Saturday, May 10, 2008

:: Tingkatan Enam: 180 ribu layak


180,630 pelajar layak masuk Tingkatan Enam
Oleh Syuhada Choo Abdullah

Jumlah pengambilan meningkat 26,241 berbanding tahun lalu
SERAMAI 180,630 lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2007 layak memasuki Tingkatan Enam Bawah di 765 sekolah menengah harian dan teknik seluruh negara, tahun ini. Pengarah Bahagian Sekolah, Kementerian Pelajaran, Zulkifly Mohd Wazir, berkata daripada jumlah itu, 127,879 layak memasuki aliran kemanusiaan, manakala 52,751 lagi sains.

Beliau berkata, jumlah berkenaan tidak termasuk 32,685 lulusan yang mendapat tawaran memasuki program matrikulasi. "Keputusan kemasukan boleh disemak melalui laman web Kementerian Pelajaran, mulai 6 Mei ini. Pelajar mendapat tawaran akan mendaftar serentak di 765 sekolah menengah harian dan teknik seluruh negara, pada 12 Mei ini. "Bagi calon berjaya tetapi sedang mengikuti Program Latihan Khidmat Negara pula, mereka boleh melapor diri sebaik saja tamat kursus itu," katanya kepada Berita Harian di Putrajaya, semalam.

Jumlah lulusan SPM layak memasuki Tingkatan Enam Bawah tahun ini meningkat 26,241 berbanding 154,389 orang dilaporkan akhbar tahun lalu. Daripada keseluruhan 439,232 calon SPM 2007, 151,806 pelajar tidak layak memasuki Tingkatan Enam Bawah kerana gagal memperoleh kredit dalam subjek Bahasa Melayu dan 13,789 tidak memenuhi syarat umur. Sementara 54,287 lagi gagal memenuhi syarat kemasukan meliputi 43,992 aliran kemanusiaan dan 10,295 sains. Selain itu, sejumlah 6,035 lulusan sekolah swasta atau calon persendirian layak memasuki Tingkatan Enam Bawah tahun ini dan permohonan dibuka kepada mereka sehingga 31 Mei ini.

Zulkifly berkata, statistik mengikut negeri bagi aliran kemanusiaan dan sains bagi Perak, masing-masing 12,187 dan 5,442; Selangor (17,445 dan 10,526), Pahang (9,144 dan 2,893), Kelantan (12,578 dan 3,450), Sabah (10,509 dan 2,070), Johor (15,040 dan 5,989). Kedah (10,190 dan 3,229), Wilayah Persekutuan Labuan (359 dan 84), Melaka (4,359 dan 1,986), Negeri Sembilan (5,426 dan 2,426), Pulau Pinang (5,687 dan 3,908), Perlis (1,707 dan 447), Sarawak (9,317 dan 3,784), Terengganu (8,419 dan 2,445), Putrajaya (191 dan 82) serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (5,321 dan 3,990). Mengenai syarat kelayakan, beliau berkata, pelajar sekolah kerajaan hendaklah memenuhi empat syarat ditetapkan, iaitu lulus peperiksaan SPM 2007 dengan memperoleh sekurang-kurang tiga kepujian, termasuk Bahasa Melayu. Syarat kedua, katanya, calon jurusan kemanusiaan mesti memperoleh jumlah agregat tidak melebihi lapan unit bagi tiga mata pelajaran terbaik, setiap satu hendaklah dari kumpulan berlainan. "Bagaimanapun, agregat sembilan hingga 12 unit juga layak dengan syarat ada kekosongan tempat di negeri terbabit. "Bagi jurusan sains pula, calon mesti memperoleh sekurang-kurang tiga kepujian dengan jumlah agregat tidak melebihi 18 unit bagi mata pelajaran sains terbaik, masing-masing dari kumpulan berlainan. "Syarat lain bagi kedua-dua jurusan, umur calon mesti tidak melebihi 20 tahun serta tidak kurang 17 tahun pada 1 Januari lalu. Pelajar pernah melangkau kelas mesti berumur tidak kurang 16 tahun pada tarikh sama," katanya.