Pendapat (mSTAR Online)
Antara demokrasi bersuara dan demokrasi memilih!
24-03-2008 10:20:40 AM
SATU persoalan yang menarik untuk difikirkan. Apakah sokongan terhadap parti dan pemimpin melarang ahlinya berbeza pendapat?
Jika ya, parti berhadapan barah yang serius dan sudah tiba masa corak berfikir ahli parti direformasi. Hari ini, ada kecenderungan mewujudkan parti dengan konsep demokrasi terpilih. Demokrasi bersuara dalam parti dilihat berfungsi apabila semua bersetuju pada satu-satu isu. Perbezaan pandangan dalam parti pula dilihat sebagai unsur negatif yang perlu dineutralkan. Jika adanya ahli parti berbeza pendapat berbanding majoriti, maka gelaran tidak setia parti, tidak menghormati pemimpin, memecahkan parti diberikan.
Kekangan bersuara baik dari akar umbi mahupun kepada pucuk pimpinan menjadi barah kepada parti sendiri. Demokrasi terpilih seperti ini secara perlahan merosakkan variasi pandangan yang sebenarnya dapat memberi sudut pandang baru kepada situasi yang dihadapi.
Demokrasi bersuara yang terkongkong menjadikan kredibiliti parti dipersoalkan. Apakah jenis pemimpin-pemimpin rakyat sedang dihasilkan oleh parti jika berbeza satu isu sekalipun sudah dicop sebagai tidak setia kepada perjuangan parti. Satu contoh lama yang masih relevan sehingga ke hari ini ia kutipan daripada ucapan Khalifah Umar al Khattab apabila diletakkan pada tampuk pemerintahan. Kesediaan Umar ditegur sekiranya polisi pentadbiran beliau menyimpang daripada asas Quran dan Sunnah disambut oleh seorang pemuda. Respon pemuda itu bukan sekadar kata-kata, pedang ditunjuk sebagai simbol ketegasan terhadap kata-kata yang disampaikan. Demokrasi bersuara jelas dipamerkan oleh Umar. Demokrasi yang menerima perbezaan meskipun pemuda itu jika dilihat dari kacamata hari ini seolah-olah tidak beradab di hadapan pemimpin. Sikap seperti pemuda itu tidak menjadikan beliau musuh kepada rakyat dan pengkritik yang nyata terhadap Umar. Apakah nasib yang sama oleh pemuda itu jika beliau berada pada zaman ini. Boleh jadi pemuda ini akan dilihat sebagai tidak menghormati pucuk pemimpin dan kumpulan penyokong melihat beliau sebagai tidak setia dan memecah belahkan kumpulan.
Variasi pandangan adalah penting bagi mengembangkan potensi parti. Pengikut sesebuah parti perlu tahu belajar membezakan istilah menentang dan berbeza pendapat. Salah tafsir terhadap kedua-dua istilah menjadikan parti berada dalam keadaan keliru kerana berdiri pada prinsip yang kabur. Perbezaan pendapat yang dilabel sebagai menentang akan mencipta ketakutan kepada pengikut. Ketakutan ini sekali lagi memberi tanda tanya kepada ketelusan terhadap dasar parti sama ada adanya ruang berbeza pendapat sebagai usaha pembaikan benar-benar diamalkan atau sebaliknya. Ketakutan-ketakutan yang dicipta ini bertambah parah apabila ia dipanjangkan kepada rakyat. Ketakutan ini diterjemah kepada permintaan tidak berasas yang membunuh demokrasi memilih oleh rakyat.
Desakan seorang setiausaha badan perhubungan negeri agar disekat pembangunan negeri- negeri yang memilih angin baru dapat dianggap sebagai tidak rasional, tidak mencermin daya intelektual yang matang dan kewajaran individu. Demokrasi memilih yang dipraktis rakyat dikongkong dengan desakan ini. Ia dilihat sebagai desakan berasaskan emosi yang menidakkan hormat rakyat yang mematuhi sistem demokrasi melalui pemilihan mengikut proses yang dibenarkan perlembagaan. Kematangan penyokong atau pendukung parti politik menjadi tunjang kestabilan parti. Mendukacitakan apabila pendukung parti mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang akan menjarakkan lagi sokongan massa kepada parti. Ini merumitkan lagi ketika mana parti sedang menyusun gerak kerja bagi membaiki kecederaan dialami. Kenyataan ini juga merupakan satu bentuk pendidikan kepada rakyat agar takut kepada risiko. Sedangkan risiko adalah perkara harian yang dipraktikan dari semudah-mudah pilihan kepada sesuatu yang paling sukar.
Demokrasi memilih juga mewujudkan dilema kepada pemilih, adakah perubahan menjadi satu dosa dengan hukuman sekatan terhadap pembangunan yang dijanji. Demokrasi memilih juga disekat sepertimana demokrasi bersuara secara terpilih dalam parti. Kejutan bakal berpanjangan apabila pendukung parti tidak memikirkan kesan komunikasi yang mengandungi konotasi negatif kepada penerima.
Pendukung parti memprovokasi dan menyediakan ruang kepada parti yang memimpin kepada penolakan demi penolakan daripada bakal pengundi empat tahun dari sekarang. Pendukung parti menjadikan rakyat sebagai sasaran hukuman apabila mereka memilih kepada perubahan. Hukuman menjadikan rakyat bersalah kerana memilih dan hukuman ini membentuk jurang yang nyata bagi parti mendapatkan sokongan kembali. Pembersihan dalaman hendaklah digerakkan habis-habisan oleh pendukung parti sebelum menuding jari menyalahkan pilihan rakyat. Keputusan pilihan raya adalah keputusan yang perlu dihormati. Melatah terhadap perubahan menandakan tanda intelektual yang memerlukan adaptasi secara berperingkat.
Keputusan yang diambil massa sebagaimana pilihan di Pulau Pinang perlu dipantau dan diperhatikan sepanjang tempoh pentadbiran kerajaan di bawah Democratic Action Party (DAP). Kesimpulan awal dan desakan mereka yang merasakan kedudukan Melayu terancam hendaklah diperhalusi semula berdasarkan prestasi Melayu dalam tempoh sebelum ini. Mungkinkah formula baru dapat menjayakan agenda meningkatkan ekonomi penduduk Pulau Pinang secara keseluruhan. Kejayaan akan menjadi hasil yang mengejutkan mereka yang pesimis. Kejayaan eksperimen ini juga akan menjadi penentu pangkah di kertas undi rakyat. Hasil kepada percubaan DAP, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mewujudkan kerjasama berangkai akan menjawab kepada andaian-andaian ini.
Mungkinkah Dasar Ekonomi Baru (DEB) bakal diganti dengan satu dasar ekonomi bersama yang bakal menguntungkan semua pihak. Empat tahun pemerintahan bakal menjawab soalan ini. DEB yang diperkenalkan pada tahun 1970 dalam Rancangan Malaysia Kedua sudah lama dimansuhkan. Semangat DEB dan pengubahsuaian konsep sudah lama berlaku sejak tahun 1991. Ia berlaku apabila Dasar Pembangunan Nasional (DPN) diperkenalkan. DPN membuka fokus yang lebih luas dan melalui jalan yang berbeza. Ia dianggap sebagai mengambil semangat DEB dengan sasaran lebih jelas, pembasmian kemiskinan semua kaum. Jelas sekali DEB menjadi bahan bicara politik sedangkan apa yang direncana bagi menagih sokongan. Sedangkan implementasi DPN tidak seorang pun ambil peduli. Dasar yang diketengahkan oleh Tun Dr Mahathir seolah-olah tidak pernah dibentangkan dan tidak wujud dalam agenda. DPN tidak diberi ruang yang sewajarnya dan dimensinya dikecilkan apabila ia tidak diangkat sebagai bahan media. Ia sekadar menjadi berita sisipan. DPN tidak diuar-uar sebagai teras perjuangan baru. Nostalgia DEB menjadi wayang lama yang diputarkan. Nostalgia yang sama menjadi filem seram bagi menakutkan-nakutkan orang lain yang tidak faham benar konsep ini. DEB menjadi tongkat yang diberi kepada orang Melayu agar tidak lepas dari genggaman.
Jarang sekali ahli politik membicarakan idea-idea reformis dan pemikir seperti Tan Sri Zainal Abidin Bin Ahmad atau Za'ba. Dalam tulisan-tulisan beliau yang acapkali menggentarkan pemerintah British di Tanah Melayu, Za'ba membawa agenda kooperatif dalam masyarakat Melayu. Za'ba menekankan kepada daya juang orang Melayu meningkatkan daya saing melalui peningkatan skil dan kerjasama ekonomi yang tinggi. Za'ba juga jarang menekankan kepada konsep payung, melindungi orang Melayu dalam sebuah sistem. Bagi Za'ba, Melayu perlu menjadi hidup seperti seorang survivor di tanah air sendiri. Satu sistem bersifat sementara, ia tidak dicipta untuk kekal. Ia berhadapan dengan tuntutan perubahan. Apakah sistem kita hari ini mempunyai inspirasi Za'ba sebagai genius Melayu yang percaya orang Melayu tidak memerlukan payung setiap kali hujan dan panas terik.
Pemimpin yang dipilih mempunyai tanggungjawab mengubah cara pemikiran rakyat. Inilah dasar kebajikan yang menjadi keutamaan, menjadikan rakyat bersedia kepada tindakan yang mencipta hasil melalui sistem kendiri. Mencipta mesej ketakutan-ketakutan akan hilangnya DEB kini perlu diganti kepada falsafah ekonomi gagasan Luqman Hakim. Dalam nasihat Luqman kepada anaknya disebutkan, peingkatan daya ekonomi peribadi tidak akan gagal melainkan apabila agama tidak menjadi prioriti, lemah pada akal dan hilang prinsip hormat diri yang menjadi tunjang adab. Ketiga-tiga elemen ini jelas menunjukkan, kekuatan ekonomi rakyat bukan pada payung yang diberi tetapi ia diperkukuh melalui konsep diri yang betul. Jiwa rakyat dikuatkan dengan prinsip hidup yang betul dan sistem yang digagaskan sebelum ini sekadar menjadi pendorong bukan primary source kepada perubahan total.
Mungkinkah satu sistem ekonomi baru merangkumi ketiga-tiga unsur ini dapat diketengahkan kepada rakyat melalui kuasa politik yang diangkat dalam sistem pilihanraya. Memetik kata orang politik, semua dikata bisa jadi. Manusia selalu ditakut-takutkan dengan andaian. Manusia juga selalu diberi ruang bersuara dengan pilihan hitam putih. Andaian dan pilihan yang dijadikan definisi lama demokrasi berdasarkan persepsi. Definisi lama ini perlu diubah agar sesuai berjalan dengan kepandaian rakyat dan ahli politik lapisan baru.
ZAMRI MOHAMAD