Sunday, March 23, 2008

:: Nancy Shukri dihubungi


BERITA UTAMA
YB mengaku diajak sertai pembangkang
Oleh Misiah Taib

KUCHING: Ahli Parlimen Batang Sadong, Nancy Shukri, yang juga muka baru Barisan Nasional (BN) Sarawak mengakui beliau dihubungi 'orang dikenali' dari Sabah yang mengajaknya menyertai pakatan pembangkang, atas alasan Sabah dan Sarawak tidak diberikan tempat yang sewajarnya dalam Kabinet baru, yang diumumkan Selasa lalu. Beliau memberitahu Berita Minggu, orang itu mempelawanya menyertai pembangkang menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar ke telefon bimbitnya dua hari lalu, dan beliau benar-benar terkejut apabila menerima SMS berkenaan. "Saya kenal orang itu... tapi saya tak mahu sebut siapa orangnya. Beliau dari Sabah. Saya bagaimanapun tak nak layan SMS yang dihantarnya dan langsung tidak memberi jawapan. Mungkin sebab itulah dia tidak memberikan sebarang tawaran lanjut kepada saya," katanya.

Pada pilihan raya umum lalu, Nancy menang dengan majoriti 5,425 undi mengalahkan pencabar tunggalnya, Piee Ling dari Parti Keadilan Rakyat (PKR). Nancy yang mewakili Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, beliau tidak akan melayan usaha mana-mana pihak yang cuba memperdayanya supaya menyertai pakatan pembangkang kerana menghormati mandat yang diberikan rakyat atas tiket BN. Nancy adalah Ahli Parlimen ketiga yang mengaku menerima tawaran selepas Ahli Parlimen Santubong, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Ahli Parlimen Bukit Mas, Henry Sum Agong.