Monday, March 24, 2008

:: Tiada niat derhaka



22 Adun BN tiada niat derhaka dengan istana
Oleh Baharom Bakar

NYATAKAN SOKONGAN: Sebahagian Adun Terengganu menandatangani surat pengakuan berkanun menyatakan sokongan ke atas Idris sebagai Menteri Besar Terengganu di Kuala Lumpur, semalam.

Alias rayu MPPR buat semakan semula watikah pelantikan MB

KUALA TERENGGANU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alur Limbat, Alias Abdullah, semalam menjelas 22 Adun Barisan Nasional (BN) tidak pernah sama sekali berniat untuk menderhaka terhadap Raja atau berkonfrontasi dengan Istana Terengganu. "Kami memohon limpah perkenan pengampunan jika Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Idris Jusoh ada melakukan kesilapan ketika dia diamanahkan mentadbir negeri ini," katanya. Beliau mendakwa mewakili 22 Adun itu, merayu Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) memperkenankan pelantikan semula Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri itu sebagai Menteri Besar.

Alias yang ditemui di Seri Iman berkata, 22 wakil rakyat BN dengan berasa rendah diri memohon limpah perkenan MPPR supaya dapat memberi pertimbangan dan membuat semakan semula terhadap watikah pelantikan Menteri Besar yang diserahkan kepada Adun Kijal, Datuk Ahmad Said, semalam. "Kami memohon limpah perkenan pihak Istana Terengganu supaya dapat memberi peluang kepada Idris untuk dilantik semula sebagai Menteri Besar selepas BN memenangi Pilihan Raya Umum Ke-12 demi kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat," katanya. Beliau berkata, Idris wajar diberi pertimbangan kerana beliau sudah menerima watikah pelantikan sebagai Menteri Besar daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.