Sunday, March 23, 2008

:: Maulidur Rasul di Brunei


24,000 meriah kan Maulud
Oleh Rafidah Jumat, Ak Fairol RMF, Hasrulraizan dan Sheirol Mohd Heldy

Baginda Sultan mengetuai kira-kira 24,000 umat Islam dalam perarakan sekeliling ibu negara sempena sambutan Maulud Nabi Muhammad yang bermula dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar Ali Saifuddien.

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan berangkat mengetuai perhimpunan Maulud Nabi Muhammad di Taman Haji Sir Muda Omar Ali Saifuddien di ibu negara.
Yang berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda Abdul Malik dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda Abdul Mateen.

Acara kali ini membabitkan kira-kira 24,000 orang dari segenap lapisan rakyat yang berarak mengelilingi ibu negara dengan melalui lapan batang jalan raya sejauh 4.3 kilometer.

Sejumlah 147 buah pasukan daripada peringkat kementerian kepada jabatan kerajaan, daripada syarikat swasta hingga kepada balai ibadat kampung menyertai perarakan dalam perayaan dengan tema Tunas Bangsa Berakhlak al-Quran.

Kemeriahan sambutan Maulud Nabi Muhammad ini juga dirasakan di seluruh negara dengan tiga daerah lain - Belait, Temburong dan Tutong - turut mengadakan majlis khas meraikan salah satu hari kebesaran dalam kalendar Islam itu.

Sambutan Maulud Nabi Muhammad ini bermula dengan acara Dikir Maulud yang diadakan hampir di seluruh negara, termasuk melalui acara dari rumah ke rumah dan berakhir malam tadi. Dikir Maulud diadakan seolah-olah untuk membangkitkan semangat umat Islam bagi merayakan kemuncak sambutan Maulud Nabi Muhammad hari ini.

Sesuai tema Tunas Bangsa Berakhlak al-Quran, Baginda Sultan dalam titah khas malam ini menekan pentingnya golongan muda mempersiapkan diri dengan iman, akhlak dan ilmu untuk mencorakkan pembangunan negara masa depan.