Wednesday, October 03, 2007

:: Orang mengkaji

2 Oktober 2007: Selasa



Bicara Agama (UTUSAN MALAYSIA):

Terapi puasa
Oleh ROHIDZIR RAIS

Sebagai Pencipta manusia, jasad dan roh, Allah s.w.t. pasti lebih tahu apa yang baik untuk manusia. Kewajipan puasa tidak hanya bertujuan merawat jiwa manusia dalam ketaatan dan kepatuhannya kepada Allah tetapi juga sebagai terapi tahunan untuk tubuh manusia.
Ini jelas dilihat dalam surah al-Baqarah ayat 184 bermaksud: Berpuasa itu lebih baik bagi kamu, kalau kamu mengetahui.

Puasa telah sedia dikenali sebagai satu rawatan semula jadi untuk pelbagai jenis penyakit sejak beribu-ribu tahun dahulu. Ramai pakar perubatan kuno berpuasa dan menyarankan pesakit-pesakitnya agar berpuasa sebagai satu kaedah rawatan. Contohnya, Ibnu Sina, pakar perubatan Islam, menyifatkan puasa sebagai rawatan untuk pelbagai jenis penyakit.

Malah doktor-doktor Islam kini mengakui puasa boleh mengubati penyakit cacar dan sifilis. Napoleon ketika menawan Mesir, mengamalkan terapi puasa untuk mengawal penyakit berjangkit. Dr. Fredrick Hoffman, dari Universiti Moscow pada 1769 menasihatkan pesakit-pesakitnya agar berpuasa ketika sakit. Menurut beliau, puasa memberikan masa untuk perut berehat dan memberikan ruang untuk tubuh mengembalikan kekuatan.

Allah sendiri menjelaskan bahawa puasa yang diwajibkan ke atas kita ini telahpun diamalkan oleh umat-umat sebelum ini. Firman-Nya: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa. (al-Baqarah: 183)

Pada kurun ke-19, Zeland, seorang pakar perubatan Rusia, mengumumkan bahawa puasa memberi kesan positif kepada urat saraf, sistem penghadaman dan darah. Katanya lagi, puasa memberikan masa yang cukup untuk tubuh berehat, di samping beroleh kekuatan baru.
Sebenarnya hakikat puasa sebagai terapi melawan penyakit bukan sesuatu yang baru. Rasulullah yang hidup pada zaman gelap sains, mengakui bahawa puasa adalah senjata untuk melawan penyakit. Sabda baginda, “Puasa adalah senjata untuk mempertahankan diri”. (riwayat Imam Ahmad)

Pakar-pakar moden kini mengesahkan bahawa setiap orang perlu berpuasa, sama ada orang itu sihat, apatah lagi jika sakit. Pelbagai racun memasuki tubuh sepanjang hidup kita, melalui makanan dan minuman moden yang tidak sihat dan sarat dengan bahan kimia dan udara yang tercemar.

Tubuh tidak mampu menyingkirkan semua racun ini dan menyebabkan manusia semakin lemah. Puasa dapat memberi ruang dan kesempatan untuk sel-sel tubuh membersihkan diri mereka daripada racun-racun ini dengan lebih berkesan. Berbeza dengan amalan diet biasa, kaedah puasa Ramadan adalah yang terbaik kerana dilakukan dengan sistematik setiap tahun.

Walaupun keberkesanan terapi puasa terhadap tubuh telah diakui tetapi perkara paling menakjubkan ialah kemampuannya untuk merawat masalah psikologi yang kritikal. Puasa memberi masa untuk sel-sel otak berehat dan pada masa sama, bertindak membersihkan sel-sel darah daripada toksik. Darah bersih yang memasuki otak ini akan turut sama membersihkannya.
Hasilnya, orang yang berpuasa mempunyai otak yang lebih kuat dan cerdas untuk berfikir. Ini dibuktikan apabila Pengarah Institut Pesakit Mental Moscow, Dr. Yuri Nikolayev, merawat 7,000 pesakit mental dengan menggunakan terapi puasa, setelah semua kaedah dan ubat-ubatan lain tidak berkesan. Menakjubkan rawatan ini berjaya!

Bagaimanapun, terdapat beberapa keadaan yang tidak membenarkan mereka yang mempunyai masalah psikologi berpuasa seperti pesakit yang menderita epilepsi (sawan) yang disebabkan oleh kekurangan kandungan gula dalam darah kerana memerlukan pengambilan ubat sepanjang Ramadan.

Begitu juga dengan pesakit skizofrenia, menggunakan ubat yang menyebabkan mulut kering dan dahaga.

Pengguna Lithium juga tidak boleh berpuasa kerana kekurangan air di dalam badan boleh menyebabkan kepekatan darah dan menukarkan dadah menjadi racun.
Kebanyakan doktor menyarankan agar pesakit diabetes jenis 2 agar tidak berpuasa kerana memudaratkan. Tetapi, Dr. Riyadh Sulaimani dan rakan-rakannya di Kuliah Perubatan Hospital al-Malik Khaled al-Jami’, pada 1990, telah menjalankan kajian tentang kesan puasa Ramadan kepada pesakit diabetes jenis 2.
Seramai 47 orang pesakit diabetes jenis 2 yang terlibat dalam kajian ini telah berpuasa dan didapati tidak terdapat kesan yang memudaratkan kepada mereka dari segi berat badan dan kandungan gula dalam badan.
Bagaimanapun, mereka ini sebaiknya mendapatkan nasihat doktor sebelum berpuasa. Pesakit yang bergantung pada suntikan
insulin, tidak disarankan berpuasa kerana mereka perlu makan setengah jam selepas suntikan. Namun begitu pesakit yang menggunakan ubat-ubatan, mungkin boleh mengambil manfaat daripada puasa terutama mereka yang mengalami berat badan berlebihan.

Puasa boleh membantu anda kekal muda remaja! Sekurang-kurangnya itulah yang di dakwa oleh Dr. Masora EJ dari Fakulti Psikologi Universiti Texas, yang mengkaji kaitan puasa dengan faktor panjang umur dan awet muda. Dengan mengurangkan 50-70 peratus makanan yang diberikan kepada beberapa ekor tikus, didapati ia membantu memanjangkan jangka hayat mereka serta dapat mencegah penyakit-penyakit yang berkaitan dengan usia.
Terapi yang dinamakan sebagai Antiaging Action of Caloric Restriction (CR) ini berkesan kerana pembersihan berterusan sel-sel tubuh melalui puasa dapat memanjangkan umur sel dan melambatkan proses penuaan.

Selain itu, keperluan badan terhadap protein juga menurun dan ini membolehkan sel-sel berehat dengan baik. Puasa juga dapat memperbaharui sel-sel dengan cara yang selamat.
Benarlah seperti yang disabdakan Baginda, nabi yang ummi yang tidak mengenal huruf, bahawa puasa adalah senjata untuk mempertahankan diri. Ini kerana, ketika puasa menyebabkan perubahan hormon di dalam badan
.

Kajian Dr. Kernt et. al, telah mengesan perubahan dalam pengeluaran Hormon Pembesaran (Growth Hormone) oleh kelenjar pituari dalam tubuh orang yang berpuasa. Ini memberikan kesan positif dalam menguatkan sistem imuniti tubuh. Seperti yang kita tahu, sistem imuniti adalah ‘senjata’ mempertahankan diri daripada serangan luar. Dengan semua nikmat ini, bulan Ramadan layak dinobatkan sebagai Bulan Kesihatan Sedunia!
Maha Suci Allah yang telah menganugerahkan nikmat Ramadan ini. Kita berpuasa kerana Allah, begitu juga dengan semua ibadat lain. Kerana ketaatan ini, kita menerima kebaikan di dunia dan di akhirat berupa kesihatan yang baik. Sedangkan pada masa yang sama orang bukan Islam berhempas pulas mengkaji tentang puasa
, nikmat yang telah lama kita kecapi.

* ROHIDZIR RAIS ialah Editor di Telaga Biru Sdn