Wednesday, March 19, 2008

:: Tolak jawatan


Tengku Azlan, Anifah tolak jawatan

PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar dan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Anifah Aman, masing-masing menolak pelantikan sebagai timbalan menteri yang diumumkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, semalam. Tengku Azlan, yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Luar dan Anifah, Timbalan Menteri Pengangkutan, menemui Perdana Menteri, di sini, petang semalam bagi menyampaikan hasrat itu dengan alasan mereka sepatutnya dilantik sebagai menteri penuh. Sumber berkata, Perdana Menteri bagaimanapun memberitahu, beliau tidak akan berganjak daripada keputusannya kerana barisan pentadbiran seperti diumumkannya dalam sidang media tengah hari semalam, adalah yang terbaik.

Abdullah, kata sumber itu, meminta mereka menerima pelantikan berkenaan atau beliau terpaksa melantik orang lain. Bagaimanapun, kedua-duanya tetap dengan pendirian mereka dan jawatan itu akan diisi kemudian. Tengku Azlan yang mula menjadi Ahli Parlimen selepas menang dalam pilihan raya 1999, sebelum ini ialah Timbalan Menteri Pengangkutan. Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Jerantut pernah dilantik Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 1999 hingga 2004.

Sementara itu, Anifah yang sebelum ini Timbalan Menteri Perusahaan Peladangan dan Komoditi, mula menjadi Ahli Parlimen selepas memenangi Pilihan Raya Umum 1999 sebelum dilantik timbalan menteri bagi portfolio sama yang ketika itu dikenali Kementerian Perusahaan Utama. Beliau yang kini Ketua Umno Bahagian Kimanis, pernah bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias pada Pilihan Raya Negeri 1994 tetapi tewas kepada Datuk Lajim Ukin daripada Parti Bersatu Sabah (PBS), yang ketika itu pembangkang.