Friday, May 23, 2008

:: Malaysia: Orang kaya


Raja Gula kekal terkaya di Malaysia
Oleh Azli Ayob

KUALA LUMPUR: Nilai kekayaan terkumpul 40 individu paling kaya di Malaysia tahun ini ialah AS$46 bilion (kira-kira RM150 bilion), meningkat AS$3 bilion (kira-kira RM9.8 bilion) daripada tahun lalu. Jumlah kekayaan terkumpul 40 individu berkenaan adalah kira-kira 30 peratus daripada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara tahun lalu sebanyak RM503.1 bilion dan lebih tinggi daripada hasil Kerajaan Persekutuan tahun lalu yang berjumlah RM141.8 bilion. Mengikut laporan terbaru majalah Forbes Asia, bilangan rakyat negara ini yang memiliki kekayaan lebih AS$1 bilion juga meningkat kepada 10 daripada sembilan tahun lalu.

Tan Sri Robert Kuok mengekalkan kedudukannya sebagai individu paling kaya di negara ini dengan nilai kekayaan AS$10 bilion. 'Raja Gula' berusia 84 tahun itu meningkatkan nilai kekayaannya sebanyak AS$2.4 bilion tahun ini, menerusi pemilikan dalam pelbagai bidang perniagaan, seperti hartanah di Hong Kong, media dan paling utama penguasaannya dalam gergasi minyak sawit, Wilmar International. Ini diikuti oleh Ananda Krishnan yang menguasai Maxis Communications Bhd dengan nilai kekayaan AS$7.2 bilion, merosot AS$200 juta daripada tahun lalu.

Pengerusi Eksekutif IOI Group, Tan Sri Lee Shin Cheng pula menduduki tangga ketiga daripada keempat tahun lalu dengan nilai kekayaannya meningkat AS$1.6 bilion kepada AS$5.5 bilion. Pendatang baru dalam senarai rakyat negara ini memiliki kekayaan lebih AS$1 bilion ialah Tan Sri Vincent Tan, dengan kekayaannya meningkat hampir AS$1 bilion kepada AS$1.3 bilion apabila harga saham Berjaya Corp yang dikuasainya melonjak hampir tiga kali ganda dalam tempoh 12 bulan lalu. Sementara itu, lapan ahli perniagaan Melayu turut berada dalam senarai '40 Paling Kaya di Malaysia', didahului oleh Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary. Beliau berada di tempat kelapan senarai itu dengan nilai kekayaan AS$1.8 bilion.

Turut berada dalam senarai itu ialah Pengerusi Kumpulan AmBank, Tan Sri Azman Hashim (AS$700 juta) yang berada di tempat ke-11; Pengerusi Eksekutif Kencana Petroleum Bhd, Datuk Mokhzani Mahathir (AS$285 juta, tempat ke-20); Timbalan Ketua Eksekutif AirAsia Bhd, Datuk Kamarudin Meranun (AS$280 juta, tempat ke-21); Pengerusi Naim Cendera Holdings Bhd, Datuk Abdul Hamed Sepawi (AS$180 juta, tempat ke-30) dan Pengarah Eksekutif Westports, Ahmayuddin Ahmad (AS$155 juta, tempat ke-34). Individu Melayu lain yang berada dalam senarai itu ialah Raja Datuk Seri Eleena Raja Azlan Shah (AS$150 juta, tempat ke-35) yang mempunyai pegangan saham ketara dalam Gamuda Bhd dan Ketua Eksekutif CIMB Group, Datuk Nazir Razak (AS$100 juta, tempat ke-40). Forbes Asia dalam kenyataan dikeluarkan semalam berkata, pengiraan nilai kekayaan individu itu dibuat berdasarkan harga saham syarikat yang dikuasai dan kadar pertukaran mata wang daripada 9 Mei lalu. Bagi pemilikan aset yang tidak disenaraikan pula, ia menggunakan maklumat daripada firma biro kredit BRIS Information Services Sdn Bhd (BRIS) dan sumber lain untuk membuat anggaran nilainya jika aset itu disenaraikan di Bursa Malaysia.