Makan sayur dan buah
SAAT merayakan hari kemenangan terkadang kita lupa dan cenderung mengambil semua jenis makanan, tanpa memperhatikan kebersihan, kualiti dan zat makanan yang terkandung di dalam makanan itu sendiri. Ada kalanya, kandungan lemak yang berlebihan dimakan begitu saja tanpa mengambil kira risikonya.
Di hari kemenangan itu, ada baiknya kita memperhatikan makanan yang akan dimakan, dan bukannya "membalun" semua makanan yang disajikan ketika berkunjung ke rumah sanak saudara dan handai taulan, apatah lagi jika kita menderita sesuatu penyakit.
‘‘Pada waktu lebaran, makanan yang paling baik untuk dihidangkan adalah buah-buahan seperti belimbing dan epal hijau serta sayur-sayuran segar. Cuma orang Melayu kita tak biasa dengannya. Ia sangat baik untuk kesihatan tubuh dan memberikan rasa kenyang.
‘‘Buah-buahan atau sayur-sayuran yang diasinkan atau salad juga bagus untuk dihidangkan selain hidangan kita yang unik dan lain dari yang lain. Elakkan daripada menyediakan masakan yang banyak mengandungi minyak atau santan kerana kolesterol sukar untuk diserap,’’ kata Dr. Zulkarnain.
Banyakkan pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran dan makanan laut kerana serat yang dianjurkan adalah sebanyak 20 hingga 30 gram sehari.
Gunakan lemak tidak lebih 30 peratus dari total kalori dan asid lemak tepu tidak lebih 10 peratus dari total kalori. Kurangkan pengambilan karbohidrat tinggi (gula).
Tingkatkan penggunaan protein berasaskan tumbuh-tumbuhan yang berasal dari kekacang seperti tempe dan tauhu. Banyakkan makan ikan.
Hadkan juga makanan yang banyak mengandungi minyak kelapa, lemak dan mentega. Jangan terlalu banyak makan daging, limpa dan isi perut, otak, udang serta kuning telur.
Ganti susu penuh dengan susu krim dan hindari makanan manisan yang tidak jelas sumber gulanya.
Pada saat lebaran sebegini, pesakit darah tinggi seelok-eloknya menghindari makanan yang mengandungi garam serta rokok yang selama puasa berjaya diberhentikan atau dikurangkan dengan banyaknya.
Air putih sebagai peneutral
DR. Zulkarnain berkata, bagi pesakit kencing manis, berhati-hatilah dengan minuman ringan yang disajikan saat lebaran. Sebelum minum, perhatikan, apakah minuman ringan itu mengandungi kadar gula tinggi?
Minuman ringan berkarbonat mengandungi kalori yang sangat tinggi dan khususnya perlu diawasi oleh pesakit kencing manis. Percaya atau tidak, sesetengah minuman berkarbonat mengandungi sehingga lapan sudu teh gula dalam setiap tin atau bersamaan dengan 300 hingga 400 kalori!
‘‘Minumlah minuman ringan diet. Kalau sudah terminum, segeralah minum air putih sebanyak mungkin kerana air putih dapat meneutralkannya.
‘‘Untuk penderita kencing manis, jangan malu minta air putih daripada tuan rumah dan jangan segan untuk menolak bila disajikan dengan minuman ringan,” katanya.
TIP: Harga minuman yang siap saji seperti minuman dan sirap yang dijual terlalu murah di pasaran perlu diragui. Misalnya, harga minuman itu lebih murah dari sekilo gula.
Apakah minuman itu menggunakan gula asli atau perasa tambahan? Jika sedikit perasa tambahan sahaja digunakan, ia tidak menjejaskan tubuh tetapi bagi individu tertentu, ia boleh menyebabkan radang kerongkong.
Bila warna minuman terlalu cerah, itu juga harus diwaspadai. Zat warna itu sebenarnya bukan untuk makanan, biasanya digunakan untuk tekstil, begitu juga dengan bahan pengawet. Ia sangat berbahaya bagi anak-anak.
Hadkan penggunaan lemak
DALAM usaha memelihara kesihatan dan mencegah timbulnya masalah kegemukan atau obesiti dan penyakit-penyakit yang berkaitan dengannya, ada dua perkara yang perlu diperhatikan.
Pertama, lemak yang digunakan perlulah dibatasi dan kedua, lemak yang dianjurkan untuk digunakan. Lemak yang perlu dihadkan penggunaannya termasuklah:
1. Kolesterol total
Kolesterol darah berasal dari dua sumber iaitu tubuh dan makanan. Respons tubuh terhadap kolesterol makanan sangat berbeza-beza. Walaupun makanan yang digunakan tidak mengandungi kolesterol, namun apabila kandungan lemak tepunya tinggi, kadar kolesterol pun akan menjadi tinggi.
2. Kolesterol jahat (LDL)
Kadar kolesterol LDL yang meningkat mempunyai kaitan dengan meningkatnya penyakit jantung koronori (CHD). Makanan yang banyak mengandungi lemak tepu ternyata dapat meningkatkan kadar kolesterol.
Asid lemak dan tetradekanoik banyak terdapat di dalam minyak kelapa dan mentega, ia berupaya meningkatkan kadar kolesterol darah. Sedangkan lemak tidak tepu mempunyai kesan menurunkan kadar kolesterol LDL. Lemak tak tepu banyak terdapat pada biji-bijian.
3. Kolesterol baik (HDL).
Kolesterol HDL berfungsi mencegah penimbunan kolesterol dalam dinding pembuluh darah. Bila HDL meningkat, risiko tercetusnya CHD menurun. Penurunan berat badan dan senaman fizikal menyebabkan peningkatan kadar kolesterol HDL.
4. Trigliserida
Peningkatan kadar trigliserida merupakan faktor risiko CHD. Hasil kajian mendapati adanya hubungan di antara pengambilan makanan yang tinggi karbohidrat dan tinggi kalori dengan terjadinya kadar trigliserida dalam darah.
5. Asid lemak tepu
Asid lemak tepu dapat menyebabkan meningkatnya kadar kolesterol dalam darah, meningkatnya pembentukan kolesterol LDL. Menggunakan asid lemak tepu dalam jumlah yang banyak dapat menurunkan kadar kolesterol HDL. Asid lemak tepu banyak terdapat dalam mentega, minyak kelapa dan lemak haiwan.
6. Asid lemak trans
Hampir kesemua asid lemak tak tepu terdapat dalam bentuk keju. Pada proses pemanasan minyak daripada tumbuh-tumbuhan, berlaku perubahan bentuk dari keju menjadi trans. Trans merupakan risiko terjadinya perubahan dinding pembuluh darah dengan meningkatkan kadar LDL dan menurunkan kadar kolesterol HDL.
Jangan campur aduk minuman ringan
SELAIN makanan yang dihidangkan hampir di setiap rumah, begitu juga dengan minuman ringan. Ketahui apa yang terkandung dalam makanan atau minuman tersebut seperti, minuman beralkohol, bergas dan berbau masam dan lain-lain kerana ini sangat berpengaruh terhadap kesihatan tubuh badan.
Mengambil minuman ringan pada hari lebaran itu boleh tetapi sebelum meminumnya, sebaiknya kenali diri kita sendiri dahulu. Kalau selama ini tubuh kita tidak ada masalah dengan minuman ringan tersebut, ia boleh diminum pada batas-batas yang wajar.
‘‘Hendaknya, bila minum minuman ringan tidak dicampur-adukkan, ertinya tidak minum minuman ringan A lalu mengambil minuman ringan B. Ini kerana, ia boleh menyebabkan masalah pencernaan yang akan terganggu, begitu juga dengan makanan.
‘‘Bila sudah minum minuman ringan, cepat-cepatlah minum air putih untuk meneutralkan zat yang ada di dalam minuman tersebut,’’ kata Dr. Zulkarnain.
Bila minuman tertentu memiliki keasidan yang tinggi, bagi orang yang menderita penyakit-penyakit tertentu seperti gastrik, beliau menganjurkan untuk tidak terlalu banyak minum minuman ringan tersebut kerana ia dapat mencetuskan penyakit itu semula.
Bagi mereka yang memiliki sejarah penyakit batu karang, harus berhati-hati mengambil minuman ringan yang bergas agar penyakit tidak menjadi bertambah teruk. Minuman ringan tersebut biasanya banyak mengandungi karbonat dan kalsium.
Tambah Dr. Zulkarnain, selain minuman ringan, minuman tenaga yang dijual perlu diperhatikan komposisinya sebelum diminum. Jika hanya mengandungi vitamin-vitamin sahaja, ia tidak akan menimbulkan masalah bagi tubuh.
Tapi, bila minuman tersebut mengandungi kafein dan ginseng, ia sepatutnya dielakkan oleh mereka yang menderita penyakit jantung.
“Jus yang dibuat sendiri itu bagus bagi tubuh apalagi setelah puasa satu bulan. Begitu juga dengan sayur-sayuran,” jelasnya.