Wednesday, May 14, 2008

:: Kuasa Raja: Persepsi berbeza?


Perjelas kuasa Raja, apa beza Ghani dengan Karpal?
Azamin Amin Tue May 13, 08 1:07:54 pm MYT

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Hrkh) - Kemelut perlantikan Menteri Besar Terengganu yang berpanjangan sehingga mengundang rasa tidak senang beberapa puak dalam Umno menyaksikan Peguam Negara Tan Sri Ghani Patail 'terpaksa' campur tangan sehingga mengeluarkan kenyataan menjelaskan kuasa DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. -->-->

Walaupun Umno dan BN menguasai Terengganu dan Malaysia namun krisis antara istana menyebabkan perlantikan itu tergendala hampir sebulan dan Ghani menjelaskan bahawa Agong tidak boleh mencampuri urusan pelantikan Menteri Besar.

Tindakan Ghani yang dilihat secara terbuka membuat pengumuman kepada rakyat bagi membolehkan kemelut perlantikan itu diselesaikan segera dilihat sebagai 'mendedahkan' kuasa Agong kepada rakyat.

Ramai yang berpendapat bahawa Ghani sewajarnya mengadap dan menasihati Tuanku Sultan Mizan secara lebih harmoni bagi menjelaskan peranan dan kuasa Yang di-Pertuan Agong tanpa 'menyeret' rakyat kepada polemik yang sama.

Dengan cara itu, ia dilihat lebih beradab tanpa ada sebarang prejudis daripada pihak tertentu khususnya rakyat terhadap bidang kuasa Agong.

Begitu juga dengan sikap Pengerusi DAP Karpal Singh yang secara terbuka menjelaskan peruntukan undang-undang bagi kuasa Sultan Perak melantik penjawat awam dan sewajarnya beliau mengadap dan menyuarakan pendapatnya itu secara bersemuka dengan Raja-raja Melayu dan bukannya menghebahkan kepada umum.

Ghani dan Karpal, kedua-duanya pakar dalam bidang perundangan dan bercakap soal peruntukan undang-undang yang sedia ada dan rakyat juga sedar mereka mengeluarkan kenyataan dalam bidang yang mereka fahami.

Sungguhpun begitu, mereka mendedahkan isu perundangan dan kuasa Raja di khalayak umum dan walaupun daripada kemahiran dan hak yang sama, kedua-duanya menghadapi situasi yang berbeza.

Karpal telah siasat di bawah Akta Hasutan, bagaimana pula dengan Ghani yang turut melakukan tindakan yang sama?

Berikut adalah antara kenyataan rasmi Ghani berhubung kuasa Sultan Mizan dalam isu perlamtikan menteri besar yang dikeluarkan pada jam 11.45 malam 18 Mac 2008 yang antara lainnya menyatakan kepada umum bahawa Agong tidak boleh mempunyai calon sendiri bagi jawatan Menteri Besar.
"Baginda menyedari hakikat bahawa urusan pelantikan Menteri Besar terletak sepenuhnya pada Pemangku Raja dan Majlis Penasihat Pemangku Raja, dan baginda tidak mempunyai apa-apa peranan di bawah undang-undang dalam pelantikan tersebut," demikian kenyataan Ghani.
"Menurut perkara 34(1) Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tidak boleh menjalankan fungsi Baginda sebagai Raja Negeri Terengganu kecuali fungsi sebagai Ketua Agama Islam," katanya. - mns