Azam Mukhriz jika dipilih Ketua Pemuda
JOHOR BAHRU 17 Mei - Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Mukhriz Tun Mahathir berazam menggerakkan usaha menawan semula lima negeri yang diperintah oleh parti pembangkang pada pilihan raya akan datang jika diberi kepercayaan untuk memimpin sayap parti itu pada pemilihan Disember ini. Beliau yang juga Ahli Parlimen Jerlun berkata, tanggungjawab untuk merampas semula negeri-negeri yang jatuh ke tangan parti pembangkang itu merupakan cabaran terbesar pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13.
"Oleh itu, sesiapa juga yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan ini harus bersedia untuk memikul tanggungjawab dan cabaran besar ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sebagai ahli panel pada Forum UMNO Pasca Pilihan Raya: Suara Hati Rakyat di Hotel M. Suites di sini hari ini. Pada Pilihan Raya Umum Ke-12, 8 Mac lalu, pakatan pembangkang terdiri daripada Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berjaya menawan Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. BN juga tewas di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selain gagal merampas kembali Kelantan daripada Pas.
Mukhriz berkata, negeri yang ditawan parti pembangkang itu boleh ditawan semula sekiranya semua ahli UMNO bersatu padu dan bersama-sama memperjuangkan matlamat parti bagi menebus semula maruah agama, bangsa dan negara.
"Ini semua mampu kita laksanakan jika kepentingan rakyat menjadi keutamaan dan bukan kepentingan peribadi, keluarga, saudara mara mahupun rakan-rakan.
"Untuk menebus semula maruah bangsa, kita tidak harus mengamalkan sifat takut atau tidak berterus terang kerana itu semua tidak memberi kebaikan kepada parti," katanya.
Mukhriz berkata, bagi memastikan UMNO sentiasa relevan, pemimpin harus bijak menyelesaikan masalah rakyat dan meyakinkan mereka dengan dasar-dasar yang diterapkan. Selain beliau, beberapa individu termasuk bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohd. Khir Toyo juga menyatakan kesediaan bertanding merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO yang dikosongkan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein setelah memimpin sayap itu sejak sedekad lalu.
Selain itu, dua lagi calon yang disebut-sebut ialah Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor.