Sunday, March 09, 2008

:: PRU12: Nasib MCA


Mutakhir

MCA alami kekalahan mengejutkan di banyak kerusi
09-03-2008 06:35:53 AM

KUALA LUMPUR: MCA, parti komponen kedua terbesar BN, mengalami kekalahan besar di kebanyakan kerusi Parlimen dan negeri yang ditandinginya, merupakan yang pertama dalam sejarah gabungan parti pemerintah itu sejak pilihan raya umum 1969.

Pada pilihan raya umum ini, MCA bertanding di 40 kerusi Parlimen dan 90 kerusi negeri, tetapi keputusan tidak rasmi menunjukkan parti itu hanya menang kira-kira 15 kerusi Parlimen dan kehilangan banyak kerusi negeri.

Pada pilihan raya umum lepas, jumlah kerusi Parlimen yang ditandingi MCA dan negeri adalah sama dengan tahun ini, dan parti itu menang 31 kerusi Parlimen dan 71 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

MCA kalah di semua kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang manakala hanya menang satu kerusi masing-masing di Kedah, Selangor dan Melaka, dua di Pahang, tiga di Perak dan enam di Johor.

Antara mereka yang menang ialah presiden MCA Datuk Seri Ong Ka Ting (Kulai), naib presiden Datuk Ong Tee Keat (Pandan), naib presiden Datuk Seri Fong Chan Onn (Alor Gajah), setiausaha agung Datuk Ong Ka Chuan (Tanjung Malim), Ketua Pemuda Datuk Liow Tiong Lai (Bentong), Ketua Wanita Datuk Dr Ng Yen Yen (Raub), Datuk Chor Chee Heung (Alor Setar), Datuk Lee Chee Leong (Kampar), Dr Wee Ka Siong (Ayer Hitam), Wee Jeck Seng (Tanjung Piai), Teng Boon Soon (Tebrau) dan Chua Tee Yong (Labis).

"Ini adalah pencapaian pilihan raya paling buruk sejak 1969. Pada tahun itu kami hanya menang 13 kerusi Parlimen. Kali ini, kami hanya menang lebih sikit daripada jumlah itu," kata anggota jawatankuasa pusat paling kanan MCA Datuk Wong Mook Leong.

Berikutan kekalahan calon-calon parti itu, ia adalah pengalaman mendebarkan bagi dua calon MCA -- Datuk Kong Cho Ha bagi kerusi Parlimen Lumut dan muka baru Dr Hou Kok Chung bagi kerusi Parlimen Kluang di Johor -- yang terpaksa menunggu hingga lewat malam sebelum mengetahui mereka akhirnya memenangi kerusi yang ditandingi itu.

Antara yang gagal mempertahankan kerusi mereka ialah naib presiden MCA dan Timbalan Menteri Pelancongan Datuk Donald Lim di Petaling Jaya Selatan, pengerusi MCA Wilayah Persekutuan yang juga Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Datuk Tan Chai Ho (Bandar Tun Razak), Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Fu Ah Kiow (Kuantan), Setiausaha Parlimen Wilayah Persekutuan Datuk Yew Teong Lock (Wangsa Maju) dan timbalan ketua wanita MCA Datuk Paduka Chew Mei Fun (Petaling Jaya Utara).

Pemimpin MCA lain yang pertama kali bertanding bagi kerusi Parlimen tetapi gagal untuk memenanginya termasuklah pengerusi MCA Selangor Datuk Ch'ng Toh Eng (Klang), Datuk Koay Kar Huah (Bukit Gelugor), Datuk Lee Hua Beng (Kelana Jaya), Hoh Hee Lee (Serdang), Datuk Yeow Chai Tiam (Rasah), Datuk Yu Chow Tock (Seremban) dan Lee Li Yew (Selayang).

Presiden MCA Datuk Seri Ong Ka Ting ketika diminta mengulas kekalahan itu, berkata beliau terkejut dengan keputusan itu tetapi menerimanya sebagai pilihan rakyat. "Keputusan ini amat memeranjatkan kerana terdapat beberapa negeri yang (BN) kalah, bagaimanapun MCA menerima keputusan pengundi kerana itu adalah hak mereka," katanya kepada pemberita selepas pengumuman keputusan pilihan raya umum ke-12 Parlimen Kulai di Dewan Raya Bandar Putra di sini lewat Sabtu malam. "Kami menghadapi keputusan ini dengan ikhlas, saya perlu dapatkan butiran lanjut untuk buat analisis bagi mengenalpasti faktor dan unsur-unsur yang membawa kepada keputusan sebegini," katanya.
BERNAMA