SEREMBAN: Penemuan kendi yang dipercayai berusia ribuan tahun di Mentakab, Pahang, kira-kira dua minggu lalu, menguatkan teori mengenai asal usul orang Melayu yang dikatakan berasal dari Vietnam Utara dan Champa. Artifak itu yang dikatakan ditemui tertanam di sebuah kawasan bukit dan masih dalam keadaan sempurna, dipercayai peninggalan zaman logam sekitar 2,000 tahun lalu. Pengkaji sejarah tamadun alam Melayu, Wan Ahmad Arshad, berkata Zaman Logam mula berpengaruh di Nusantara Melayu berdasarkan teori penghijrahan dari Vietnam Utara dan Champa.
"Penemuan artifak ini juga menjadi bukti bahawa Pahang pada suatu masa dulu menjadi pusat ketamadunan yang hebat," katanya. Beliau yang memiliki Galeri Pusaka Moyang (GPM) di Senawang dekat sini, tidak menolak kemungkinan artifak itu mempunyai kaitan dengan dakwaan penemuan kota purba – Kota Gelanggi, di Johor pada 2003. "Pahang juga mempunyai tempat dikenali sebagai Kota Gelanggi. Jadi, ada kemungkinan kedua-duanya mempunyai kaitan," katanya ketika ditemui di galeri itu, semalam.
Wan Ahmad mendakwa kendi itu ditemui seseorang dan menjual kepadanya, tetapi tidak memberitahu siapa yang menemuinya dan berapa harganya. Beliau berkata, kendi berbentuk burung mahawangsa berkaki empat itu diperbuat daripada gangsa dan dipercayai digunakan dalam upacara keagamaan oleh kerabat diraja dan bangsawan. "Reka bentuk kendi itu amat unik, seperti seekor burung mahawangsa bersayap, berparuh dan berkaki empat, bahagian pemegangnya mempunyai imej haiwan mengkarung," katanya.
Sehubungan itu, Wan Ahmad mempelawa kurator, ahli arkeologi serta ahli antropologi dari dalam dan luar negara untuk membuat penyelidikan lanjut mengenai penemuan kendi berkenaan. Beliau juga menyarankan Jabatan Muzium dan Antikuiti Negara serta Jabatan Warisan Negara menjalankan penyelidikan di tapak penemuan kendi itu.