Friday, March 21, 2008

:: Siasat cubaan beli anggota BN


Mutakhir ( mSTAR Online )

BN siasat cubaan beli anggota parlimennya
20-03-2008 05:54:09 PM

PUTRAJAYA: Barisan Nasional (BN) akan menghantar pasukan risikannya ke Sabah dan Sarawak tidak lama lagi bagi menyiasat dakwaan kononnya parti pembangkang cuba membeli anggota parlimennya bagi menggulingkan kerajaan.

Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada hari Khamis berkata langkah itu penting bagi membolehkan BN mendapat maklumat yang tepat dan sahih ekoran terdapat pelbagai maklumat mengenai perkara itu kebelakangan ini. "Maklumat yang diterima setakat ini ada yang sahih dan tidak sahih. Ada kata gini, ada kata gitu," katanya kepada pemberita di sini.

Dakwaan tersebut timbul ekoran BN memenangi 140 kerusi Parlimen dan pembangkang 82 kerusi Parlimen. Ekoran itu, pembangkang hanya memerlukan 30 kerusi Parlimen untuk memperoleh majoriti mudah 112 kerusi bagi membentuk kerajaan Persekutuan. Bagaimanapun, beliau percaya anggota anggota Parlimen BN tidak akan terpedaya dengan cubaan pembangkang itu kerana kedudukan BN masih kukuh, relevan dan popular.

Pada pilihan raya umum lepas, BN mendapat 4.1 juta undi, PAS 1.1 juta undi, DAP 1.1 juta undi dan Parti Keadilan Rakyat 1.4 juta undi, katanya. Ini menunjukkan Umno dan BN masih releven, katanya. "Masalahnya dia orang ini hendak menangguk di air keruh...air sebenarnya tak keruh kerana orang yang tidak mengundi BN juga kini terkejut kerana tidak sangka keadaan akan jadi begini. Kita tahu rakyat rasa gelisah sekarang kerana mereka dah biasa dengan BN selama 50 tahun," katanya.
BERNAMA