Sunday, March 09, 2008

:: PRU12: Mesej yang jelas


Mutakhir

Mesej pengundi sangat jelas
09-03-2008 06:03:53 AM
Oleh SA'ODAH ELIAS

PADA pagi Sabtu, selepas membuang undi, Pemangku Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon masih lagi ghairah becakap mengenai siapa yang akan dilantik menggantikan beliau sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang. Tetapi kurang 12 jam kemudian, beliau terpaksa mengumumkan kejatuhan Pulau Pinang ke tangan pembangkang.

Nasib yang sama juga terpaksa dihadapi oleh bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Khir Toyo, Menteri Besar Kedah Datuk Mahdzir Khalid dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali. Dengan penuh keyakinan diri mereka mengumumkan akan kekal memegang jawatan masing-masing selepas pilihan raya nanti kerana dikekalkan untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Tetapi menjelang awal pagi Ahad, jelas bahawa negeri-negeri ini akan jatuh ke tangan pakatan pembangkang. Menjelang 4.30 pagi, keputusan yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya menunjukkan igauan mereka menjadi kenyataan. Bukan sahaja lima kerajaan negeri kini, termasuk Kelantan, di bawah kuasa pembangkang, tetapi BN juga gagal untuk mengekalkan majoriti dua pertiga di Parlimen.

Spekulasi kini beralih kepada siapakah daripada kalangan ahli-ahli Yang Berhormat (YB) yang baru dipilih dari kalangan parti-parti DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang akan mengisi kerusi menteri besar dan ketua menteri di negeri-negeri yang baru mereka tawan. Seperti sudah jatuh ditimpa tangga, BN bukan sahaja kalah di negeri-negeri ini, tetapi kalah dengan teruk, terutama di Pulau Pinang, iaitu negeri Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri dan Selangor, negeri paling maju di Malaysia.

Yang jelas, keputusan pengundi itu membawa satu mesej yang jelas yang perlu diambil ikhtibar oleh BN sekiranya tidak mahu negeri-negeri itu kekal di tangan pembangkang dalam tempoh lima tahun akan datang.

Banyak faktor yang menyumbang kepada kekalahan itu, tetapi jika jumlah kerusi yang berjaya dirampas pembangkang diambil kira, jelas pengundi menolak BN secara keseluruhannya. Keputusan ini bukan lagi boleh dikatakan sebagai dipengaruhi oleh faktor calon kerana kekalahan BN itu hampir menyeluruh.

Apa pun, sikap gentleman Koh ketika mengumumkan kejatuhan Pulau Pinang kepada pembangkang, patut dipuji kerana beliau tidak sedikit pun mencari alasan atau menyalahkan mana-mana pihak. Dengan nada merendah diri, beliau menyatakan penerimaannya terhadap keputusan yang telah diambil oleh pengundi sejajar amalan demokrasi berparlimen.

Walaupun sukar ditelan, pemimpin BN perlu menerima keputusan ini kerana ini adalah kehendak rakyat. Tidak perlulah mereka melihat kebelakang melainkan untuk menilai secara terbuka dan secara ikhlas apakah kesilapan mereka. Selepas itu, perlulah mereka melihat kehadapan supaya dapat membuat persiapan awal untuk mengukuhkan kedudukan.

Dengan keputusan PRU kali ini jauh berbeza daripada PRU ke-11 pada 2004 lalu, di mana BN menang lebih 90 kerusi Parlimen dan berjaya pula merampas kembali Terengganu daripada PAS, pemimpin-pemimpin BN perlu berani berhadapan dengan kenyataan. Masalah yang jelas di depan mata mesti diselesaikan, walau bagaimana sukar sekali pun dan unsur-unsur yang melemah dan memecah belahkan kekuatan mesti dihapuskan sebelum BN boleh mengatur langkah baru untuk memperbaiki kedudukannya.