Edisi Utara: Pekasam ikan laut bersalut pulut unik
Oleh Raja Norain Hidayah
Hamzah pernah jadi penjaja dari rumah ke rumah kini miliki perusahaan sendiri.
SITIAWAN: Makanan tradisional ikan pekasam mempunyai kelompok peminatnya tersendiri sehingga ada yang menjadikannya hidangan wajib setiap kali tiba waktu makan dan juga ketika berbuka puasa. Kebanyakan produk pekasam yang berada di pasaran ketika ini menggunakan ikan air tawar sebagai bahan utamanya.
Namun, bagi Hamzah Aziz, 56, seorang pengusaha ikan pekasam di Kampung Deralik, dekat sini, produk ikan pekasamnya mempunyai kelainan dan unik kerana beliau menggunakan ikan laut sebagai bahan utamanya. Katanya, beliau mendapat idea untuk membuat pekasam ikan laut apabila mendapati kebanyakan ikan pekasam yang berada di pasaran menggunakan ikan air tawar. "Saya memulakan perusahaan ikan pekasam ini secara kecil-kecilan dengan menjaja dari rumah ke rumah menaiki motosikal di sekitar Sitiawan.
"Bagaimanapun ketika itu, saya hanya menjual pekasam ikan air tawar dan saya dapati tidak semua orang menggemari ikan air tawar. "Dari situ saya mula terfikir untuk mencuba membuat pekasam dari ikan laut," katanya ketika ditemui di bengkel pemprosesan ikan pekasamnya, di sini baru-baru ini. Pada mulanya, orang ramai tidak percaya bahawa ikan laut boleh dijadikan pekasam dan Hamzah cuba meyakinkan mereka dan sambutan terhadap produknya kini cukup memberangsangkan. Antara ikan laut yang digunakan bagi membuat pekasam ialah talang, gelama, selangat, tamban dan parang dan ia dijual pada harga RM4 sebungkus dengan berat bersih setiap bungkus 200 gram. Selain itu, keunikan ikan pekasam Hamzah ialah beliau tidak menggunakan beras goreng seperti kebanyakan pengusaha lain, sebaliknya menggunakan pulut goreng untuk menyalut ikan pekasam berkenaan. Katanya, ikan pekasam yang menggunakan pulut goreng ini rasanya lebih enak berbanding pekasam yang menggunakan beras goreng.
Beliau juga mendapat bantuan daripada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Manjung Selatan (PPKMS) untuk memperluaskan perusahaannya. PPKMS membina sebuah bangunan berhampiran rumahnya untuk dijadikan tempat memproses ikan pekasam ini. Selain itu, PPKMS juga menyediakan mesin pengisar, mesin menggoreng, peti sejuk dan mesin kedap udara yang bernilai hampir RM60,000. Selain itu, beliau juga turut mengikuti kursus yang dianjurkan Jabatan Pertanian dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM). Sementara itu, Pengurus Besar PPKMS, Baharuddin Selamat berkata, PPKMS sentiasa memberi bantuan dan sokongan kepada pengusaha kecil dan sederhana seperti Hamzah. "PPKMS sentiasa menggalakkan orang ramai khususnya Bumiputera menceburkan diri dalam bidang keusahawanan. "Sekiranya mereka memerlukan bantuan kewangan dan sokongan, pihak kami tidak teragak-agak untuk menghulurkan bantuan," katanya ketika melakukan pemantauan di bengkel pemprosesan pekasam Hamzah. Beliau berkata, projek yang diusahakan Hamzah ini berbeza dengan projek lain yang di bawah kendalian PPKMS. "Saya sering melihat ikan pekasam yang dibuat dari ikan darat tetapi saya belum pernah melihat produk ikan pekasam dari ikan laut," katanya. Baharudddin berkata, PPKMS sentiasa berusaha mempromosikan dan memperkenalkan produk Hamzah. Beliau juga menggalakkan Hamzah menyertai karnival yang membabitkan usahawan perusahaan kecil dan sederhana seperti Hari Peladang dan Penternak dan Karnival Gerak Usahawan 2007 yang diadakan di Ipoh, baru-baru ini. Katanya lagi, PPKMS melakukan pemantauan seminggu sekali untuk melihat sebarang peningkatan dalam perusahaannya.
Hamzah berkata, proses pembuatan ikan pekasam dimulakan dengan ikan segar yang sudah siap disiang dan dibersihkan, digaul dengan garam dan juga asam jawa. "Seterusnya ikan berkenaan akan diperam selama dua hingga tiga hari dan kemudian digaul dengan pulut goreng sebelum diperam semula selama 14 hari di dalam bekas kedap udara," katanya. Katanya, beliau mendapat bekalan ikan daripada dari nelayan pantai di sekitar Pulau Pangkor dan Hutan Melintang. Setelah hampir dua tahun menjalankan perusahaan itu secara komersial, kini beliau boleh berbangga kerana ikan pekasamnya yang menggunakan label Syarikat Janor Gemilang ini berjaya dipasarkan di seluruh Perak dan bakal memasuki pasaran Melaka. Bekas nelayan pantai ini berkata, beliau memperoleh keuntungan sekitar RM4,000 hingga RM5,000 sebulan. Hamzah berhasrat untuk mengembangkan lagi perusahaannya ke seluruh negara dan beliau mensasarkan untuk memperoleh keuntungan sekitar RM20,000 sebulan. "Saya yakin produk saya akan menambat selera peminat ikan pekasam kerana segenap lapisan masyarakat boleh menikmatinya kerana saya menggunakan ikan laut," katanya.