Friday, October 12, 2007

:: Tersadai

:: Kesian... dah bersiap2 nak beraya di kampung masing2... tau2 bas tak bergerak2... sebab pemandu "nak berehat"... tak mau kerja... tak mau bertugas... sedangkan penumpang dah melimpah ruah... paling kesian jika ada anak2 kecil... ibu mengandung... dan nenek serta datuk yang dah tua2... konon puncanya soal gaji... soal elaun yang belum diperolehi sebagaimana yang dijanjikan... entah le...


4,500 penumpang terkandas
Oleh Mona Ahmad

KOTA BHARU: Kira-kira 4,500 penumpang bas ekspres Transnasional yang mahu pulang berhari raya di seluruh negara dari negeri ini, terkandas lebih lima jam semalam selepas 90 pemandu bas berpiket menuntut pendahuluan gaji. Selain bas ekspres, perkhidmatan bas henti-henti Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan Berhad (SKMK) di Kelantan turut tergendala ekoran tindakan 600 pemandunya mengambil tindakan sama. Perkhidmatan bas terbabit pulih mulai jam 1 petang selepas wakil pemandu mencapai persetujuan dengan syarikat untuk menerima pendahuluan gaji RM300 seorang sempena Aidilfitri.

Wakil pemandu yang enggan namanya disiarkan berkata, protes itu diadakan berikutan dakwaan majikan gagal memasukkan pendahuluan gaji seperti dijanjikan. “Kami juga minta elaun lebih masa dibayar cepat bagi membuat persiapan berhari raya,” katanya ketika ditemui di Depot SKMK, Kubang Kerian, di sini, semalam. Pengurus Besar SKMK, Basri Baharom, berkata masalah itu bukan berpunca keengganan syarikat membayar pendahuluan gaji kepada pemandu tetapi disebabkan sistem perbankan yang tergendala malam kelmarin.

“Kita mohon maaf kepada penumpang kerana perjalanan mereka tergendala dan menyusahkan pengguna di seluruh Kelantan dan beberapa cawangan di luar negeri ini. “Masalah berpunca apabila ada pemandu mengadu bayaran kerja lebih masa dan pendahuluan gaji tidak masuk dalam akaun. Apabila disemak dengan bank, ada masalah dengan sistem mereka dan wang hanya boleh dikeluarkan mulai jam 10.05 pagi ini,” katanya. Beliau mendakwa pihak pemandu memohon pendahuluan sebulan gaji tetapi berdasarkan perjanjian, gaji dibayar pada 27 hari bulan dan elaun lebih masa dibayar pada 15 hari bulan. “Keputusan memberikan gaji pendahuluan RM300 dilaksanakan di seluruh negara, tetapi peliknya mengapa hanya di sini mereka mogok, sementara di tempat lain tiada masalah,” katanya sambil menambah, masalah itu menyebabkan pihaknya kerugian antara RM30,000 hingga RM40,000 jualan tiket henti-henti berikutan piket itu.


Norliza Rosli, 24, penuntut jurusan perubatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kubang Kerian, berkata bas ke Gerik yang dinaikinya sepatutnya bertolak jam 7.15 pagi tetapi masih terkandas hingga jam 11 pagi. “Saya tunggu juga tetapi jika tiada bas, bapa saya suruh naik teksi. Mudah-mudahan perkara ini diselesaikan segera,” katanya. Pelancong dari New Zealand, Toby Etheredge, berkata beliau yang hendak ke Kuala Lumpur selepas bercuti di Pulau Perhentian, terkandas di Stesen Transnasional dekat Langgar mulai jam 8 pagi. Beliau kemudian bergegas ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra untuk mendapatkan tiket sebaik menyedari bas yang dijanjikan tidak bergerak selepas jam 12 tengah hari.

Di KUALA LUMPUR, Pengerusi Eksekutif Nadicorp Holdings Sdn Bhd, Datuk Mohd Nadzmi Mohd Salleh, ketika dihubungi berkata ‘kegawatan’ di Kelantan berlaku disebabkan salah faham antara pekerja dan pengurusan. “Syarikat sebenarnya sudah membayar elaun kerja lebih masa pada 9 Oktober lalu tetapi berlaku sedikit masalah di bank menyebabkan tuntutan gagal diberikan kepada pemandu. “Kita memahami kesukaran yang dihadapi mereka (pemandu) apabila tidak mendapat elaun, sebab itulah kami mengambil keputusan memberi wang pendahuluan RM250 sementara menunggu elaun masuk, tapi apa yang berlaku ialah mereka mengambil wang berkenaan (RM250) tetapi tetap mengadakan piket,” katanya.