Kenang ibu dan ayah yang sudah tiada di hari raya
Ustaz Zainudin Hashim Sun Oct 14, 07 4:38:09 pm MYT
Ibu dan ayah ialah orang yang bertanggungjawab melahirkan kita ke dunia ini, tanpa mereka berdua belum tentu kita dapat melihat keindahan dunia yang diciptakan Allah untuk kita. Tanpa mereka juga, seri hari raya tidak bercahaya bagaikan lampu pelita yang kekeringan minyaknya. Pengorbanan yang diberi dan disediakan bagi membesarkan kita satu ketika dahulu, tidak dapat dibayar dengan wang ringgit walaupun mencecah angka jutaan ringgit.
Mereka sanggup mengerah keringat untuk memastikan hasil pendapatan bagi menyara keluarga, tanpa mengira panas atau hujan. Apa yang pasti mereka mahu melihat anak-anak gembira terutamanya di hari raya. Mereka cuba mengadakan juga pakaian baru hari raya serta kuih-muih bertujuan agar anak-anak mereka gembira walaupun terpaksa membanting tulang empat kerat.
Ziarah mereka di pusara.
Walaupun ketiadaan mereka kerana menyahut panggilan Ilahi, namun hari raya tetap disambut dengan anggota keluarga yang masih ada bagi mengeratkan hubungan kekeluargaan dan silaturrahim. Apa yang penting, ingatan anak-anak terhadap kedua ibu bapa perlu diteruskan walaupun ketiadaan mereka. Ia boleh dilakukan dengan menziarahi pusara mereka dengan menghadiahkan pahala bacaan al-Fatihah, surah Yasin dan bacaan ayat-ayat pilihan serta doa. Moga-moga bacaan yang ikhlas itu sampai kepada mereka yang telah pun berada di alam Barzakh.
Mohonlah kepada Allah SWT, agar pusara mereka diberi cahaya dan dilapangkan oleh Allah kerana dengan doa kita, Insya Allah mereka akan terlepas daripada seksa kubur. Apa yang membimbangkan, dengan kedatangan hari raya serta kesibukan program ziarah-menziarahi adik-beradik serta sanak saudara, ianya akan menyebabkan kita lupa untuk ke pusara. Menjengok kedua ibu bapa yang telah meninggal dunia di pusara samalah juga menziarahi mereka ketika hidup.
Usahlah bakhil untuk mendoakan kebahagiaan mereka di alam kubur walaupun mereka tidak pernah mewasiatkan kepada kita untuk berbuat demikian. Insya Allah, Dia akan membalas kita dengan menganugerahkan anak-anak yang akan mendoakan kita selepas kita meninggal dunia, walaupun kita tidak pernah menyuruh mereka berbuat demikian.