Sunday, March 09, 2008

:: PRU12: Lembah Pantai... akur


Mutakhir
Shahrizat akur kehendak pengundi Lembah Pantai
09-03-2008 03:47:46 AM

KUALA LUMPUR: "Saya akur mesej pengundi yang telah membuat keputusan mereka," kata Naib Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengulas mengenai kekalahannya kepada pendatang baru daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar di kawasan Parlimen Lembah Pantai.

Shahrizat yang menjadi wakil rakyat kawasan itu sejak 12 tahun lepas, tewas kepada Nurul Izzah, anak penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dengan 2,895 undi majoriti. Beliau memperoleh 18,833 undi manakala Nurul Izzah mendapat 21,728. Calon bebas, Periasamy Nagarathnam hanya memperoleh 489 undi.

Bercakap kepada pemberita di Pusat Operasi Pilihan Raya Barisan NAsional (BN) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Shahrizat berkata beliau sedih kerana BN tewas kerusi itu kepada pembangkang. "Saya bekerja keras. Sepanjang 12 tahun di sana, Lembah Pantai sudah berubah daripada kawasan mundur kepada sebahagian daripada bandar raya metropolitan hari ini. "Saya cintakanya, bukan sahaja kawasan itu malah penduduknya. Saya harap kerajaan akan terus menjaga Lembah Pantai. Saya mengucapkan terima kasih kepada penduduk yang menyokong saya selama ini," katanya.

Mengenai kekalahan BN di banyak kawasan Parlimen dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini, Shahrizat berkata kerajaan perlu mengakui angin perubahan itu. "Sebagai ahli politik, kita jangan anggap ini sebagai halangan atau mudah mengaku kalah. "Saya tidak, dan melihat perkembangan ini sebagai isyarat daripada rakyat dan saya rasa kita perlu melihatnya secara positif. Tunggu dan lihat sama ada mereka lebih baik atau tidak. "Ahli politik tidak pernah mengalah. Saya tak mengaku kalah," katanya.

Sementara itu, Khairy Jamaluddin yang memenangi kerusi Parlimen Rembau untuk BN, berkata BN mungkin kalah banyak kerusi pada pilihan raya ini namun segalanya belum berakhir. "Kami akan melawan semula," kata Khairy yang memperoleh 26,525 undi mengalahkan calon PKR Badrul Hisham Shaharin dengan 5,746 undi majoriti.
BERNAMA