Zaid: Hapuskan kuota pencalonan
Nash Rahman & Chan Kok Leong Mar 16, 08 9:44am
Kembalikan suara ahli akar Umno. Untuk itu, langkah pertama yang mesti dilakukan antaranya menghapuskan sistem kuota pencalonan untuk jawatan tinggi dalam Umno. Mengikut sistem kuota pencalonan yang ditetapkan, calon presiden perlu mendapat 30 peratus pencalonan, timbalan 20 peratus, naib presiden 10 manakala ahli majlis tertinggi 5 peratus. Selain itu, sistem kuota ini terus-menerus menjadi polemik kerana ia dikaitkan dengan demokrasi dalam Umno dan menjadi salah satu punca berlakunya politik wang dalam parti tersebut.
Di samping itu, amalan MT Umno membuat keputusan supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan, juga mesti dihentikan. “Lagi pun, tanpa kuota tersebut pun, bukan ada yang berminat untuk bertanding jawatan presiden dan timblan presiden. Tapi tanpa sekatan kouta seperti itu, akan terserlah demokrasi dalam Umno dan ahli akar umbi lebih bebas bersuara dan membuat pilihan,” demikian pandangan bekas ahli parlimen Kota Bharu, Datuk Zaid Ibrahim.
Pada masa ini, katanya, corak kepimpinan Umno bersifat 'dari atas ke bawah', menyebabkan ahli dan penyokong Umno merasakan suara mereka tidak didengar dan tidak diberi perhatian sewajarnya. Kalah teruk. Kerana mereka tiada saluran untuk menyuarakan isi hati mereka kepada pucuk pimpinan, maka tegas Zaid, mereka beralih kepada pilihanraya untuk menyatakan suara hati mereka, dengan mengundi pembangkang. Akibatnya, Barisan Nasional (BN) dan Umno kalah teruk dalam pilihanraya umum pad 8 Mac lalu.
Walaupun BN masih memerintah tetapi ia kehilangan majoriti dua pertiga. Kerusi parlimen yang dimenangi BN telah merosot kepada 140 manakala kerusi parlimen pembangkang meningkatkan kepada 82 daripada 222. Umno sendiri kalah teruk apabila kehilangan 31 kerusi parlimen - daripada 109 pada tahun 2004 kepada 78 kerusi kali ini. Di samping itu, BN juga kehilangan empat negeri - Pulau Pinang, Selangor, Perak dan Kedah - kepada pembangkang. Manakala PAS berjaya mempertahankan Kelantan. Sehubungan, Zaid menegaskan bahawa Umno perlu kembali kepada landasan yang betul dan mengkaji semua dasar perjuangannya selaras dengan keadaan semasa, terutama dalam mempertahankan hak-hak orang Melayu. Dalam pilihanraya 2004, Zaid menewaskan calon PKR, Nik Mahmood Nik Hassan di kerusi parlimen Kota Bharu, dengan majoriti 1,723 undi.
'Kepimpinan lemah'
Bagaimanapun, Zaid tidak dipilih semula untuk mempertahankan kerusi tersebut dalam pilihanraya umum kali ini. Pada 8 Mac lalu, calon BN dari Umno, Datuk Mohd Fatmi Che Salleh gagal mempertahankan kerusi tersebut. Beliau ditewaskan kepada calon PAS, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, yang menang dengan majoriti 11,288 undi. "Saya anggap bernasib baik kerana tidak dipilih bertanding lagi. Jika tidak, saya pun kalah juga. Cuma mungkin majoritinya tidaklah sebesar itu," katanya. Dalam temubual dengan Malaysiakini, Zaid berkata, antara faktor yang menyumbang kepada kekalahan teruk BN ialah kelemahan pucuk pimpinan, sikap angkuh dan terlalu bergantung kepada slogan.
Namun begitu, Zaid berpendapat, sebarang tindakan mendesak presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan, tidak akan menyelesaikan masalah.Tetapi katanya, Umno memerlukan pembaharuan termasuk bersikap terbuka dalam pertandingan memilih pucuk pimpinan parti, tanpa ahli-ahli disekat dengan keperluan mendapatkan kuota pencalonan seperti yang diamalkan sekarang. Katanya, memansuhkan kuota adalah satu daripada banyak lagi reformasi yang perlu dilakukan untuk memulihkan semula kekuatan Umno.
Buktikan integriti
"Pak Lah bercakap mengenai integriti. Jadi, jika beliau benar-benar percayai mengenainya, beliau mesti membuka laluan supaya kedua-dua jawatan tertinggi dalam Umno, dipertandingkan," katanya. "Walaupun tiada kuota pencalonan, bukan mudah untuk seseorang ahli itu hendak bertanding jawatan presiden atau timbalan presiden," tambah Zaid. Sejarah Umno sebelum ini pernah menyaksikan presidennya dicabar dalam pemilihan parti itu. Yang pertama berlaku pada tahun 1950-an apabila Tunku Abdul Rahman dicabar oleh CM Yusof, yang kemudiannya menjadi speaker parlimen. Kemudian presiden ketiga Umno, Tun Hussein Onn juga dicabar oleh seorang pemimpin akar umbi Umno, Sulaiman Palestin dan pada 1987. Presiden keempat Tun Dr Mahathir Mohamad dicabar oleh naib presiden Umno ketika itu, Tengku Razaleigh Hamzah.
Dalam ketiga-tiga cabaran tersebut, Dr Mahathir berdepan dengan pertandingan paling sengit dalam sejarah Umno. Beliau menang tipis tetapi Umno kemudiannya diharamkan oleh mahkamah akibat penyelewengan sewaktu pemilihan parti itu pada 1987. Dr Mahathir kemudiannya menubuhkan Umno baru yang berkekalan hingga ke hari ini.