Kad laporan kedua PIPP dibentangkan minggu hadapan
21/03/2008 5:06pm
21/03/2008 5:06pm
PUTRAJAYA 21 Mac – Kementerian Pelajaran akan membentangkan kad laporan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang kedua pada minggu hadapan, kata menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Beliau berkata daripada segi pelaksanaannya, didapati ia bukan sahaja berada pada landasan yang baik tetapi turut memenuhi sasaran yang telah ditetapkan untuk penggal pertengahan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). “Saya setuju dengan saranan Perdana Menteri yang sedikit sebanyak menyentuh kepada bagaimana kita menerangkan kepada orang ramai tentang pelaksanaan dan kejayaan kita melaksanakan dasar-dasar sedia ada. Jika itu dilihat sebagai satu kelemahan, maka kita di Kementerian Pelajaran mulai minggu depan akan membentangkan kad laporan yang kedua,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Kad laporan PIPP yang pertama bagi prestasi enam bulan PIPP telah dibentangkan pada pertengahan tahun lalu yang menunjukkan hasil yang positif. PIPP (2006-2010) telah diperkenalkan pada awal tahun lalu bagi melonjakkan mutu pendidikan di negara ini.
- BERNAMA