TIADA ANGGOTA PARLIMEN PBS DIHUBUNGI PEMIMPIN PKR
MAXIMUS ... tiada Ahli Parlimen PBS dihubungi oleh PKR. 22nd March, 2008
MAXIMUS ... tiada Ahli Parlimen PBS dihubungi oleh PKR. 22nd March, 2008
KOTA KINABALU: Wakil-wakil rakyat dari Parti Bersatu Sabah (PBS) tidak ditawar oleh mana-mana pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk ‘melompat’ parti dan menyertai barisan pembangkang, kata Timbalan Presiden PBS, Datuk Dr Maximus Ongkili. “Mereka (PKR) tidak akan berani. Kami adalah kumpulan pemimpin yang memiliki prinsip yang teguh. Mengapa PKR dan pembangkang perlu terbabit dalam tindakan yang tidak bermaruah ini untuk ‘membeli’ wakil rakyat. Kita sudah cukup muak dengan politik ‘lompat’ ini (di Sabah) suatu ketika dahulu dan rakyat sudah menunjukkan bantahan mereka terhadap tindakan ini dengan menolak ahli politik yang tidak berprinsip yang melompat parti,” kata Menteri Sains Teknologi dan Inovasi itu kepada Bernama di sini kelmarin.
Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas mengenai khabar angin bahawa penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perbincangan dengan beberapa wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang dikatakan berminat untuk berpaling tadah. Dr Maximus berkata tindakan sebegini perlu dikecam dan anggota politik berkenaan perlu disingkirkan. “Mereka yang menggalakkan corak politik yang kotor dan tidak bermaruah ini perlu dikutuk oleh rakyat … ia amalan yang salah,” katanya sambil mencadangkan supaya tindakan undang-undang diambil terhadap mereka yang terbabit, kerana mencetuskan ketidakstabilan dan mengganggu ketenteraman awam. – Bernama