Monday, March 17, 2008

:: Jaminan PM


BERITA UTAMA
Insentif pelabur kekal

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika ditemu bual Bernama TV, kelmarin.

PM jamin senario politik sekarang tak gugat kepentingan perniagaan

PUTRAJAYA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) akan meneruskan dasar mesra perniagaan sedia ada bagi menarik pelabur dan bersedia menawarkan lebih banyak insentif untuk menarik pelaburan langsung asing. Perdana Menteri ketika memberi jaminan itu, berkata walaupun hanya menang majoriti mudah pada pilihan raya umum minggu lalu, kerajaan BN tetap akan menjaga kepentingan mereka (pelabur) dan melaksanakan dasar yang sesuai.

Abdullah berkata, keutamaan sekarang adalah untuk membentuk Kabinet baru bagi memberi jaminan semula kepada komuniti pelaburan mengenai senario politik Malaysia dan memastikan mereka yakin dengan negara ini. "Dasar yang menambat hati pelabur dan komuniti perniagaan akan kekal, terutama dasar yang berfungsi dengan baik," katanya ketika wawancara dengan Bernama TV yang dihoskan Datuk Zuraidah Atan di sini, semalam. Beliau berkata, dasar sudah dibuat, program sudah diputuskan dan wang sudah diperuntukkan dan bagi 2008, banyak pelaksanaan sudah dilaksanakan.

"Bagaimanapun, perkara pertama yang perlu saya lakukan ialah membentuk Kabinet. Itu sangat penting. Sudah tentu akan ada muka baru," katanya. Dalam wawancara terdahulu bersama Bernama, beliau berkata, barisan Kabinet baru akan diumumkan sebelum mesyuarat jemaah menteri Rabu depan. Abdullah berkata, beliau juga akan memastikan Kerajaan Persekutuan terus mempunyai hubungan komunikasi dengan negeri dikuasai pembangkang bagi memastikan kejayaan pelaksanaan projek. BN hanya memperoleh majoriti mudah dalam Parlimen pada pilihan raya yang baru berakhir apabila lima negeri jatuh ke tangan Pembangkang. Ia termasuk Pulau Pinang, Selangor, Perak, Kedah dan Kelantan.

"Tidak ada masalah bagi saya untuk berbincang dengan mereka. Apa juga projek yang kami putuskan projek yang telah diberi peruntukan dan projek yang kami komited untuk melaksanakannya, sudah semestinya akan menjadi keutamaan kami untuk melaksanakan. Bagaimanapun jika atas alasan tertentu mereka (negeri yang dikuasai pembangkang) tidak mahu projek baru, bagaimana saya boleh memaksa mereka," katanya. Abdullah berkata, beliau akan memastikan projek yang sudah dilaksanakan diteruskan kerana ia mewujudkan peluang pekerjaan dan membawa kekayaan baru kepada rakyat. "Kami yakin projek yang kami lancarkan adalah projek yang baik, baik kepada ekonomi, negara dan rakyat. Tiada sebab mengapa saya harus menghentikannya hanya kerana kami kini mempunyai negeri yang tidak menjadi milik BN. Saya akan terus berbuat demikian (melaksanakan projek). Kami perlu melaksanakannya di tempat lain juga," katanya.

Menekankan bahawa kepentingan nasional adalah keutamaan, Abdullah berkata, beliau tidak akan menghalang pelabur asing yang mahu melabur di negeri yang dikuasai pembangkang. "Mengapa saya perlu halang pelaburan dari luar negara untuk melabur di negeri ini sekiranya terdapat peluang. Ya tentu saja, teruskan, Saya tidak akan halang mereka daripada berbuat demikian jika ia baik kepada rakyat," katanya. Selangor dan Pulau Pinang yang menjadi hab bagi banyak syarikat multinasional kini dikuasai oleh pembangkang. Apabila ditanya cabaran daripada hasil pilihan raya ke atas beliau untuk terus mengorak langkah ke hadapan, beliau berkata: "saya suka cabaran. Ia membuat saya bertenaga." - Bernama