Thursday, March 13, 2008

:: Pandangan Prof Dr Agus


Sikap, sistem dan dasar yang diamalkan punca kekalahan BN - Agus
Intan Abdullah Wed Mar 12, 08 5:31:39 pm MYT

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Hrkh) - Sikap, sistem dan dasar yang diamalkan oleh Umno-BN selama ini telah menyebabkan wujudnya 'silent protest' yang terlalu ramai dan merbahaya. -->-->
Perkara tersebut disuarakan oleh Ketua Jabatan Sains Politik, Fakulti Sains Sosial dan Kemasyarakatan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Mohammad Agus Yusof ketika dihubungi Harakah.
"Kemarahan rakyat telah menimbulkan 'tsunami' daripada golongan rakyat bawahan yang sangat merbahaya kerana ia sukar untuk dijangka oleh pemerhati dan penganalisis politik tanah air," katanya.

Ditanya mengenai sejarah politik tanah air, Agus mengatakan bahawa ia merupakan kali pertama berlakunya fenomena atau revolusi seumpama ini.
"Fenomena 1999 adalah satu perkara yang berbeza kerana pada ketika itu, orang telah dapat menjangkakan berlaku suatu gelombang kebangkitan rakyat selepas pemecatan Dato' Seri Anwar Ibrahim.
"Tetapi kali ini agak berbeza kerana wujud ketidak puasan hati lantaran kelemahan dasar-dasar kerajaan yang gagal meyakinkan rakyat membuktikan kemampuan mereka mentadbir negara ini," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas keputusan pilihan raya ke-12 yang sangat mengejutkan semua pihak.
"Ia menunjukkan bahawa rakyat secara diam di semua peringkat telah menghukum kerajaan sebelum ini yang telah gagal berperanan sebagai sebuah kerajaan," katanya lagi.

Agus menyenaraikan faktor yang menyumbang kepada revolusi pengundi, dengan menjelaskan faktor peningkatan kos hidup selari dengan kenaikan harga barang keperluan menghimpit kehidupan mereka di samping pencabulan media yang ketara dan berat sebelah dalam memberikan laporan, terutamanya ketika suasana pilihan raya baru-baru ini.

Selain itu, beliau menegaskan sikap pemimpin kerajaan Umno-BN yang membodohkan keintelektualan rakyat dalam isu yang mudah juga menyebabkan kemarahan rakyat.
"Denial syndrom' atau sindrom menafikan kepada setiap suara dan luahan rasa rakyat telah menimbulkan kemarahan rakyat. suara rakyat bukan untuk diatasi tetapi untuk dijawab.
"Malangnya, mereka menjawab dengan alasan yang tidak masuk akal," jelasnya.
Tambahnya, jurang pemikiran antara pemimpin dan rakyat juga menjadi faktor rakyat berasa tidak senang dengan sikap kerajaan.
"Rakyat kini telah sedar dan faham erti dan praktikal demokrasi yang sepatutnya dilaksanakan di dalam sesebuah negara, sekali gus mereka mahu menunjukkan kepada kerajaan Umno-BN bahawa mereka lebih arif dan tidak boleh diperbodohkan," tegasnya.

Pada masa sama, ujar Agus kesilapan yang dilakukan oleh Umno-BN yang membuat persempadanan semula pada pilihan raya ke-11, telah mewujudkan kawasan campuran pelbagai kaum yang sukar dan tidak mampu untuk ditangani oleh Umno.
"Umno tidak mampu bertahan, malah keutuhan formula muafakat yang dibina di dalam pakatan BN juga kian rapuh," jelasnya lagi.
Mengulas mengenai pembentukan kabinet kerajaan pusat yang baru, beliau berpendapat bahawa kabinet yang ada perlu mengganti mana-mana ahli yang tidak menunjukkan prestasi yang memberangsangkan.
"Pengalaman sahaja tidak cukup, yang penting tahu dan menjalankan amanah yang diberikan rakyat kepada mereka," ujarnya. - mns