Monday, March 03, 2008

:: Isu tandatangan


Pilihan Raya Umum 2008

Rafidah enggan ulas isu tandatangan
01-03-2008 06:43:24 PM

KUALA KANGSAR: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Seri Rafidah Aziz enggan mengulas mengenai isu borang pencalonan yang dikatakan tidak ditandatangani sebelum diserahkan kepada Pegawai Pilihan Raya (RO) pada hari penamaan calon Ahad lalu.

Rafidah, yang merupakan penyandang kerusi itu sejak pilihan raya umum 1982 berkata, keputusan untuk menerima borang pencalonan beliau telah dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri dan beliau tidak perlu untuk memberi ulasan lanjut.

"Yang tu tak payah komenlah... Kenapa buang masa nak cakap pasal tu... Banyak lagi cerita lain boleh cakap," katanya ketika ditanya pemberita selepas menghadiri program Integrasi Ilmu bersama Orang Asli di Kampung Ulu Bekor, di sini, Sabtu.

Pada penamaan calon lalu, bantahan mengenai pencalonan Rafidah dibuat oleh wakil PAS yang mendakwa borang beliau yang dipamerkan di Dewan Merdeka, di sini tidak ditandatangani, tetapi RO Datuk Ghazali Jalal menolaknya selepas merujuk kepada ibu pejabat SPR.

Selasa lalu, Pesuruhjaya PAS Perak Ahmad Awang membuat laporan polis meminta siasatan dilakukan terhadap RO tersebut kerana menerima borang pencalonan yang tidak ditandatangani, manakala Md Noor Kan, pencadang kepada calon PAS di Kuala Kangsar membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Kangsar mengenai isu yang sama sehari sebelumnya.

Rafidah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri turut diminta mengulas mengenai cadangan PAS untuk mengadakan debat terbuka dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata cadangan itu tidak perlu dan tidak relevan dengan budaya masyarakat Malaysia.

"Rekod BN ada di hadapan kita untuk semua meneliti, melihat dan menghayati... Kita bukan ikut ala Amerika... Amerika (memanglah) caranya berdebat...," katanya. Beliau berkata cara yang lebih tepat adalah dengan berdebat dengan rakyat sendiri dan membincangkan masalah yang mereka hadapi supaya segala isu dapat segera diselesaikan. "Kita berdebat dengan orang kampung... Berdebat dengan orang bandar... Itu cara kita... Berdebat tu maknanya kita berceramah, berbincang dan bersoal jawab mengenai isu-isu tempatan," katanya.

Jumaat lalu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Nasharudin Mat Isa mencadangkan 4 dan 5 Mac untuk berdebat dengan Abdullah dan Najib mengenai manifesto pilihan raya. Beliau berkata terpulang kepada BN untuk menyiarkan debat tersebut secara langsung atau tidak, namun pihaknya akan menggunakan segala sumber yang ada untuk merakam dan menyiarkannya melalui media PAS untuk tontonan.

BERNAMA