Tuesday, March 11, 2008

:: Balas budi...?


Tuesday, March 11th, 2008
S’wak mahu lebih wakil

BN Negeri, PBB harap lebih banyak wakil dalam Kerajaan Pusat berikutan kejayaan besar raih 30 kerusi pada pilihan raya lalu

MIRI: Barisan Nasional (BN) Sarawak yang hampir menyapu bersih kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 meminta pertambahan perwakilan dalam Kerajaan Persekutuan. Demikian dinyatakan oleh Naib Presiden Kanan PBB Dato Sri Awang Tengah Ali Hasan, yang juga Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua merangkap Menteri Kemudahan Awam ketika mengucapkan terima kasih kepada rakyat Sarawak atas sokongan hebat mereka. Beliau berkata mandat dan sokongan padu mereka harus dibalas dengan perwakilan yang lebih besar di peringkat Kerajaan Persekutuan.

“Barisan Nasional Negeri berharap akan diberi perwakilan lebih besar dalam Kerajaan Persekutuan memandangkan ia telah menyumbang banyak kerusi kepada BN Pusat,” katanya. Tulang belakang BN Negeri, PBB memenangi kesemua 14 kerusi yang ditandinginya, dengan PRS (6) dan SPDP (4) manakala SUPP kalah satu daripada tujuh kerusi kepada DAP. PBB bertanding di kesemua tiga kerusi baru iaitu Sibuti, Limbang dan Igan meningkatkan jumlah Ahli Parlimennya kepada 14 orang. “PBB berharap akan di-berikan peranan yang lebih besar dalam barisan Kerajaan Persekutuan dengan memberi lebih banyak jawatan menteri, timbalan menteri atau setiausaha parlimen,” tambahnya.

Tengah menyatakan bahawa Sebelum ini PBB hanya mempunyai seorang menteri kabinet dan seorang timbalan menteri dalam Kerajaan Persekutuan. Datuk Seri Mohd Effendi Norwawi, yang telah dilantik sebagai senator, menyandang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri manakala Datuk Douglas Uggah Embass sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan. Effendi tidak bertanding dalam dua pilihan raya lepas.

Kementerian Pelancongan sebelum ini diberikan kepada PBB dengan Dato Sri Muhammad Leo Micheal Toyad sebagai menterinya tetapi beliau telah digugurkan bersama Menteri Alam Sekitar dan Sumber Asli Dato Sri Adenan Satem berikutan rombakan kabinet pada Februari 2006 selepas Pilihan Raya Umum 2004.

Kedua-duanya kembali ke Sarawak dan Adenan mengambil keputusan tidak bertanding dalam pilihan raya lalu manakala Toyad kembali bertanding di Mukah. Datuk Rohani Abdul Karim pula adalah Setiausaha Parlimen Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sejak 1999. SUPP mempunyai seorang menteri dan seorang timbalan menteri iaitu Datuk Peter Chin Fah Kui (Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi) dan Datuk Robert Lau Hoi Chew (Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan).

PRS dan SPDP masing-masing mempunyai seorang timbalan menteri iaitu Joseph Entulu Belaun (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri) dan Datuk Dr Tiki Lafe (Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah).