Mar 22, 08 6:09pm
kemaskini 7:22pm
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal, Datuk Ahmad Said, dilantik menteri besar baru Terengganu bagi menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh - mengesahkan spekulasi awal bahawa pengerusi BN itu tidak diperkenan pihak Istana. Majlis angkat sumpah Ahmad dijadual diadakan di Istana Tamu, Kuala Terengganu pagi esok - dan kemungkinan menghadapi risiko diboikot. Pengesahan Ahmad ini menamatkan suasana bingung dan tidak pasti akibat krisis pelantikan ketua kerajaan di negeri itu sejak dua minggu lalu selepas berakhir pilihanraya umum 8 Mac. Semua 23 Adun BN, termasuk Idris, dilaporkan berhasrat memulaukan majlis angkat sumpah itu kerana bantahan tidak melantik semula Idris, satu sumber Umno negeri memberitahu Malaysiakini.
Pemulauan majlis itu, jika menjadi kenyataan, bagaimanapun akan menimbulkan krisis parah dalam Umno dan pentadbiran negeri. Ahmad dikatakan satu-satunya wakil rakyat BN yang tidak menandatangani sokongan kepada Idris sewaktu 22 Adun parti itu bertemu Perdana Menteri hujung minggu lalu. BN mengekalkan 24 daripada 32 kerusi DUN Terengganu pada 8 Mac lalu. Nama Ahmad, yang juga ketua bahagian Umno Kemaman dan seorang exco paling berpengalaman, muncul selepas khabar bertiup kencang Idris mungkin ditamatkan perkhidmatannya akibat tidak mendapat perkenan pihak istana. Selain Ahmad, Adun Ajil Datuk Rosol Wahid dan Adun Chukai, Datuk Mohd Awang Tera - kedua-duanya exco pada penggal lalu - sering disebut-sebut pengganti Idris. Desas-desus tentang Idris, yang memegang jawatan itu pada 2004 susulan kejayaan BN merampas Terengganu daripada PAS, akan digantikan mulai berkembang selepas istiadat melafaz surat pengisytiharan pelantikannya di Istana Maziah pada 10 Mac ditangguhkan ke suatu tarikh yang ditetapkan kemudian.
Ketika ditemui wartawan sehari selepas itu, Idris jelas berasa tidak senang untuk mengulas isu pelantikan semulanya sebagai Menteri Besar. Idris, yang kelihatan terganggu apabila terus ditanya persoalan tersebut, terus menjawab "(awak) faham ke tak? Saya kata (pelantikan MB) itu atas istana (tentukan). Saya tidak perlu jawab soalan tersebut."Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jertih itu juga dilaporkan "kelihatan sugul" dan enggan mengulas lanjut. Pada penggal lalu, Ahmad memegang jawatan pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan.