkan peraturan mesyuarat menyebabkan sesi soal jawab lisan selama satu setengah jam hanya sempat mendengar tiga soalan berbanding 12 hingga 15 soalan pada kebiasaannya. Ahmad Shabery berkata beliau akan mendapatkan maklumat balas daripada semua pihak termasuk orang ramai sebelum membuat sebarang keputusan mengenai siaran langsung itu yang disiarkan selama setengah jam bermula pukul 10 pagi. Sementara itu, Wan Junaidi yang mencipta sejarah menjadi Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang pertama dari Sarawak berjanji akan menjalankan tugas dengan adil walaupun pada awalnya pemilihan ke jawatan tersebut dipertikaikan oleh sesetengah pihak terutama parti pembangkang. Beliau yang juga anggota Parlimen Santubong mengakui bahawa beliau dipilih untuk mengisi jawatan tersebut, yang sedikit sebanyak dapat mengubat kekecewaan pengundi di kawasan pilihan raya itu kerana wakil rakyat mereka tidak terpilih menganggotai kabinet persekutuan. BERNAMA