GELOMBANG MANDAT: 2008
tragedi buat MIC
09-03-2008 02:36:46 AM
Oleh G. MANIMARAN
SUNGGUH mengejutkan! Tetapi ini yang dialami pada 8 Mac 2008 - hari penentuan pilihan raya umum kali ke-12. Seorang Presiden, seorang Timbalan Presiden, dua Naib Presiden, dan masing-masing seorang Ketua Pemuda dan Ketua Wanita MIC hilang kerusi masing-masing. Dua hari sebelum penamaan calon, Datuk Seri S. Samy Vellu dengan bangga mendakwa Sungai Siput sebagai kawasan “kubu singa” yang tidak boleh dicabar dengan mudah. Beliau juga pernah mengatakan bahawa pencabar tradisinya boleh menentang beliau sepanjang hayat tetapi tidak boleh menang. Sehingga kelmarin Samy Vellu penuh yakin yang beliau akan menang mudah di kubu kuatnya itu. Nasib tidak menyebelahi Samy Vellu pada hari beliau sepatutnya menyambut ulang tahun hari kelahiran yang ke-72. Kegembiraan berganda yang diharapkan itu tidak menjadi.
Hari ini, Samy Vellu yang dilihat sebagai pemimpin lantang, kehilangan kerusinya yang dipertahankan sejak ia dimenangi pada pilihan raya umum tahun 1974. Samy Vellu, Presiden MIC yang bertanding di kawasan Sungai Siput sejak 1974 tewas kepada calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. D. Jeyakumar dalam persaingan tiga penjuru. Malah, ini juga kali pertama seorang Presiden MIC ditewaskan dalam pilihan raya umum. Samy Vellu merupakan Presiden lama berada dalam kedudukan tersebut. MIC telah menurunkan barisan calonnya - termasuk hampir dua pertiga muka baru - demi mengekalkan rekod kemenangan seratus peratus yang pernah diperoleh pada tahun 1999 dan 2004. MIC bukan sahaja gagal dalam misi tersebut, malah mengalami kekalahan teruk dalam sejarah MIC yang ditubuhkan pada 1946.
Kecundang bersama Samy Vellu ialah Timbalannya, Datuk G. Palanivel di tangan Datuk Dr. Zainal Ahmad Ahmad yang bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR). Palanivel, bekas wartawan, pertama kali diturunkan pada pilihan raya umum 1995. Kali ini beliau tewas dengan perbezaan 198 undi meskipun telah mencatatkan majoriti 14,483 undi empat tahun lalu.Palanivel, Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat dipilih sebagai Timbalan Presiden MIC dua tahun lalu dengan menewaskan Datuk S. Subramaniam.Dua Naib Presiden MIC juga dikatakan mengalami kekalahan. Datuk S. Sothinathan gagal mempertahankan kerusi Parlimen Telok Kemang. Sothinathan juga merupakan seorang timbalan menteri dalam Kabinet.Seorang lagi Naib Presiden MIC, Datuk S. Veerasingam yang kali ini berpindah ke kerusi Dewan Undangan Negeri Sungkai, Perak juga tewas.Senarai pemimpin utama MIC kecundang memanjang apabila Ketua Pemuda MIC, S. A. Vigneswaran yang merupakan Setiausaha Parlimen Kementerian Belia dan Sukan tewas di kerusi Parlimen Kota Raja.Ketua Wanita parti, Datin Paduka P. Komala Devi yang bertanding di kerusi Kapar juga gagal mempertahankan kerusinya. Beliau merupakan Setiausaha Parlimen Kementerian Pelajaran.
Sehingga awal pagi ini cuma kedudukan Samy Vellu, Palanivel dan Sothinathan disahkan dengan rasmi. Bagaimanapun sumber-sumber tidak rasmi menyebut tiga pemimpin berkenaan juga menjadi mangsa dalam pilihan raya umum kali ini. Bagi ahli-ahli MIC kekalahan teruk ini merupakan satu tamparan hebat yang sukar untuk diterima. Meskipun mereka mengakui bahawa MIC akan berhadapan dengan situasi yang amat sukar dan mencabar dalam perjuangannya menjaga kebajikan masyarakat India, tetapi kekalahan teruk ini adalah sesuatu yang amat buruk sekali. Menang atau kalah adalah lumrah dalam arena pilihan raya. Kali ini tewas tetapi boleh dimenangi semula dalam pilihan raya umum akan datang.
Penganalisis-penganalisis telah pun menjangkakan bahawa MIC akan kehilangan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri dan satu kerusi Parlimen iaitu Kapar.Kerusi Dewan Undangan Negeri yang ditandingi calon MIC di Pulau Pinang dan Perak juga kalah teruk.Ramalan tersebut tidak termasuk prestasi terburuk yang dialami oleh MIC kali ini. Ini satu tragedi kepada MIC dan masyarakat India.Sungguh menyedihkan dan sungguh mengecewakan. Persoalan menyusul siapa bakal wakil MIC dalam Kabinet. Selepas kekalahan enam pemimpin itu, yang menang cuma Setiausaha Agung MIC, Datuk Dr. S. Subramaniam yang bertanding di kerusi Parlimen Segamat. Kekalahan teruk MIC kali ini sebenarnya meninggalkan banyak persoalan dan tanda tanya. Selain persoalan berkaitan dengan siapa bakal wakil MIC dalam kerajaan di peringkat persekutuan, sama ada Samy Vellu mahu terus mengetuai MIC ataupun sebaliknya.