Thursday, May 22, 2008

:: PM: Ahli UMNO perlu setia



PM Mahu Anggota UMNO Tetap Setia Pada Parti
Oleh Ropikah Ahmad
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yakin bahawa ahli-ahli UMNO akan tetap setia kepada perjuangan parti yang menjadi tunjang kepada bangsa Melayu biarpun kenyataan mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad keluar dari parti kerana tidak berpuas hati dengan pucuk pimpinan. Mengulas berkaitan keputusan Tun Dr. Mahathir, beliau berkata bahawa ahli-ahli UMNO perlu tenang menerima kenyataan dan berfikir panjang sebelum mengambil sebarang tindakan. “Walau apa sahaja yang berlaku, setiap ahli UMNO mesti tenang dan bertanggungjawab menjaga parti kerana UMNO akan lemah sekiranya ahli-ahlinya melakukan tindakan yang salah,” kata beliau dalam majlis ramah mesra bersama Perdana Menteri di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Katanya, beliau terkejut dengan tindakan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengambil jalan keluar dari UMNO tetapi memahami bahawa umumnya bekas Perdana Menteri itu tidak akan berganjak selepas membuat keputusan. “Apa yang penting, jangan sampai UMNO menjadi kelam kabut kerana tindakan tersebut dan ahli UMNO perlu faham bahawa individu bukan landasan dalam perjuangan kita,” katanya lagi. Beliau turut menegaskan bahawa UMNO mempunyai perlembagaan dan organisasi yang lengkap bagi membentuk satu tenaga dalam memperjuangkan masa depan bangsa Melayu. “Matlamat perjuangan UMNO adalah jelas dan apa akan jadi dengan UMNO sekiranya ahli-ahlinya tidak kuat dalam menangani permasalahan yang timbul?”
Dalam reaksinya, beliau menyatakan bahawa setiap ahli perlu berfikir habis-habis dan letakkan perkara utama di hadapan agar perjuangan parti dapat terus dijaga dan UMNO terus kukuh. “Kita perlu utamakan perkara yang utama khususnya dalam menjayakan cita-cita parti iaitu untuk agama, bangsa dan negara,” tegas beliau lagi.
Tun Dr. Mahathir, anggota seumur hidup UMNO, mengumumkan keluar daripada parti berkuatkuasa serta merta pada satu majlis politik di Alor Star (Isnin) kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan UMNO sekarang. Tindakan ini dibuat ekoran anggapan bahawa pemimpin UMNO sekarang gagal membela nasib orang Melayu di negara ini. Bekas presiden UMNO itu juga berkata beliau hanya akan kembali menyertai UMNO hanya selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah meletak jawatan atau tidak lagi menjadi pemimpin utama negara.